13 October 2013

Taufan Phailin Tidak Ancam Malaysia


pailin 
Ombak besar melanda pelabuhan di daerah Visakhapatnam, selatan India, semalam.

Kuala Lumpur: Ancaman taufan Phailin yang menyebabkan lebih 600,000 penduduk pantai timur India, dipindahkan, tidak akan menjejaskan cuaca serta perairan Malaysia.
Phailin yang dijangka melanda India hari ini, diramal mengulangi keadaan selepas Taufan Katrina membadai Amerika Syarikat pada 2005.
Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan kelajuan angin berhampiran pusat taufan Phailin kira-kira 240 kilometer(km) sejam akan melanda persisiran pantai Odisha, Timur Laut, India, pada awal pagi ini.
Timbalan Pengarahnya, Alui Bahari, berkata kelajuan taufan Phailin dijangka menurun apabila ia beralih dari laut ke daratan, sebelum lenyap dalam tempoh 24 jam.
Bagaimanapun, ribut tropika yang wujud kesan daripada taufan Phailin akan menyebabkan hujan lebat, angin kencang dan banjir kilat.
“Hujan lebat ini dijangka berpanjangan hingga menyebabkan kawasan persisiran pantai dilanda banjir.


Nelayan tak perlu bimbang

“Taufan Phailin tidak akan menjejaskan cuaca dan keadaan perairan kita. Justeru, nelayan negara ini tidak perlu bimbang,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Alui berkata, apabila bergerak melalui daratan ke arah Barat Daya, kekuatan Phailin akan berkurangan kerana tiada wap air sebagai bahan utama.
Sementara itu, pihak berkuasa India mengesahkan tiada rakyat Malaysia berada di Odisha, selatan India, ketika kawasan itu dilanda Taufan Phailin petang semalam, kira-kira jam 5 petang waktu tempatan.
Ketika dihubungi, Konsul Jeneral Malaysia di Chennai, Chitra Dewi, berkata 3,900 pelajar Malaysia serta 60 pekerja yang berdaftar dengan pejabatnya dilaporkan berada dalam keadaan selamat.
“Kita tiada maklumat berhubung lebih 200 rakyat Malaysia yang menetap di selatan dan utara India, sejak mereka berkahwin dengan rakyat tempatan kerana masing-masing tidak menghubungi pejabat ini.
“Berdasarkan perkembangan terkini yang diberikan pihak berkuasa di Bhubaneswar, petang semalam, tiga penduduk tempatan disahkan terbunuh akibat ribut itu dan jumlah mungkin meningkat selepas pemeriksaan menyeluruh,” katanya.

Laut India dikawal tentera

Katanya, sehingga kini seluruh kawasan pantai di persempadanan utara dan selatan India, dikawal rapi oleh tentera bagi mengelakkan sebarang kemalangan jiwa.
Malah, semua penerbangan, perkhidmatan kereta api dan bas ke Odisha dan Bhubaneswar, dihentikan buat sementara waktu sehingga keadaan kembali selamat.
Chitra memberitahu, rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan perkembangan lanjut berhubung kejadian berkenaan boleh menghubungi pejabatnya menerusi talian, +914424334434. – Beritaharian.

No comments: