Saudara terdekat Jamalul
Kiram III yang mengaku sebagai Sultan Sulu ditahan polis dalam usaha
mengesan 20 lagi suspek utama yang mempunyai kaitan dengan pencerobohan
sekumpulan lelaki bersenjata di Kampung Tanduo.
Polis enggan mendedahkan
butiran mengenai maklumat keluarga Kiram yang sedang diburu tetapi
sekurang-kurangnya dua suspek dipercayai adalah adik dan sepupu kepada
Raja Muda Azzimudie Kiram yang mengetuai kumpulan bersenjata itu ke
Tanduo.
Suspek pertama yang
terlibat dalam mengangkut ikan, tinggal di Lahad Datu bersama dengan
keluarganya dan berpindah ke Semporna baru-baru ini.
Dia menghilangkan diri
selepas membantu dalam rundingan dengan kumpulan pengganas tersebut bagi
menamatkan pencerobohan yang bermula pada 12 Februari lalu.
Namun tidak diketahui
sekiranya dia adalah salah seorang yang ditahan memandangkan keluarga
Kiram mempunyai ramai saudara yang tinggal di Sabah dan Semenanjung
Malaysia.
Mereka yang ditahan
setakat ini melibatkan sekurang-kurangnya tujuh anggota beruniform,
seorang ahli politik tempatan dan ramai pesimpati di Lahad Datu dan
Semporna di mana serbuan dijalankan.
Pesuruhjaya Polis Sabah,
Datuk Hamza Taib berkata, enam lagi suspek ditahan kerana dipercayai
ada kaitan dengan pengganas menjadikan jumlah tahanan kepada 97 orang.
Kesemua suspek ditahan
di bawah Seksyen 130 (c) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Akta
Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.
Beliau berkata 125 yang
lain turut ditahan kerana cuba memasuki kawasan zon merah, lokasi di
mana Ops Daulat sedang dijalankan. - Mstar
No comments:
Post a Comment