13 October 2013
OPS CANTAS - Tiada Had Masa
Yan, 12 Okt - Polis tidak meletakkan tempoh tertentu untuk Op Cantas Khas dijalankan, sebaliknya operasi itu akan diperluas kepada beberapa jenayah lain selain jenayah kekerasan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Beliau berkata operasi itu akan diteruskan selagi ada kumpulan penjenayah yang bertindak ganas dan memerlukan tindakan tegas daripada polis untuk menanganinya.
"Tidak ada tempoh masa untuk Op Cantas Khas. Selagi dirasakan masyarakat rasa takut, rasa 'fear of crime' kami akan teruskan Op Cantas Khas ini. Kami akan pertingkatkan lagi kerana ia memberi kesan.
"Kami akan luaskan Op Cantas Khas bukan hanya meliputi jenayah kekerasan tetapi mereka yang terlibat dalam kegiatan Ah Long, edar VCD haram, pengedaran dadah dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan di sini hari ini.
Beliau berkata cadangan mempertingkat dan memperluaskan Op Cantas Khas bertujuan memastikan Malaysia menjadi tempat yang lebih selamat untuk rakyatnya.
"Kami tidak mahu rakyat kita rasa takut untuk berada dalam negara yang kita cintai ini. Maklum balas mengenai operasi ini, yang saya sendiri dapat daripada Facebook, Twitter, ramai yang menyokong," katanya.
Ditanya mengenai tanggapan negatif sesetengah pihak yang menganggap polis sesuka hati melepaskan tembakan terhadap penjenayah sejak kebelakangan ini, Khalid berkata anggotanya melepaskan tembakan kerana mahu pertahankan diri.
"Tidak sekali-kita tindakan 'trigger happy'. Apa-apa tindakan diambil dalam dua, tiga hari lepas...tembak mati penjenayah adalah tindakan mempertahankan diri kerana penjenayah bersenjata api dan senjata bahaya. Kalau ancam nyawa kami, kami terpaksa mempertahankan diri.
"Tidak sekali-sekali ambil tindakan dahulu sebelum nyawa kami diancam. Jangan buat andaian kami 'trigger happy', dengan sengaja nak datangkan kematian kepada orang lain.
"Tengok sahaja kumpulan-kumpulan kami tumpaskan, ini semua kumpulan ganas, tegar, tidak teragak-agak guna senjata berbahaya kepada kita. Operasi kami semua berdasarkan maklumat dan risikan," katanya - BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment