Wanita memang suka dipuji, tapi
hairannya biar pun mengetahui perkara ini ramai lelaki tidak
mengendahkannya. Tidak mustahil pujian terakhir yang didengar daripada
seorang isteri dari mulut suami adalah ketika mereka dalam fasa
bercinta.
Memasuki alam rumah tangga,
kata-kata manis memuji isteri sudah tidak lagi kedengaran. Malah ada
isteri yang kempunan untuk mendengarnya dari mulut suami. Pujian yang
didengar apatah lagi dari mulut suami sangat bermakna buat seorang
wanita. Ia satu bentuk penghargaan yang boleh meningkatkan motivasi.
Tahukah para suami bahawa dengan
hanya memuji hidangan yang disediakan isteri enak, hati wanita akan
berbunga dan akan bersemangat untuk terus menyediakan menu yang lebih
lazat untuk suami tercinta.
Panduan Memuji
Memberi pujian memang cukup
mudah sekali tapi, ada juga lelaki yang terjebak dengan masalah
gara-gara silap memberi pujian. Sememangnya memuji wanita itu ada
aturannya, jadi bagi suami yang belum mengetahuinya, eloklah membaca
panduan di bawah ini.
1. Memuji Tanpa Ada Udang Di Sebalik Batu
Ada suami yang meluahkan pujian
bila mahukan sesuatu daripada isterinya. Malah ada juga yang hanya
memuji isteri tatkala berkehendakkan layanan batin di malam hari.
Sebenarnya jangan terlalu kerap memberi pujian yang berbau erotis kerana
tak mustahil isteri beranggapan bahawa suami menganggap dirinya sebagai
objek pemuas seks saja.
2. Dalam Bentuk Kalimat
Luahan pujian selain secara
lisan adalah dalam bentuk bahasa tubuh seperti sentuhan. Tak kurang juga
hanya dengan cara pandangan dan siulan. Tapi lelaki yang memuji dengan
cara ini, menunjukkan mereka tidak kreatif. Wanita yang dipuji juga
boleh berasa kurang selesa. Pujian yang lebih tepat adalah melalui
kata-kata. Tatap mata isteri dan luahkan kata-kata manis buat dirinya.
Cara ini lebih berkesan malah hingga menusuk ke jiwa.
4. Tidak Berlebih-lebihan
Walau wanita itu senang dan suka
bila dipuji, tetapi kalau pujian itu “over” ia boleh membuatkan dirinya
tidak selesa. Lebih-lebih lagi jika seseorang wanita itu bersifat amat
pemalu. Pujian berlebihan terutama sekali di hadapan rakan atau ahli
keluarga akan membuatkan dirinya jadi serba tak kena.
Sebaiknya
pujilah isteri pada perkara yang patut dipuji. Misalnya jika isteri
pandai merias rumah, katakan bahawa dirinya punya bakat terpendam dalam
seni hiasan dalaman, begitu juga kalau isteri pandai bergaya, kata
bahawa dirinya pandai mengikuti fesyen semasa.
5. Ikhlas
Pujian yang diberikan oleh
seorang suami tentunya lebih bermakna jika ia adalah ikhlas dari hati.
Bukan kerana mahu menampilkan diri adalah seorang suami yang ramah, atau
mengharapkan pujian balik.
6. Belajarlah
Akhir sekali seni memuji isteri
ini bukan datang begitu saja. Anda perlu belajar memuji barulah skil itu
kelihatan seperti semula jadi. Oleh itu selalulah memuji isteri, bukan
itu saja puji juga ahli keluarga dan majikan anda kerana tiada ruginya
tindakan yang anda tahu memberi kegembiraan pada seseorang.
Perkara Kecil Namun Bermakna Buat Wanita
Perkara yang bermakna buat
wanita bukanlah dengan hanya memberikan mereka hadiah yang mahal seperti
kereta, emas berlian mahupun rumah yang cantik. Sebenarnya
perkara-perkara kecil yang dilakukan oleh suami boleh saja memberi kesan
yang besar dan bermakna buat diri mereka. Tindakan-tindakan yang mudah
ini boleh membuatkan isteri rasa benar-benar dicintai dan disayangi.
1. Pujian Meskipun Tanpa Solekan
Ketika baru bangun dari tidur,
suami memuji kecantikan. Tentunya perkara ini datang dari keikhlasan
hati. Malah pujian sebegini memberi mood dan membuat dirinya ceria
sepanjang hari.
2. Mendengarkan Keluhan
Setelah sepanjang hari bekerja,
wanita selalunya mahu meluahkan apa yang dilalui. Ketika suami mendengar
luahan ini tanpa menghakimi, isteri akan berasa lega dan merasai
dirinya punya pasangan yang cukup memahami.
3. Bantuan Tanpa Dipinta
Ketika isteri sedang membawa
barang berat, suami pantas membantu tanpa perlu diminta. Begitu juga
tindakan suami membantu kerja-kerja rumah tatkala melihat isteri
kepenatan. Ini memberi petanda bahawa suami begitu prihatin tentang
dirinya.
4. Memikirkan Hal-hal Kecil
Ketika gula atau kopi di rumah
sudah habis, tanpa diminta si dia sudah membelikannya untuk anda. Ketika
suami mengingati perkara-perkara yang dilupai isteri, suami akan makin
dicintai.
5. Membuatkan Teh/Minuman
Suami memang suka bila isteri
melayani makan dan minumnya. Tapi jika sesekali suami pula berbuat
demikian pada isteri, tentunya isteri rasa gembira dan bahagia sekali.
Dijamin isteri akan tersenyum sepanjang hari.
Sumber: Mingguan Wanita
No comments:
Post a Comment