18 August 2013
Mesir - Pyramid Operation
PONTIAN - Kerajaan bersedia melancarkan Ops Piramid untuk memindahkan lebih 3,300 rakyat Malaysia di Mesir pada bila-bila masa sahaja jika keadaan di negeri itu bertambah serius.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kerajaan telah mengarahkan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab ke Mesir pagi ini untuk meninjau sendiri keadaan keselamatan di sana dan akan memberikan 'isyarat' jika pemindahan perlu dilakukan.
"Kerajaan kini memantau pergolakan yang berlaku di Mesir setiap jam. Kita lihat keadaan di sana semakin membimbangkan, kawasan yang nampak reda kini bertambah panas sebab itu kita telah hantar wakil khas kita untuk tinjau sendiri keadaan di sana.
"Segala persiapan lojistik telah diletakkan dalam keadaan siap sedia dan pesawat komersil syarikat penerbangan MAS dan Air Asia juga telah tampil menawarkan diri untuk membantu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Umno Bahagian Pontian di sini hari ini.
Hishammuddin berkata jika keadaan keselamatan tidak mengizinkan untuk penggunaan lapangan terbang komersil, kerajaan akan menggunakan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk membantu Ops Piramid itu.
Khamis lepas, Hishammuddin mempengerusikan mesyuarat tergempar dengan wakil agensi seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pengangkutan, MAS dan Air Asia untuk membincangkan langkah-langkah bagi memindahkan rakyat Malaysia di Mesir jika keadaan bertambah serius. - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment