Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD
Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
HARI ini merupakan permulaan bulan
Ramadan. Tentunya ini amat dinanti-nantikan oleh mereka yang sukakan ibadat.
Tawaran yang Allah berikan adalah amat istimewa. Gandaan pahala diberikan pada
setiap amalan dengan jumlah yang tinggi. Maka perlulah setiap Muslim merebut
peluang sekali setahun ini.
Ramadan istimewa kerana merupakan
pilihan Allah SWT untuk menurunkan al-Quran. Firman-Nnya yang bermaksud: Bulan
Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran menjadi petunjuk kepada sekelian
manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan
perbezaan antara yang benar dengan yang salah. (al-Baqarah: 184)
Al-Quran yang sampai kepada kita
pada hari ini diturunkan secara sekali gus pada bulan Ramadan dari Luh Mahfuz
ke Bait-'Izah di langit dunia. Dari situlah al-Quran diturunkan ke pada Nabi
Muhammad SAW secara beransur-ansur mengikut peristiwa yang berlaku selama 23
tahun iaitu 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.
Antara amalan yang dilakukan oleh
Rasulullah SAW pada bulan Ramadan ialah tadarus al-Quran. Baginda bertadarus
al-Quran dengan Jibril. Maksud tadarus bukan membaca sahaja, tetapi merangkumi
membaca, mengkaji, memahami dan menghayati isi kandung al-Quran.
Justeru, selain kita membaca
al-Quran di hadapan guru dengan penekanan kepada sebutan yang betul seperti
teguran pada ikhfa', idgham, mad, sifat huruf dan makhraj, kita
juga perlu memahami kandungan ayat yang kita baca.
Ramai di kalangan kita suka membaca
al-Quran berbanding memahami maksud ayat-ayatnya.
Keazaman yang perlu ada dalam diri
sebelum datang Ramadan ialah khatam al-Quran paling kurangnya sekali sepanjang
Ramadan. Teori mudahnya ialah membaca empat halaman setiap kali selepas solat
fardu atau sebelumnya.
Jika membaca empat halaman untuk
setiap kali solat lima fardu dengan istiqamah setiap hari kita akan
mengkhatamkan pada hari ke-30. Ini kerana setiap juzuk mempunyai 20 halaman.
Jika anda berazam untuk khatam dua
kali pada Ramadan kali ini, gandakan bacaan kepada lapan halaman setiap kali
selepas solat fardu. Bermaksud pada 15 Ramadan anda khatam kali pertama seluruh
al-Quran dan penghujung Ramadan anda khatam untuk kali kedua.
Teori ini boleh digunakan untuk
khatam kali ketiga dan seterusnya dengan penambahan empat halaman setiap hari
bagi setiap khatam yang diinginkan.
Sorotan kepada amalan ulama di zaman
silam di bulan Ramadan, mendapati mereka mengambil berat tentang khatam
al-Quran. Sebahagian mereka menumpukan kepada bacaan al-Quran melebihi daripada
pengajaran.
Imam Syafie khatam al-Quran sebanyak
60 kali. Timbul persoalan apakah dibolehkan membaca al-Quran dengan begitu
cepat sedangkan Rasulullah SAW bersabda tidak difahami mengkhatam al-Quran
kurang dari tiga hari.
Dalam hadis riwayat Ahmad dan
al-Nasai, Baginda SAW bersabda kepada Abdullah Ibnu Amru Ibnu al-'As: Bacalah
al-Quran dalam tempoh 30 hari. Abdullah menjawab: "Saya masih mampu
melakukan lebih daripada itu wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Bacalah dalam
tempoh 20 hari."
Abdullah menjawab: "Saya boleh
melakukan lebih daripada itu ya Rasulullah."
Baginda bersabda: "Bacalah
Quran dalam tempoh 10 hari. Abdullah menjawab: "Saya boleh lakukan lebih
daripada itu ya Rasulullah." Baginda bersabda: "Bacalah dalam tempoh
tujuh hari." Abdullah menjawab: "Saya boleh lakukan lebih daripada
itu." Baginda enggan menjawab.
Berdasar kepada hadis ini dan hadis
yang menyatakan tidak difahami khatam Quran kurang dari tiga hari dipadukan
dengan amalan ramai ulama yang khatam al-Quran setiap hari.
Imam al-Zahabi menjawab khatam
al-Quran setiap hari ialah amalan yang boleh dilakukan, namun mengikuti sunnah
adalah lebih awla dan utama.
Imam Ibnu Kathir ketika mengulas
cerita Uthman Ibnu Affan mengkhatam al-Quran dalam satu rakaat, menyatakan
mungkin hadis berkaitan larangan membaca al-Quran kurang dari tiga hari tidak
sampai kepada mereka atau mungkin mereka memahami dan tadabur apa yang
mereka baca dengan kelajuan sebegitu. Itu semua Allah SWT sahajalah yang
mengetahuinya.
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment