Setiap orang yang mengerjakan puasa
perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan
ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:
1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya;
2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia;
3.
Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau
yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha
sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.
Ulama
silam pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa
yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?”
Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak
dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal;
4.
Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada
mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan
demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang
memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong
kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan
keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah
s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya
melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat an-Nasaei)
Meninggalkan
maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka
sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih
dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasulullah, Puasa itu adalah ‘perisai',
sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia
bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang
lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan
kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim);
5.
Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya,
bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar
dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya
kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu
dicapai;
6. Jauhkan diri daripada
mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan
yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan
puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan
tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif
terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan
Ramadan.
Mereka
yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika
berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya
terpedaya dengan pujukan iblis. Rayuannya bertujuan menghilangkan
barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan
daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir
kepada-Nya.
Kenyang
Sepatutnya
orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah
kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian,
kealpaan, keras hati dan malas untuk taat kepada Allah s.w.t..
Sabdanya:
Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya,
memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang
belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian
perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga
terakhir bagi pernafasannya. (Riwayat Ahmad dan at-Tarmizi)
Terdapat
ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang
anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi
sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang.”
As-Salaf
as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan
dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan
secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa;
7.
Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan
mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya
sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan
sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah
tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan
yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan
bagi amalan akhirat;
8.
Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk
waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah
dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.
Nabi
s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda
baginda: Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana
mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan
makan sahur. (Riwayat Bukhari dan Muslim);
9.
Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan
beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa
yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya
ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun
pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu
Khuzaimah)
10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya.
Adalah
dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat
terawihnya seperti mana amalan kebiasaan di masjid dan surau.
Perbuatan
tersebut menjejaskan mutu ibadat solat tersebut kerana meninggalkan
‘wajib-wajib' solat seperti meninggalkan tomakninah semasa rukuk dan
sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran
ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga menyebabkan makmum di
belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya.
Amalan terawih seperti itu adalah tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.
Oleh
itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan
ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan kiam, bacaan
al-Fatihah, rukuk, sujud, khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat
dan rukunnya.
Bagi
makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya sepanjang solat
terawih itu sehinggalah selesai sama ada 20 rakaat ataupun lapan rakaat.
Sabda Rasulullah s.a.w., Apabila seseorang menunaikan solat bersama
imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya
(makmum) pahala kiam semalaman. (Riwayat an-Nasaei)
NAZMI AIDARUS
No comments:
Post a Comment