Isu
‘syaitan diikat atau dirantai’ di bulan Ramadhan adalah di antara
perkara yang telah diketahui oleh kebanyakan umat Islam. Asas kepada
maklumat ini ialah sabda Rasulullah Alaihis Salatuwassalam :
إِذَا دَخَلَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ
Apabila tiba bulan Ramadhan, maka pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan pula dirantai.
(H.R Bukhari, Tirmizi, Nasa`iy, Malik dll)
Namun, apakah erti ‘syaitan dirantai’?
Adakah maksiat dan kejahatan menjadi sifar di bulan Ramadhan?
Jika syaitan dirantai, mengapa ahli-ahli maksiat dan kejahatan masih wujud di bulan yang mulia ini?
Di sini dinukilkan beberapa pandangan dari ulama-ulama hadith berkaitan maksud ‘syaitan dirantai’ di bulan Ramadhan.
Pandangan 1 :
Maksud
syaitan diikat ialah hanya ketua syaitan-syaitan yang ditangkap dan
dirantai di bulan Ramadhan ini. Dengan kata lain, syaitan-syaitan kecil @
syaitan prebet masih dibiarkan bebas. Sementara syaitan otai berpangkat
jeneral terpaksa meringkuk di dalam penjara Allah s.w.t.
Asas pandangan ini ialah sebuah hadith riwayat Imam Tirmizi, Nasa`iy, Ibnu Majah, al-Baihaqi dan lain-lain.
إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ صُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ وَمَرَدَةُ الْجِنِّ
Apabila masuk malam pertama bulan Ramadhan, maka syaitan-syaitan dan jin-jin yang degil (kuat) dirantai dan diikat.
Bahkan, versi hadith riwayat Imam Nasa`iy, Ahmad dan lain-lain ada menjelaskan :
وَتُغَلُّ فِيهِ مَرَدَةُ الشَّيَاطِينِ
Dan diikatkan syaitan-syaitan yang kuat dan degil di bulan Ramadhan.
Justeru,
hadith ini lebih mendetilkan maksud syaitan yang dirantai secara lebih
spesifik. Ianya tidaklah semua. Tetapi hanya syaitan yang punya
kreativiti hebat dan berpengalaman luas dalam menyesatkan anak Adam
sahaja yang ditahan.
Pandangan 2:
Pandangan ini mentakwilkan ‘ikatan’ atau ‘rantaian’ ke atas syaitan itu secara kinayah atau majaz.
Ia boleh dilihat daripada kata-kata ulama yang dipetik dari kitab Fat-hu al-Bari.
وَتَصْفِيد الشَّيَاطِين عِبَارَة عَنْ تَعْجِيزِهِمْ عَنْ الْإِغْوَاءِ وَتَزْيِين الشَّهَوَات
Merantai
syaitan (di bulan Ramadhan) memberi erti melemahkan mereka dari
menyesatkan manusia dan dari membantu syahwat (dalam kerja-kerja
melalaikan insan).
Kata-kata ini disokong `Iyadh r.a.
وَأَنَّ الشَّيَاطِينَ يَقِلُّ إِغْوَاؤُهُمْ فَيَصِيرُونَ كَالْمُصَفَّدِينَ
Sesungguhnya
syaitan kurang mampu menyesatkan insan (di bulan Ramadhan). Maka
keadaan ini menjadikan mereka seolah-solah seperti dirantai.
Kesimpulan
pandangan kedua ini ialah tiada syaitan yang dirantai di dalam ‘lokap’
Allah. Hanya yang dikunci ialah sebahagian kekuatan dan kemampuan
mereka. Mereka menjadi lemah dan ‘kurang cergas’ dalam usaha melemahkan
iman insan. Justeru hal ini ‘sepatutnya’ membantu golongan beriman untuk
memeriahkan Ramadhan dengan pelbagai ibadah.
Maksiat berkurangan di bulan Ramadhan?
Sekalipun
ketua-ketua syaitan telah diikat atau kekuatan mereka telah dilemahkan,
namun ia tidak menjamin maksiat menjadi sifar atau mengurangkan
statistik maksiat di bulan Ramadhan.
Imam
al-Qurtubi menyatakan bahawa maksiat hanya berkurangan kepada mereka
yang melaksanakan puasa dengan konsepnya yang sebenar, iaitu puasa yang
bukan sekadar tidak makan dan tidak minum, tetapi juga memelihara
adab-adab berpuasa pada anggota yang lain.
Maksiat
masih berpeluang berleluasa di bulan Ramadhan. Ini kerana tidak semua
individu muslim dapat menghayati serta memahami konsep puasa yang
sebenar.
Bahkan
tidak semua maksiat itu berpunca dari syaitan. Antara lain punca
berlakunya maksiat ialah akhlak dan kebiasaan buruk yang sudah sebati
dengan jiwa seseorang serta sikap mazmumah yang sudah lama tertanam
dalam hati manusia.
(Ruj . Fathu al-Bari, Jil. 6, MS 136)
Selain itu, maksiat juga boleh meningkat akibat kempen dan usaha gigih syaitan-syaitan di kalangan manusia.
Allah mengingatkan kita tentang golongan syaitan bertopengkan manusia ini.
مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ
(Syaitan itu) adalah di kalangan jin dan manusia
An-Nas : 6
وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الْإِنْسِ وَالْجِنِّ يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُورًا
Dan
demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, iaitu
syaitan-syaitan (dari jenis) manusia dan (dan jenis) jin, sebahagian
mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang
indah-indah untuk menipu (manusia).
Al-An`am : 112
Justeru,
semua manusia yang terlibat dalam memesongkankan orang lain dengan
idea-idea sesat, berkempen maksiat dalam media elektronik dan cetak,
mengajak rakan-rakan meninggalkan ketaatan dan menggalakkan manusia
berkelakuan buruk, semuanya itu dikategorikan dalam golongan syaitan
manusia.
Kerosakan iman dan akhlak yang serius
Dari
sudut yang lain, ketiadaan ketua-ketua syaitan atau kelemahan mereka di
bulan yang mulia ini adalah menjadi kayu pengukur dalam menilai iman
dan akhlak insan.
Jika
dalam 30 hari yang mulia ini seseorang itu masih terus berdegil dan
terlibat dengan perkara-perkara dosa dan haram, serta tiada reformasi
qalbi dan islah imani, maka ia jelas menunjukkan tahap kelemahan iman
yang serius serta krisis moral yang sangat dahsyat.
Di
saat hanya syaitan-syaitan amatur serta kurang mahir dan pengalaman
meneruskan kerja-kerja menyesatkan insan, ada yang masih mudah ditipu
dan disesatkan.
Insan
lemah ini masih ‘kemetot’ (komited) memakan rasuah, mendedah aurat,
bercakap lucah, mendekati zina, menipu dalam berkata-kata dan
sebagainya.
Umpama seorang dewasa dengan mudah ditipu oleh budak kecil yang baru petah bercakap. Sungguh aneh dan betapa lemahnya orang ini.
“Apalah punya lemah dan dungunya orang ni, dengan budak kecil pun boleh ditipu!”
Dengan
kata lain, maksiat yang masih gagal dihentikan dalam bulan Ramadhan
melambangkan kedegilan pelakunya serta menunjukkan betapa fitrahnya
telah dicemari secara total.
Golongan ini harus cepar sedar biar tidak terlambat.
Jibril mendoakan agar golongan ini dijauhkan dari rahmat Allah. Doa ini telah diaminkan oleh Rasulullah Alaihis Solatuwassalam.
بَعُدَ مَنْ أَدْرَكَ رَمَضَانَ فَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ فَقُلْتُ: آمِينَ
Semoga
semakin jauh seseorang itu dari rahmat Allah, jika ia bertemu Ramadhan
namun ia masih tidak mendapat pengampunan daripada Allah. Maka aku
menjawab : "Amin!"
(H.R Ahmad, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, Tabrani dll)
Ianya satu permintaan yang sesuai dengan kedegilan dan kehendak golongan ini.
Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.
kredit:tilmiz7
No comments:
Post a Comment