KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata rundingan dijangka ditamatkan dalam masa terdekat antara pihak berkuasa Malaysia dengan sekumpulan rakyat Filipina yang menceroboh ke negara ini sejak 12 Feb lalu, melalui Kampung Tanduo, di Lahad Datu.
“Kami sedang berusaha ke arah itu (menamatkan konflik)… dan untuk menyelesaikan konflik ini, kami telah buat satu langkah yang terbaik melalui rundingan dan seterusnya mencapai episod yang baik,” katanya.
Beliau berkata, mengawal insiden seperti ini (pencerobohan), adalah menjadi tanggungjawab pihak polis dan seterusnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada menyelesaikannya dengan segera.
“Saya mengesahkan keadaan di sana terkawal dan dalam menangani situasi berkenaan kita telah mengambil pelbagai langkah… kita sedang mencari solusi terbaik mengikut perundangan yang ada dalam mengusir mereka,” katanya.
Ismail berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada majlis penganugerahan surat penghargaan kepada pengguna jalan raya berhemah dan kontinjen serta daerah terbaik sempena Op Selamat 2, di sini, hari ini.
Pasukan keselamatan pada selasa lepas, menemui sekumpulan rakyat asing mendarat di pesisir Lahad Datu lengkap bersenjata serta berpakaian tentera dan pihak polis telah mengenal pasti iaitu pewaris berketurunan ‘Raja Sulu’ dari Selatan Filipina merupakan kumpulan warga Filipina yang mendarat di Kampung Tanduo itu.
Ismail yang dalam pada itu turut menyangkal berhubung situasi di Kampung Tanduo mengenai beberapa dakwaan di laman sosial dan khabar angin, meminta dan menasihatkan orang ramai agar berhenti membuat andaian dan spekulasi kerana ia adalah dalam bidang kuasa pihak polis.
“Saya lihat di laman sosial banyak gambaran yang tidak tepat mengenai situasi di sana (Kampung Tanduo)… ini adalah tanggungjawab polis. Saya harap kita tidak terlalu cepat membuat andaian,” katanya. – Bernama
No comments:
Post a Comment