10 March 2013

Qurban Dan Aqiqah Bolehkah Dilakukan Serentak


Hari Satu Je Entry... Penat


 MELAKSANAKAN ibadah korban dan akikah amat digalakkan oleh Islam kerana fadilatnya cukup besar. Kaedah melaksanakan kedua-dua ibadah ini hampir sama dari segi hukum dan syarat-syaratnya walaupun terdapat beberapa perbezaan.

Menurut Imam Khatib Syarbini dalam kitabnya, Mughni al-Muhtaj, hukum ibadat korban adalah sunat muakkad. Bagi yang bernazar, ia akan menjadi wajib, manakala makruh bagi mereka yang sengaja meninggalkannya sedangkan berkemampuan untuk melaksanakannya.

Namun begitu, ibadah korban adalah wajib ke atas Nabi Muhammad s.a.w. seperti mana yang terdapat dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Termizi bermaksud: "Diwajibkan ke atasku melaksanakan ibadah korban namun ia merupakan suatu amalan sunat bagi kamu."

Akikah menurut Imam al-Syarbini dalam kitabnya, al-Iqnaa ialah binatang yang disembelih pada hari kelahiran bayi dan sewaktu mencukur rambut bayi tersebut. Hukum ibadah akikah adalah sunat muakkad seperti mana ibadah korban.
 

"Namun, ibadah korban dan akikah akan bertukar menjadi wajib sekiranya seseorang itu bernazar untuk melakukannya. Islam menetapkan keadaan dan masa tertentu bagi memastikan ibadah korban dan akikah dapat dilaksanakan sah di sisi syarak," jelas pensyarah Fakulti Undang-undang dan Syariah, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), Wan Abdul Fattah Wan Ismail.

Menurut beliau, terdapat beberapa kekeliruan yang sering timbul antara ibadah korban dan akikah khususnya dalam kes menggabungkan niat korban dan akikah sekali gus. Dalam kitab Tuhfah dan al-Fatawa al-Kubra, Ibn Hajar al-Haitami menyatakan bahawa: "Jika seseorang itu berniat ibadah korban dan akikah ke atas seekor kambing sekali gus maka kedua-duanya dianggap sebagai batal." Ini kerana korban dan akikah mengandungi makna sunat yang tersendiri.

Ibadah korban bertujuan untuk membersihkan diri mereka daripada melakukan dosa, manakala akikah adalah sebagai tanda menyambut kelahiran bayi.

Selain itu, persoalan yang turut mengelirukan ialah sama ada perlu atau tidak orang yang berkorban menyaksikan sendiri penyembelihan haiwan tersebut. Rasulullah s.a.w. bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim bermaksud: "Wahai Fatimah! Berdirilah di sisi korbanmu dan saksikan ia sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu."

Hadis di atas tidak menunjukkan bahawa ia adalah satu kemestian untuk menyaksikan ibadah korban dan akan terbatalnya ibadah tersebut sekiranya tidak berbuat demikian.

"Dengan kata lain, ibadah korban dan akikah boleh dilaksanakan secara berwakil bagi pihak yang ingin melaksanakan korban dan akikah sekalipun mereka tidak ada bersama-sama ditempat ibadah tersebut dilaksanakan, " jelas al-Hakim.

Terdapat banyak kelebihan dalam mengerjakan ibadah korban dan akikah seperti mana yang terkandung dalam surah al-Kauthar, ayat dua bermaksud: "Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah. "

Dengan melaksanakan ibadah korban juga dapat menangkis jiwa manusia daripada sikap kedekut dan bakhil. Sebaliknya dapat melahirkan perasaan kasih sayang sesama Muslim dengan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Haj ayat 36: "Dan telah Kami jadikan unta-unta itu sebahagian daripada syiar Allah, kamu memperoleh kebaikan yang banyak daripadanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah diikat).

Kemudian apabila telah roboh (mati), maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta. Demikianlah Kami telah menundukkan unta-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur."

Kelebihan mengerjakan ibadah akikah dalam kitab Sabila al-Muhtadin, Imam Ahmad menyebut, anak-anak yang tidak dilaksanakan akikah tidak akan datang pada hari kiamat untuk memohon syafaat bagi kedua ibu bapanya.

Seperti yang diketahui, ibadah korban dan akikah selain memenuhi tuntutan agama ia juga sebagai pemangkin untuk mengembangkan syiar Islam. Ini termaktub dalam matlamat utama ibadah ini dilakukan iaitu untuk membantu fakir miskin dan golongan yang kurang bernasib baik di kalangan umat Islam.

"Tetapi, apa yang dapat dilihat pada hari ini, di sesetengah tempat, ibadah korban dan akikah telah bertukar menjadi adat kerana syariatnya tidak dipenuhi. Daging-daging tidak diagihkan dengan betul dan dimasak seolah-olah kenduri biasa.

"Sebenarnya, begitu ramai pihak yang ingin melakukan ibadah tersebut semata-mata untuk membantu orang yang kurang berkemampuan. Ini mungkin disebabkan mereka tidak mengetahui secara khusus tentang kaedah pengagihan yang diamalkan sekarang," ujarnya.

Bagi memastikan ibadah korban dilaksanakan dengan sistematik khususnya melibatkan pengagihan, sewajarnya ia diberikan kepada penganjur yang boleh mengendalikannya dengan adil dan telus.

"Maka dengan mengadakan program dan akikah di tempat yang umat Islam tertindas seperti Kemboja, Palestin dan Iraq amat bertepatan dengan matlamat ibadah tersebut iaitu membantu umat Islam yang tertindas dan hidup dalam kemiskinan. Secara tidak langsung, ia dapat meningkatkan hubungan persaudaraan di kalangan umat Islam," katanya.

Persoalan

Bolehkah seekor lembu sebahagian dijadikan ibadah akikah & sebahagian lagi dijadikan qurban?

 

Penyelesaian

 

Seekor lembu boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian bagi melaksanakanibadah qorban atau aqiqah. Sebahagiannya boleh dibuat qurban dansebahgian yang lain dibuat aqiqah. Contohnya 3 bahagian dibuat qurbanmanakala 4 bahagian lagi dibuat aqiqah.




No comments: