LAHAD DATU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan berada di Sabah pada Khamis untuk meninjau sendiri perjalanan Op Daulat di pantai timur negeri itu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang
mengesahkan perkara itu berkata perdana menteri akan ke lapangan Op
Daulat dalam operasi susulan dan penggeledahan di Kampung Tanduo,
kira-kira 130 kilometer dari sini.
Hishammuddin berkata beliau yakin kehadiran Najib akan memberi semangat
baharu kepada semua anggota pasukan keselamatan yang terlibat dalam Op
Daulat, terutama setelah apa yang dilalui sepanjang operasi itu.
"Kalau diikutkan kehendak perdana menteri sejak hari pertama lagi beliau
sudah mahu turun ke sini," katanya pada sidang akhbar bersama Menteri
Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada pukul 10 pagi di sini.
Hishammuddin berkata Najib dijadual memantau perjalanan dan akan diberi taklimat perkembangan terkini operasi.
"Secara peribadi saya dan Zahid cukup menunggu kehadiran beliau. Sebelum
ini kami hanya menghubungi perdana menteri melalui telefon dan hari ini
beliau sendiri turun untuk melihat sendiri keadaan di lapangan,"
katanya.
Menjelas lanjut, Ahmad Zahid berkata selain bertujuan memantau
perjalanan operasi dan memberi semangat kepada pasukan keselamatan,
kedatangan Najib adalah untuk melihat kelengkapan logistik dan kebajikan
anggota bertugas.
"Empat faktor ini yang menjadi latar belakang lawatan perdana menteri ke lapangan," katanya.
Beliau berkata ini bukan kali pertama Najib turun ke 'ground zero'
kerana beliau yang pernah menjadi Menteri Pertahanan selama 14 tahun,
telah ke Bosnia and Herzegovina, Timor Leste, Lubnan dan yang terakhir
ke Gaza.
Pada sidang media itu Ahmad Zahid turut mengedarkan beberapa keping
gambar berhubung operasi susulan dan penggeledahan yang dijalankan
anggota keselamatan di Kampung Tanduo kepada media. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment