Kanak-kanak berumur tiga tahun, Aisyah Wan Exsan, yang dilaporkan hilang
di Rawang Selasa lalu, telah ditemui di Teluk Bahang, Pulau Pinang,
hari ini.
Beberapa blog dan laman Facebook menunjukkan gambar kanak-kanak itu sedang didukung oleh seorang anggota polis.
Bagaimanapun, laporan terkini mengenai penemuan kanak-kanak itu masih belum diberikan oleh pihak polis.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim
Abdullah memberitahu pemberita, ibu Aisyah, Arbaiyah Md Zin melaporkan
anaknya diculik di sebuah pusat membeli-belah di Rawang.
Guru matematik itu didakwa bertemu dengan penculik terbabit menerusi
laman sosial Facebook pada Mei lalu dan menjalin hubungan dengan suspek
serta merancang untuk berkahwin.
Walaupun hanya mengenali lelaki berkenaan selama beberapa minggu,
Arbaiyah, berusia lewat 30-an, meninggalkan anak perempuannya itu di
bawah jagaan suspek pada 30 Julai.
Suspek memberitahu Arbaiyah bahawa dia ingin memperkenalkan Aisyah kepada kakaknya.
Ibu kanak-kanak itu turut memberikan suspek sijil kelahiran Aisyah
kerana mereka berdua merancang untuk pergi berbulan madu bersama
kanak-kanak itu selepas mereka berkahwin.
"Pada 2 Ogos, Arbaiyah turut memberi wang tunai RM25,000 kepada lelaki
berkenaan untuk pelaburan perniagaan emas di sebuah pusat membeli-belah
di Rawang.
"Keesokan harinya, Arbaiyah menunggu suspek untuk membawa Aisyah pulang
ke rumah. Suspek berjanji untuk membawanya keluar dan membeli barang
keperluan perkahwinan mereka. Namun suspek tidak muncul dan panggilan ke
telefon bimbitnya tidak berjawab," kata Rahim.
Beliau berkata ibu mangsa turut pergi ke rumah suspek di Taman Tun Dr
Ismail dalam usaha mencari anak perempuannya itu tetapi alamat rumah
berkenaan milik orang lain.
Kes itu diklasifikasikan polis sebagai penculikan kanak-kanak.
Rahim berkata siasatan masih dijalankan dan menggesa orang ramai untuk
tidak membuat sebarang spekulasi mengenai perkara itu sehingga maklumat
lanjut diketahui.
Sementara itu, #findaisyah tersebar pantas di laman Twitter dengan
pengguna Internet seluruh negara menggunakan medium berkenaan untuk
mencari kanak-kanak itu selepas berita penculikannya disebarkan dalam
laman media sosial awal pagi tadi.
kredit:utaranews
No comments:
Post a Comment