18 October 2013

Rampas 9 kereta RM1 juta



Seremban: Hasil intipan dan gerakan pasukan khas, polis negeri menumpaskan satu kumpulan pecah rumah dan curi kereta mewah apabila menahan dua lelaki dan seorang perempuan serta merampas sembilan kereta mewah pelbagai jenis bernilai keseluruhan RM1 juta, baru-baru ini.Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Abd Manan Mhd Hassan berkata, pihaknya menjalankan operasi memburu dalang utama kumpulan berkenaan sejak pertengahan bulan lalu bagi membongkar kegiatan curi kereta mewah di sekitar negeri ini.

Beliau berkata, kegiatan kumpulan dianggotai dua lelaki berusia 48 dan 32 tahun dan seorang wanita berusia 23 tahun itu mula dikesan susulan satu kes pecah rumah di Nilai pada 9 Oktober lalu.

Katanya, hasil operasi itu, polis menahan lelaki berusia 48 tahun dan menerusi maklumat daripada suspek, pihaknya menemui tiga kenderaan curi di Port Dickson iaitu masing-masing kereta Mercedes, Toyota Estima dan BMW.

Hasil siasatan lanjut, kami menahan dua individu lagi pada 12 Oktober lalu iaitu lelaki dan teman wanitanya, masing-masing berusia 32 dan 23 tahun di Bahau serta menemui enam lagi kereta curi berada bersama mereka.

Keseluruhannya sembilan kereta curi dirampas dalam operasi ini yang mana empat kereta dicuri di Negeri Sembilan iaitu dua Mercedes dan masing-masing Triton dan Volkswagen.

Hasil siasatan juga mendapati kedua-dua lelaki berkenaan mempunyai rekod jenayah dengan seorang daripada mereka memiliki 14 rekod jenayah lampau,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, di sini, semalam.

Abd Manan berkata, reman ketiga-tiga suspek berkenaan yang berakhir semalam disambung bagi siasatan lanjut. Sementara itu, Abd Manan meminta kerjasama orang ramai mengesan seorang wanita, Chang Siok Fang, 39, yang beralamat di Taman Tangkak Jaya, Tangkak, Johor yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan kes terbabit.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai wanita itu diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran kerana suspek sangat dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung beberapa kes jenayah termasuk curi kereta,” katanya.


Sumber: Harian Metro

No comments: