15 October 2013

Pendapatan Cecah RM300 Sehari


 

SRI AMAN – Setiap kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU) yang menjadi pengemis di negara ini, dipercayai mampu meraih pendapatan sehingga RM300 sehari.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, pendapatan lumayan tersebut menyebabkan golongan tidak bernasib baik terus dieksploitasi sindiket tertentu untuk menjana wang.

Malah kata beliau, sindiket sebegitu kebiasaannya menggandakan operasi masing-masing setiap kali menjelang musim perayaan termasuk Hari Raya Aidiladha.

“Kita percaya ada sindiket yang menjadi dalang kepada kegiatan ini memandangkan pengemis sentiasa bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain untuk mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

“Perkara ini serius dan boleh menjejaskan imej negara. Oleh sebab itu, kementerian telah menubuhkan pasukan khas untuk memantau serta membendung kegiatan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyerahkan lembu korban bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga di Masjid Besar Sri Aman di sini hari ini.

Rohani yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar dalam pada itu berkata, sikap murah hati orang ramai yang cepat bersimpati turut menjadi faktor kegiatan mengemis terus berlaku di negara ini.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, sehingga Jun lalu, pihak kementerian berjaya menyelamatkan 11 pengemis kanak-kanak.

Daripada jumlah itu katanya, enam kanak-kanak diselamatkan di Kuala Lumpur manakala tiga lagi di Selangor, Negeri Sembilan (1) dan Kedah (1).

“Kegiatan mengemis di negara ini tidak begitu serius, namun tetap perlu dibendung kerana mereka mengeksploitasi kanak-kanak untuk mengemis.

“Kita memang mengadakan pemantauan berterusan setiap bulan, namun setiap kali menjelang musim perayaan, operasi ini akan dilakukan lebih kerap,” katanya. – Utusan.

No comments: