Oleh UMAR MUHAMMAD NOOR
SUATU hari, Imam Fath Al-Musili berkata kepada murid-muridnya, "Bukankah seorang pesakit jika tidak diberi
makan, minum dan ubat selama tiga hari ia akan mati?"
Murid-muridnya menjawab:
"Ya."
Guru yang bijak ini melanjutkan:
"Begitu juga hati kita. Jika tidak diberikan ilmu dan hikmah selama tiga
hari, ia akan mati."
Hati manusia
Setiap amalan bersumber daripada
hati. Hati yang baik akan melahirkan perbuatan yang baik. Dan hati yang rosak
hanya akan melahirkan perbuatan yang buruk. Meskipun ia melakukan kebaikan,
namun tersimpan niat buruk di sebaliknya. Oleh itu, hati sangat menentukan
kualiti amalan seseorang.
Rasulullah SAW bersabda: Ketahuilah,
sesungguhnya di dalam tubuh manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, maka
baiklah seluruh jasad. Dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad.
Ketahuilah, daging itu adalah hati. (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Hati manusia sangat ajaib. Ia selalu
berubah-ubah. Ia juga sangat mudah dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran.
Apa-apa yang dilihat ataupun didengar dapat merubah suasana hati. Oleh yang
demikian, seorang mukmin wajib selalu menjaga pancainderanya daripada maksiat
agar terjaga kejernihan hati.
Sebagaimana tubuh badan, hati boleh
sihat ataupun sakit. Tanda hati yang sihat adalah ia giat melakukan ibadat dan
amalan kebajikan. Setiap amalan ibadah dan zikir terasa nikmat untuk dikecapi.
Sama seperti seseorang yang tengah sihat tubuhnya, ia akan nikmat menyantap
makanan dan minuman.
Adapun tanda hati tengah sakit
adalah ia tidak dapat merasakan manisnya ibadat. Ia tidak tahan berlama-lama
dalam aktiviti ibadah. Sebaliknya, ia sangat seronok melakukan maksiat. Seperti
orang yang tengah sakit kulit, perkara yang paling nikmat adalah menggaruk
gatalnya hingga melukai diri sendiri.
Imam Tabiin di Basrah yang bernama
Hasan Al-Basri pernah mengajarkan teknik semak kesihatan hati. Beliau berkata:
"Rasakanlah kemanisan dalam tiga perkara: ketika melakukan solat, membaca
al-Quran dan ketika berzikir. Jika engkau merasakannya, maka bergembiralah.
Namun jika kau tidak merasakannya, maka ketahuilah bahawa pintu hatimu telah
tertutup."
Ubat hati
Hati orang kebanyakan seperti kita
tidak berapa sihat. Kita sedari ataupun tidak, pelbagai penyakit tersimpan di
dalam hati kita seperti hasad dengki, dendam, tamak, kedekut, meragukan janji
Allah dan lain-lain. Tingkatan sakit itu berbeza-beza. Ada yang masih ringan,
ada juga yang sudah parah.
Oleh itu, kita perlu segera
mengubati hati kita. Ubat hati adalah hikmah dan ilmu yang memperkenalkan
tuhannya, hakikat dirinya dan tugasan yang mesti ia lakukan di dunia sebagai
hamba Allah. Semua itu boleh didapatkan apabila kita bercampur dengan
orang-orang yang "berhati sihat."
Berkata Ibrahim Al-Khawas,
"Ubat hati lima perkara: Membaca al-Quran sambil memahami maknanya,
mengosongkan perut, solat malam, berdoa pada waktu fajar dan bergaul dengan
orang-orang saleh."
Jika kita tidak segera mengubati
hati yang sakit, ia akan terus sakit. Suatu hari nanti, ia bahkan boleh mati.
Orang yang mati hati lebih berbahaya daripada mati jasad. Sebab orang yang mati
jasad boleh segera dikuburkan.
Namun orang yang mati hati akan
menjadi sampah masyarakat. Ia sangat mengganggu kehidupan masyarakat, namun
tidak boleh dibuang ataupun ditanam.
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment