Johor
Bharu, 2 Ogos - Hasrat pulang beraya di kampung halaman untuk 40
pendatang tanpa izin warga Indonesia berakhir dengan tragedi apabila 36
daripada mereka dikhuatiri lemas manakala empat diselamatkan apabila bot
pancung dinaiki karam di perairan Tanjung Siang, Kota Tinggi, malam
semalam.
Kejadian itu hanya disedari
kira-kira pukul 4 petang tadi apabila sekumpulan nelayan tempatan
menemui tiga daripada mangsa berpaut pada tong plastik sebelum mereka
diselamatkan.
Seorang lagi mangsa berjaya diselamatkan oleh bot
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika melakukan rondaan
harian di kawasan 13.55 batu nautika dari perairan Tanjung Siang.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Mohd Nor Rasid berkata sehingga
kira-kira jam 10 malam tadi gerakan mencari dan menyelamat masih
dijalankan oleh pasukan Polis Marin dan APMM.
"Berdasarkan
maklumat awal, kejadian hanya disedari petang tadi dan bot itu dinaiki
oleh kira-kira 40 pendatang tanpa izin dengan empat daripada mereka
berjaya diselamatkan.
"Mereka difahamkan dalam perjalanan pulang ke Batam untuk menyambut Aidilfitri," katanya ketika dihubungi di sini malam ini.
Bot pancung berkenaan sebelum itu dipercayai berlepas dari Tanjung
Siang lewat petang semalam sebelum ia karam akibat dipukul ombak kuat
tengah malam semalam. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment