Bank
Negara Malaysia hari ini mengumumkan pelaksanaan satu set langkah yang
bertujuan untuk mengelak hutang isi rumah yang berlebihan dan memperkukuh
amalan pemberian pinjaman yang bertanggungjawab oleh pemberi kredit utama.
Langkah ini yang berkuat kuasa serta-merta melengkapkan langkah terdahulu yang
dilaksanakan sejak tahun 2010 untuk menggalakkan sektor isi rumah yang kukuh
dan mampan.
Hutang
isi rumah terus meningkat pada kadar yang tinggi, iaitu pada kadar tahunan
purata 12% sejak lima tahun yang lalu. Meskipun disokong oleh pendapatan dan
keadaan guna tenaga yang positif, namun sejak akhir-akhir ini terdapat
peningkatan trend dalam penawaran produk kewangan yang tidak mengambil kira
kepentingan pengguna dalam jangka panjang.
Ini
termasuk tempoh pembiayaan yang dilanjutkan hingga 45 tahun bagi pembiayaan
rumah dan 25 tahun bagi pembiayaan peribadi. Walaupun tempoh pembiayaan yang
lama ini mengurangkan pembayaran balik bulanan, namun dalam jangka panjang,
pembiayaan ini meningkatkan beban hutang isi rumah secara keseluruhan. Amalan
seperti ini menggalakkan pengumpulan hutang yang berlebihan oleh isi rumah dan
meningkatkan kelemahan sektor ini.
Langkah-langkah
ini dilaksanakan menurut seksyen 31(1)(a) Akta Bank Negara Malaysia 2009 dan
terpakai pada semua institusi kewangan yang dikawal selia oleh Bank Negara
Malaysia, serta koperasi kredit yang di bawah kawal selia Suruhanjaya Koperasi
Malaysia, dan Malaysia Building Society Berhad dan AEON Credit Service (M)
Berhad. Ini bagi memastikan amalan pembiayaan adalah konsisten merentas semua
penyedia kredit yang utama.
Sebagai
tambahan kepada langkah-langkah di atas, penyedia kredit yang utama dikehendaki
mematuhi nisbah khidmat bayaran hutang yang berhemat dalam penilaian kredit
bagi memastikan isi rumah mempunyai penampan kewangan yang mencukupi untuk
melindungi mereka daripada kenaikan kos dan kejadian yang tidak dijangka.
Isi
rumah yang mempunyai kemampuan kewangan untuk mengambil pinjaman akan terus
mendapat akses kepada pembiayaan. Bagi menambah baik pengurusan hutang yang
bertanggungjawab oleh isi rumah, Bank Negara Malaysia akan mempergiat usahanya
dalam menyediakan pendidikan kewangan kepada semua segmen masyarakat, termasuk
mereka yang masih muda dan peminjam kali pertama daripada institusi kewangan.
Di samping itu, rangka kerja perlindungan pengguna akan terus diperkukuh di
bawah Akta Perkhidmatan Kewangan dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam.
kredit:agendasemasa
No comments:
Post a Comment