03 August 2013

Lailatul Qadar

264972_478989525445249_1625215063_n

Hari ini ialah hari ke-25 Ramadhan. Pejam celik, pejam celik, kita sudah berada di minggu terakhir Ramadhan. Ada antara kita yang sedih kerana Ramadhan bakal meninggalkan kita, dan hanya Allah sahaja yang tahu sama ada ia akan kembali melawat kita lagi tahun depan ataupun tidak. Dalam kesedihan itu, ada yang masih bersemangat dan ada juga yang sudah keletihan.
Letih atau tidak, saya harap kita semua tidak akan berhenti. Selagi Ramadhan masih ada dan kita masih hidup, selagi itulah peluang keemasan ini masih ditawarkan oleh Allah kepada kita. Jadi, jangan kita rasa selesa sekarang, duduk goyang kaki, dan menunggu kuih raya.
Kuih raya boleh tunggu kita. Kita tidak mahu menunggunya.
Ada hikmahnya mengapa Allah jadikan 10 hari terakhir Ramadhan sebagai hari-hari paling istimewa dalam bulan istimewa ini. Bayangkan, 30 hari Ramadhan ialah hari-hari penuh berkat dan 10 hari yang terakhir ialah yang paling berkat antara yang berkat.
Berkat-ception.
Dalam 10 hari ini, ada satu malam yang dinanti-nantikan – Lailatul Qadar. Jangan kita hanya sibuk pada malam ke-27 sahaja dan sibuk dengan petanda-petanda Lailatul Qadar. Ada hikmahnya mengapa Allah tidak beritahu sahaja kepada kita dengan jelas bilakah Lailatul Qadar, kerana dengan itu, kita tidak akan malas-malas dan rembat semua 10 hari yang terakhir. Jika kita rembat semua 10 hari, sudah terjamin bahawa kita akan menikmati Lailatul Qadar.
Rasulullah sendiri pun merembat semua 10 hari yang terakhir. Baginda tidak hanya sibuk pada satu-satu malam sahaja.
Lailatul Qadar begitu istimewa. Surah al-Qadr didedikasikan khas kepadanya.
Ia merupakan malam yang lebih baik daripada 1000 bulan – lebih kurang 83 tahun! Bayangkan pahala 83 tahun hanya dalam satu malam. Rombongan-rombongan malaikat (termasuklah penghulunya, Jibrail) turun untuk mengucapkan salam kepada mereka yang berdiri pada malam tersebut dalam ibadat. Setelah satu rombongan sudah memberikan salam, mereka akan naik dan rombongan lain pula akan datang untuk memberikan salam mereka. Sepanjang malam tersebut, sehinggalah waktu subuh, malaikat-malaikat mengisi bumi ini dan memberikan salam kepada hamba-hamba Allah. Dosa kita bergunung-gunung, tetapi Rahmat Allah menjulang lebih tinggi.
Malam penuh berkat dan salam.
Subhanallah. Allah itu Maha Pemurah, Maha Penyayang, dan Maha Pengampun. Allah bagi dan bagi. Persoalannya ialah, apakah kita menerima pemberian-Nya dengan syukur?
Kita masih lagi mempunyai beberapa hari sebelum Ramadhan pergi. Lailatul Qadar belum tentu lagi sudah berlalu ataupun tidak. Tiada siapa yang boleh jamin 100% bahawa Lailatul Qadar sudah berlalu. Maka, ambillah peluang berbaki ini.
Lakukan yang terbaik. 

Aiman Azlan
2 Ogos 2013
Mississauga, Canada


kredit:langitillahi

No comments: