13 October 2013

BERTARUNG NYAWA LAWAN PEROMPAK DEMI ANAK




ASAJAYA: Seorang mekanik bersama isterinya bertarung nyawa menghalang dua perompak daripada mencederakan anak mereka dalam satu kejadian rompakan bersenjata di sebuah bengkel motosikal di sini awal pagi semalam.

Menurut sumber, semasa kejadian, pasangan suami isteri tersebut terjaga dari tidur selepas mendengar bunyi mencurigakan dari bengkel mereka yang kemudian terus memeriksa ke dalam bengkel tersebut iaitu sekitar jam 3 pagi.

Bagaimanapun, ketika si isteri yang berusia 27 tahun melangkah masuk ke dalam bengkel tersebut, dia terkejut apabila melihat dua lelaki tidak dikenali memegang parang berada di dalam bengkel mereka di Kampung Tambirat itu.

“Seorang daripada suspek kemudian terus mengacukan parang ke leher si isteri dan memintanya agar mendiamkan diri jika tidak mahu dicederakan oleh mereka.

“Si Suami bagaimanapun mula mengesyaki sesuatu yang tidak baik berlaku selepas isterinya tidak masuk semula ke dalam bilik untuk tempoh yang agak lama yang kemudian terus bangun untuk memeriksa keadaan di situ,”kata sumber.

Sebaik menyedari kehadiran si suami yang berusia 32 tahun, kedua-dua suspek kemudian panik dan terus bertindak menyerangnya sehingga menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka.

Bukan itu sahaja, kedua-dua suspek juga mengugut akan mencederakan anak lelaki pasangan tersebut yang baharu berusia dua tahun jika cuba menghalang mereka.

“Risau akan keselamatan anak mereka, pasangan suami isteri itu kemudian terus melawan suspek walaupun terpaksa bermandikan darah menyebabkan kedua-dua suspek yang turut tercedera dalam insiden tersebut segera melarikan diri dari tempat kejadian,”kata sumber.

Kedua-dua pasangan suami isteri tersebut dikatakan mengalami kecederaan parah di kepala serta beberapa anggota badan mereka akibat ditetak dengan parang.

Mereka telah dikejarkan ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut dan laporan polis berhubung kejadian juga telah dibuat oleh mangsa.

Seorang daripada suspek yang agak parah selepas insiden tersebut juga telah ditahan oleh sepasukan polis dari Hospital Daerah Serian ketika cuba mendapatkan rawatan di situ.

Usaha pihak polis untuk menjejaki seorang lagi suspek masih giat dijalankan. - Utusan Borneo

No comments: