06 March 2013

Sekadar Renungan


Ops Sulu - Serang Udara Bermula Di Lahad Datu

putera gahara gagah perkasa
PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan pasukan keselamatan Malaysia memulakan operasi mengusir penceroboh warga Filipina di Kampung Tanduo atau dikenali sebagai Ops Sulu (UPDATE TERKINI - OPS DAULAT) dengan serangan udara.
Malaysia Akan Bertindak Mengikut Kekuatan Kita - Perdana Menteri

“Jam 10 pagi tadi, pasukan keselamatan memulakan operasi besar-besaran di Lahad Datu. Bermula serangan udara melalui pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia diikuti ledakan mortar pada saat saya berucap ini,” kata Najib ketika menyampaikan Ucaptama di Majlis Perdana Ulamak-Umara di Stadium Putra Bukit Jalil.

Tegasnya pasukan polis dan tentera darat menggunakan kereta perisai untuk memasuki kawasan yang diceroboh oleh kumpulan ini yang telah mencabul kedaulatan negara Malaysia.


Menurut Najib pasukan keselamatan Malaysia telah mengambil tindakan selamat untuk tidak menumpahkan setitis darah pun di muka bumi Sabah.


“Namun saya dukacita, niat yang baik telah dibalas dengan tindakan menembak dan membunuh yang dilakukan terhadap pasukan keselamatan negara. Sebagai Ketua Negara kerajaan ambil keputusan bahawa masa untuk kita membuat pertimbangan sudah berakhir.”


Tegas Perdana Menteri lagi,
“Malaysia akan bertindak mengikut kekuatan kita kerana kita tidak boleh biarkan tanah bumi ini tergugat oleh sesiapa pun.”
Berikut Merupakan Kenyataan Media Penuh Perdana Menteri Malaysia

Sejak pencerobohan oleh kumpulan bersenjata di Lahad Datu pada 12 Februari 2013, kerajaan mengambil pendekatan untuk menyelesaikan konflik ini tanpa pertumpahan darah.


Pihak polis sudah mengadakan pertemuan dan rundingan dengan harapan penceroboh akan bersetuju keluar dengan aman tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang yang serius.


Semakin lama pencerobohan ini berlanjutan, jelas kepada pihak berkuasa bahawa penceroboh tidak berniat untuk keluar dari tanah Sabah.


Pada hari Jumaat lalu, mereka melepaskan tembakan ke arah anggota polis yang bertugas di kawasan tersebut menyebabkan dua anggota kita terbunuh; sehari kemudian enam lagi anggota polis dibunuh oleh penceroboh di Semporna.


Selepas serangan yang pertama, saya menegaskan bahawa penceroboh mesti menyerah diri dan jika mereka enggan pihak berkuasa negara ini akan bertindak.


Sebagai negara Islam yang cintakan keamanan dan mengangkatkan perjuangan penyelesaian konflik secara perundingan, usaha kita menggelakkan pertumpahan darah di Lahad Datu tidak berjaya.


Sebaliknya, anggota pasukan keselamatan kita diserang dan dibunuh, rakyat Malaysia khususnya di Sabah bimbangkan keselamatan mereka.


Kerajaan mesti mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menjaga maruah dan kedaulatan negara sebagaimana yang dituntut oleh rakyat.


Pada jam 7 pagi ini pasukan keselamatan melancarkan serangan di Kampung Tanduo.


Dato Sri Mohd Najib Tun Razak

PERDANA MENTERI MALAYSIA


Komando Polis Terbunuh Di Lahad Datu - Tragedi Mac!
Enam Anggota Polis Terbunuh Di Semporna - Al Fatihah!
7 Batalion Tentera Dikerah Bekerjasama Dengan Polis Tangani Pencerobohan

Jika sebelum ini insiden berdarah di Sabah ditangani pihak polis namun setelah penceroboh semakin berani 'tunjuk belang' dengan membunuh anggota keselamatan, pihak tentera kini dikerah MEMBANTU polis menghadapi pihak penceroboh Sulu yang bersenjata.

Semalam 4 Mac 2013,
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishammuddin Tun Hussein tiba dengan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Komtek Sahabat 16 Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) dekat Lahad Datu. Mereka tiba pada 12.15 tengah hari dengan menaiki helikopter dari Lapangan Terbang Lahad Datu dan terus ke Komtek Sahabat 16 Batalion 17 Pasukan Gerakan Am bagi mendengar taklimat keselamatan pencerobohan Kampung Tanduo.

Melalui akaun twitternya, Datuk Seri Ahmad Zahid memberitahu sebanyak tujuh batalion tentera telah dikerah ke Sabah bagi membantu pasukan polis menghadapi penceroboh bersenjata di negeri itu.


Menurut beliau, daripada jumlah itu,
lima batalion telah dihantar ke Lahad Datu manakala dua lagi masing-masing di Tawau dan Sandakan.

“Untuk maklumat penduduk Sabah, saya ingin maklumkan bahawa pihak tentera membantu polis sepenuhnya
.

“ATM sudah menghantar tujuh batalion yang sedang beroperasi sekarang. Lima batalion di Lahat Datu, satu batalion di Sandakan dan satu batalion di Tawau.”

putera gahara gagah perkasa
Serangan Udara Bermula Seawal 7 Pagi

Pasukan keselamatan melancarkan serangan ofensif ke atas penceroboh kumpulan bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 7 pagi ini. Gerakan ke atas penceroboh dimulakan kira-kira pukul 7 pagi dengan serangan udara.

Pada awalnya kedengaran bunyi jet mengisi ruang udara kampung itu diikuti dengan bunyi tiga letupan setengah jam kemudian.


Serangan ofensif udara dilakukan jet pejuang F18 dan Hawk diikuti mortar dan gerakan di darat oleh anggota tentera.


Pasukan komando di barisan hadapan yang mengepung kawasan itu dilihat merapati kawasan perkampungan diikuti dengan Pasukan Gerakan Am.


Wartawan Bernama yang berada di Felda 16, kira-kira 20 kilometer dari Kampung Tanduo melaporkan letupan ketiga paling kuat sehingga menggegarkan cermin kafe Residental Felda Sahabat tempat beliau menginap.


Dua helikopter Nuri kelihatan melalui ruang udara kawasan itu. Manakala penduduk Kampung Labian dan Kampung Batu berhampiran Kampung Tanduo telah dipindahkan malam tadi dan polis dijadual mengadakan sidang akhbar pada pukul 10 pagi.


putera gahara gagah perkasa


Kawalan Keselamatan Di Zon Merah Diperketat Oleh Anggota Keselamatan

Pihak keselamatan juga telah memperketatkan kawalan keselamatan di zon merah susulan serangan ofensif yang dilancar ke atas penceroboh bersenjata di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo di sini hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati pasukan keselamatan meletakkan zon penampan bagi membezakan kawasan perang dan ruangan untuk orang awam di laluan masuk ke Kampung Tanduo, Labian dan Tanjung Batu yang dikawal ketat oleh anggota keselamatan terdiri daripada tentera dan polis.


putera gahara gagah perkasa
Anggota keselamatan berkawal menyekat penyusupan penceroboh.

Kawasan itu menjadi zon larangan masuk bagi orang awam dan pihak tidak berkaitan.

Sementara itu, masyarakat setempat termasuk di kawasan berjiran seperti Felda Sahabat 16 pula mengambil langkah keselamatan dengan berkurung di dalam rumah.


Bandar Lahad Datu Tenang Dan Selamat


putera gahara gagah perkasa
Suasana tenang di Bandar Lahad Datu sejak serangan 7 pagi tadi

Tinjauan Bernama di bandar Lahad Datu, kira-kira 130 kilometer dari kawasan pencerobohan kumpulan bersenjata terbabit, mendapati keadaan seperti biasa dan orang ramai masih keluar dengan urusan masing-masing.

Walaupun masih banyak premis perniagaan ditutup, operasi beberapa kedai runcit, kedai kasut dan kedai telekomunikasi di Bandar Sri Perdana berjalan seperti biasa.


Awal pagi ini pasukan keselamatan melancarkan serangan ofensif dari udara dan darat ke atas penceroboh yang menjadikan Kampung Tanduo sebagai kubu mereka sejak 9 Feb lepas.


Serangan itu dilancar selepas kumpulan terbabit tetap enggan menyerah diri sekalipun telah diminta berbuat demikian oleh pasukan keselamatan.


Sehingga kini, lapan anggota pasukan Polis Diraja Malaysia terkorban ketika mempertahankan keselamatan negara daripada ancaman kumpulan penceroboh terbabit yang mendakwa mereka ‘Tentera Sulu’. - BERNAMA


BERITA TERKINI


putera gahara gagah perkasa
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi di lokasi operasi


KUALA LUMPUR – Pasukan keselamatan negara kini sedang melaksanakan operasi pembersihan sejurus selepas tamat fasa pertama serangan ke atas penceroboh Sulu dilaksanakan awal pagi tadi.


Demikian menurut laman sosial milik
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Operasi Pembersihan Bermula Selepas Fasa Serangan Udara Dilancarkan Pagi

“Operasi pembersihan sedang dilakukan. Semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, doakan pasukan kami sentiasa dilindungi Allah,”
.
UPDATE TERKINI


Bukan Ops Sulu Tetapi Ops DAULAT

Dalam sidang video dengan editor kanan media dari Lahad Datu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, anggota polis dan tentera yang menyertai operasi itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Semangat anggota polis dan tentera yang menyertai
‘OPS DAULAT’ untuk menghapuskan penceroboh asing bersenjata yang berkubu di Kampung Tanduo, Lahad Datu terus membara berkat sokongan dan dorongan kuat seluruh rakyat Malaysia.
Kerjasama Antara Polis Dan Tentera Yang Membanggakan

Tan Sri Ismail berkata, anak buahnya mendapat semangat daripada sokongan yang dipamerkan orang ramai terhadap usaha mereka memburu penceroboh bersenjata berkenaan.

Sementara itu
Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Jeneral Zulkifeli Mohd. Zin pula berkata, selain semangat tinggi yang ditunjukkan anggota tentera, seperkara lagi yang begitu membanggakan ialah kerjasama erat yang terjalin antara pasukan polis dan tentera dalam operasi pembersihan di Kampung Tanduo melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS). Sejak dua tahun lepas, polis dan tentera melaksanakan beberapa inisiatif melalui NBOS. 

Sumber :Puterigahara

No comments: