26 July 2013

Masyarakat - Iman Dan Aqidah



  Satu fakta yang tidak ada keraguan serta tidak menjadi bahan perselisihan lagi bahawa masyarakat Islam adalah sebuah ‘masyarakat mukmin’ (masyarakat yang beriman kepada ALLAH).

  Asas utama bagi masyarakat ini yang merupakan tiang-tiang berdirinya ialah akidahnya: Akidah Islamiyah. Oleh itu tugas utama masyarakat Islam ialah menyemai akidah ini, menjaganya, meneguhkannya dan memeliharanya serta meratakan cahayanya ke seluruh alam.

Akidah Islamiyah terdiri daripada keimanan kepada ALLAH, para malaikat, para rasul-rasulNYA dan Hari Akhirat :

{ Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada ALLAH, dan malaikat-malaikatNya, dan kitab-kitabNya dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): “Kami tidak membeza-bezakan antara seorang rasul dengan rasul-rasul yang lain”. Mereka berkata lagi: ‘Kami dengar dan kami taat. (Kami memohon) keampunanMU wahai Tuhan kami, dan kepadaMU jualah tempatkembali”}
                                                                                                         (Al-Baqarah:285).

   Ini merupakan akidah yang membina bukan meruntuhkan, akidah yang menyatukan bukan yang memisah-misahkan, kerana ia dibina berasaskan warisan risalah Ilahiyyah (keTuhanan) keseluruhannya, di atas keimanan kepada semua para rasul-rasul yang diutuskan ALLAH

 { Kami tidak membeza-bezakan antara seorang rasul dengan rasul-rasul yang lain }  (Al-Baqarah: 285) 


                Tema Akidah Islamiyah-Dua Kalimah Syahadah

   Akidah ini memiliki tema atau syiarnya yang tersimpul pada :
                                                                                                                     
Kesaksian bahawa tidak ada TUHAN melainkan ALLAH dan bahawa Nabi Muhammad utusan ALLAH’. 

        Akidah ini menggambarkan perspektif atau pemikiran dan pandangan orang-orang muslim mengenai alam semesta serta Pencipta alam semesta ini, dan mengenai alam semulajadi serta apa yang tersirat di sebalik alam semulajadi ini, dan mengenai kehidupan serta apa yang akan berlaku selepas hidup ini, dan mengenai alam nyata serta alam yang tidak nyata. Dengan perkataan lain, akidah ini membicarakan berkenaan : makhluk dan Khaliq (Pencipta), dunia dan akhirat, serta Alam Syahadah (alam nyata) dan Alam Ghaib.
     
  Alam semesta ini yang terdiri daripada bumi dan langitnya, benda-benda keras dan tumbuhannya, haiwan serta manusia, jin dan malaikat…. Kejadian alam semesta ini bukanlah dijadikan daripada tanpa sesuatu dengan tiba-tiba, dan alam ini tidaklah menciptakan dirinya sendiri. Mesti ada pencipta baginya yang bersifat Maha Mengetahui, Maha Berkuasa, Maha Gagah, Maha Bijaksana menciptanya dan menjadikannya seimbang, kemudian menetapkan kedudukan setiap kejadian dengan kebijaksanaanNya, setiap inci ada timbangannya, dan setiap gerakan yang berlaku adalah menurut kadar serta perhitungan yang sesuai. Pencipta itu adalah ALLAH, yang setiap perkataan malahan setiap huruf dalam alam yang wujud ini menunjukkan KehendakNya serta KekuasaanNya, IlmuNya dan Kebijaksanaannya.

 { Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi ALLAH; dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memujiNya }
                                                                                             (Al-Israa’:44).

   Pencipta Yang Maha Tinggi ini Dialah Tuhan langit dan bumi, Tuhan sekalian alam, Tuhan setiap sesuatu, yang Tunggal lagi Esa. Tiada sekutu baginya pada zatNya dan pada sifatNya dan af’al (perbuatan)Nya. Dialah satu-satunya Tuhan yang menciptakan, yang mengadakan, yang membentuk rupa, yang memiliki Asmaul Husna (nama-nama yang paling baik) serta sifat-sifat yang paling tinggi. Tidak ada sesuatu yang setara denganNya dan tiada lawan bagiNya, tidak beranak dan tidak berbapa, tiada yang serupa denganNya dan tiada tandingan bagiNya.

{ Katakanlah: “Dialah ALLAH, Yang Maha Esa.” ALLAH adalah Tuhan yang bergantung kepadaNya segala sesuatu. Dia tidak beranak dan tiada pula diperanakkan. Dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia.” }              
                                                                                                                                         (Al-Ikhlas:1-4)

{ Dialah Yang Awal dan Yang Akhir; dan Yang Zahir serta Yang Batin; dan Dialah Yang Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.}
                                                                                                                (Al-Hadiid:3)

{ Tiada sesuatu pun yang sebanding dengan (zat, sifat-sifat, dan pentadbiran)Nya, dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.}
                                                                                                             (Asy-Syura:11)

    Semua benda-benda yang ada di alam semesta yang hebat ini, yang di atas serta yang di bawah, yang senyap dan yang berbunyi, menjadi bukti bahawa ada satu akal yang mentadbir urusannya, dan ada satu tangan yang mengendalikan putarannya, dan alam ini diarahkan oleh satu pengemudinya kerana jika tidak, sudah tentu akan berselerak sistemnya, terlepas teraju pemerintahannya, kacau-bilau sukatannya, hancur binaannya, oleh sebab apa yang pasti berlaku kesan daripada perselisihan antara akal-akal yang tidak sependapat dalam mengarahkannya, dan pertentangan antara tangan-tangan dalam menggerakkannya… Benarlah firman ALLAH Yang Maha Agung menyebut:

 { Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari ALLAH, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka Maha Suci ALLAH, Tuhan yang memiliki ‘Arasy dari apa yang mereka sifatkan
                                                                                                         (Al-Anbiya’: 22)

dan firman ALLAH Yang Maha Mulia:

{ALLAH tidak sekali-kali mempunyai anak, dan tidak ada sama sekali sebarang tuhan besertaNya; (kalaulah ada banyak tuhan) tentulah tiap-tiap tuhan itu akan menguasai dan menguruskan segala yang diciptakannya dengan sendirian, dan tentulah setengahnya akan bertindak mengalahkan setengahnya yang lain. Maha Suci ALLAH dari apa yang dikatakan oleh mereka itu
                                                                                                       (Al-Mukminun:91)

 serta firmanNya:

 { Katakanlah: Kalaulah ada tuhan-tuhan yang lain bersama-sama ALLAH, sebagaimana yang mereka katakan itu, tentulah tuhan-tuhan itu akan mencari jalan kepada ALLAH yang memiliki Arasy (dan kekuasaan yang mutlak). Maha Sucilah ALLAH dan tertinggilah setinggi-tingginya, jauh dari apa yang mereka katakan itu. }
                                                                                                          (Al-Isra’:42- 43).

       

   Satu hakikat yang tidak ada keraguan padanya: bahawa semua makhluk yang bernyawa yang ada di langit dan di bumi adalah hamba-hamba ALLAH, dan segala benda-benda yang ada di langit dan di bumi adalah milik ALLAH. Tidak ada sesiapa atau sebarang benda samada yang berakal atau yang tidak berakal menjadi sekutu bagi ALLAH, atau menjadi anak ALLAH, sebagaimana dakwaan golongan penyembah berhala dan yang seumpamanya,

 {Dan mereka berkata: “ALLAH mempunyai anak”. Maha Suci ALLAH (dari apa yang mereka katakan), bahkan Dialah Yang memiliki segala yang ada di langit dan di bumi, semuanya itu tunduk di bawah kekuasaanNya. ALLAH jualah yang menciptakan keindahan langit dan bumi, dan apabila Dia berkehendak sesuatu, maka Dia hanya berkata “Jadilah engkau!” lalu jadilah ia.}
                                                                                                 (Al-Baqarah: 116-117).

   Sesiapa yang menyeleweng daripada hakikat ini di dunia, akan disingkap kepadanya hakikat ini di akhirat nanti, dan dia akan nampak hakikat ini sejelas-jelasnya seterang matahari.

 {Tidak ada sesiapa pun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada Tuhan Yang Maha Pemurah sebagai hamba. Demi sesungguhnya! ALLAH mengira mereka dan menghitung mereka satu persatu. Dan mereka masing-masing akan datang mengadapNya pada hari kiamat seorang diri.}                         
                                                                                                          (Maryam:93-95).

      Maka bukanlah suatu yang aneh jika Pencipta Yang Maha Hebat ini, Tuhan Yang Paling Tinggi ini, Dialah satu-satu yang layak ditujukan kepadaNya IBADAH serta ketaatan yang mutlak, dengan perkataan lain:“Layak menerima kemuncak penyerahan diri serta kemuncak cinta. Maka pengertian yang tergabung dari penyerahan diri sepenuhnya dan cinta sepenuh hati inilah yang kita namakan IBADAH”.[1]

    Inilah makna kalimah “لا اله الا الله “ ‘Tidak ada Tuhan melainkan ALLAH’ iaitu benda atau sesiapa selainNya tidak layak ditujukan Ibadah (peng’abdian)…atau ia juga bermaksud tidak ada yang layak menerima segala bentuk penyerahan diri dan segala bentuk kecintaan kecuali Dia(ALLAH)… Dia sahaja satu-satu yang tunduk kepadaNya seluruh anggota, dan sujud kepada keagunganNya dahi-dahi, lidah-lidah bertasbih dengan memujiNya, serta patuh kepada hukumNya hati, akal dan tubuh badan.

   Dia sahaja satu-satu yang hati-hati menghalakan cinta sepenuhnya, Dia yang tunggal dengan kesempurnaan seluruhnya, iaitu kesempurnaan yang dikasihi serta dikasihi hambaNya. Dialah sumber segala keindahan, iaitu keindahan yang disukai dan disukai hambaNya. Dialah yang memberikan segala nikmat, dan sumber segala kebaikan.

 {Dan apa-apa nikmat yang ada pada kamu adalah daripada ALLAH
                                                                                                              (Al-Nahl:53), 

dan kebaikan serta nikmat sentiasa disukai dan orang yang melakukannya pun disukai oleh orang ramai.

    Makna “لا اله الا الله “ ialah menolak segala bentuk penyerahan serta penyembahan kepada setiap kuasa selain dari kekuasaan ALLAH, setiap hukum selain hukum ALLAH, setiap perintah selain perintah ALLAH. Kalimah ini juga bermakna tidak memberikan kesetiaan kecuali kepada ALLAH dan tidak mencurahkan kecintaan kecuali kepada ALLAH dan pada jalanNya sahaja.

[1] Rujuk makna Ibadah dengan terperinci dalam buku kami “Ibadah Dalam Islam” – Qaradawi.

No comments: