Oleh UMAR MUHAMMAD NOOR
PENULIS kini sedang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM).
PENULIS kini sedang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM).
BULAN Ramadan yang dinanti akhirnya
tiba. Pada bulan Ramadan, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan
syaitan-syaitan diikat. Ini ialah sebuah kiasan untuk menggambarkan kemeriahan
bulan suci ini dengan ibadah. Sekali gus melambangkan lemahnya kuasa nafsu dan
syaitan dalam diri seorang Muslim yang berpuasa.
Sesiapa yang menyedari kebesaran
Ramadan idak akan membiarkannya berlalu sia-sia. Sebaliknya, mereka akan
mendapat motivasi untuk memanfaatkan setiap saat yang berlalu dalam Ramadan
untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Imam Abu Al-Qasim Al-Qusyairi
bercerita: "Setiap kali tiba bulan Ramadan, Abu Bakar Al-Syibli
meningkatkan amalan ibadahnya. Ia berkata: Ini ialah bulan yang diagungkan
Allah. Maka aku mesti menjadi orang yang paling pertama mengagungkannya."
Demikian dalam kitab Al-Risalah
Al-Qusyairiah. Abu Bakar al-Syibli ialah seorang ulama besar abad keempat
hijrah.
Hikmah lapar
Ibadah yang paling utama pada bulan
Ramadan ialah berpuasa. Kita diharamkan untuk makan dan minum kecuali bagi yang
uzur. Itu kerana perut yang kosong dan rasa lapar ialah asas terpenting untuk
proses pembersihan jiwa.
Kenikmatan ibadah sangat ditentukan oleh
sejauh mana kita merasakan lapar dan dahaga.
Apabila tubuh terasa lemah, fikiran
menjadi jernih dan ibadah terasa nikmat.
Kita akan merasakan indahnya
terawih, membaca al-Quran, bangun tahajud di sepertiga malam, istighfar di
waktu sahur dan pelbagai ibadah lainnya.
Maka itu, kita dituntut supaya
pandai mengekang nafsu di waktu siang dengan memperbanyak aktiviti ibadah dan
mengurangkan tidur.
Selain itu, kita juga mesti mahir
mengikat nafsu di waktu malam terutama saat berbuka dengan mengawal pemakanan
dalam had bersederhana.
Berkata Imam Al-Ghazali dalam Ihya
Ulum al-Din: "Di antara adab puasa ialah tidak memperbanyak tidur di
waktu siang agar terasa lapar, haus dan kelemahan tubuh. Dengan begitu, hati
akan menjadi terang. Disukai juga agar dikekalkan sebahagian daripada kelemahan
tersebut pada waktu malam agar terasa ringan bangun tahajud dan membaca
wirid."
Bulan makan
Sayangnya, sebahagian umat Islam
masih menjadikan bulan Ramadan sebagai bulan makan. Pelbagai juadah yang jarang
dijumpai pada bulan-bulan yang lain dapat ditemui pada bulan ini.
Sejurus setelah azan Maghrib
berkumandang, nafsu yang sejak pagi dikekang menjadi sangat liar. Bahkan lebih
liar daripada bulan-bulan sebelumnya.
Selepas tarawih, pesta makan
dilanjutkan hingga sukar bernafas kerana perut penuh dengan makanan dan
minuman.
Puasa seperti ini sudah pasti bukan
menjernihkan hati, malah menggelapkannya.
Saya pasti bukan seperti ini puasa
yang dikehendaki oleh syarak. Sebab objektif puasa adalah untuk menciptakan
insan bertakwa yang pandai mengekang nafsunya bukan hanya di waktu siang, namun
juga di waktu malam.
Saatnya kita mengubah Ramadan kita
menjadi lebih bermakna. Salah satu caranya adalah dengan meletakkan niat
memperbaiki diri pada awal bulan Ramadan ini.
Bayangkan Ramadan ini ialah Ramadan
kita yang terakhir. Setelah sebelas bulan memperturutkan nafsu, apa susahnya
mempersembahkan satu bulan sahaja untuk Allah?
Semoga Allah selalu menunjukkan
jalan yang menuju keredaan-Nya.
No comments:
Post a Comment