Pengemis Pakistan kutip RM3,000 sebulan
SEREMBAN 26 Julai - Dengan wajah sedih dan tangan dihulur bersama tisu kepada pemandu kereta yang berhenti di lampu isyarat dekat Taman AST, dua wanita pengemis warga Pakistan boleh meraih sehingga RM3,000 sebulan.
Lebih mengejutkan ketika serbuan dilakukan oleh pegawai Imigresen di lokasi tersebut semalam, dua wanita berkenaan sudah pun memiliki tiket penerbangan pulang ke negara asal bersama beberapa keping wang RM1 dan RM5 dengan nilai RM300 hasil kutipan separuh hari mengemis di Jalan Sungai Ujong dekat Taman AST itu.
Kegiatan yang dilakukan warga Pakistan menggunakan Pas Lawatan Sosial selama sebulan ke negara ini dipercayai perbuatan satu sindiket yang menjalankan aktiviti itu sejak beberapa bulan lalu.
Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman memberitahu, penahanan kedua-duanya dibuat selepas orang ramai membuat aduan berhubung kegiatan itu yang boleh membahayakan keselamatan pemandu, terutama ketika menghampiri kenderaan di laluan sibuk.
"Ketika ditahan, dua wanita itu cuba melarikan diri. Hasil pemeriksaan lanjut terhadap dua wanita berusia 50-an, kami menemukan dua telefon bimbit, stok tisu muka selain longgokan wang di dalam empat buah beg yang dianggarkan berjumlah RM300," katanya di sini hari ini.
Jelas Faizal Fazri, siasatan lanjut turut mendapati mereka mempunyai salinan tiket penerbangan untuk pulang ke negara asal yang sepatutnya hari ini.
"Mereka ini kita lihat sebagai pengemis profesional dan boleh memperoleh pendapatan lebih RM3,000 sebulan hasil kutipan daripada orang ramai.
"Wang berkenaan akan digunakan untuk menyara kehidupan mereka beserta tambang pulang ke negara selepas tugasan selesai," katanya.
Tambah Faizal Fazri lagi, kesemua wanita berkenaan telah dibawa ke Jabatan Imigresen negeri di Wisma Negeri, dekat sini untuk siasatan lanjut sebelum tindakan susulan diambil.
"Kes ini disiasat di bawah Peraturan 39 (b) akta yang sama kerana melanggar syarat pas yang telah ditetapkan," jelas beliau.
No comments:
Post a Comment