14 October 2013

Rumah MB Perlis Terbakar

kuarters kerajaan yang didiami keluarga Azlan Man musnah terbakar di Jalan Negeri Sembilan Selatan, Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Empat ahli keluarga Menteri Besar Perlis, Azlan Man terselamat walaupun banglo dua tingkat yang dihuni mereka di Jalan Negeri Sembilan Selatan, Bukit Persekutuan di sini terbakar malam tadi.
Kebakaran dipercayai bermula pukul 10.30 malam sehingga memusnahkan keseluruhan tingkat atas banglo kuarters kerajaan dua tingkat itu.
Difahamkan ketika kejadian, Azlan berada di Perlis manakala isteri dan anak-anaknya tiada di rumah kerana dalam perjalanan ke Kangar. Ahli keluarga beliau yang berada di rumah ketika itu ialah anak saudara serta pembantu rumah.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Zahari Mohamad, punca kebakaran masih disiasat namun dipercayai kebakaran berpunca daripada puntung rokok atau mancis yang digunakan salah seorang ahli keluarga di rumah tersebut.
"Kebakaran itu memusnahkan hampir 60 peratus daripada rumah banglo dua tingkat itu kerana struktur bangunan dan lantai yang diperbuat daripada papan.
"Sebanyak lima buah jentera melibatkan 57 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah, Seputeh, Sentul, Pantai dan Taman Tun Dr. Ismail terlibat memadamkan kebakaran rumah ini," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Menurut Zahari, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada pukul 10.43 malam dan mengambil masa kira-kira sejam untuk memadamkan api.
Menurutnya, kesemua mangsa tidak mengalami kecederaan dan pihaknya masih menyiasat motif sebenar kebakaran dan jumlah kerugian yang dialami.
Sementara itu di KANGAR, Azlan berkata, kesibukan tugas menyebabkan beliau sehingga kini belum dapat melihat keadaan rumahnya yang terbakar.
Beliau juga tidak dapat menentukan bila beliau akan kembali ke ibu negara untuk melihat keadaan rumahnya itu yang diduduki sejak bertugas sebagai penjawat awam.
"Saya menyerahkan kepada isteri dan anak-anak untuk memeriksa keadaan rumah saya kerana banyak juga dokumen penting yang terbakar," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian elaun Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Dewan Warisan hari ini.
Azlan berkata, beliau bersyukur kerana sekali pun rumahnya terbakar tetapi tiada kecederaan dilaporkan.
"Semasa kejadian, isteri saya dan anak-anak dalam perjalanan balik ke Kangar. Mereka kemudian terpaksa berpatah balik setelah dimaklumkan mengenai kebakaran tersebut," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: