05 August 2013

Haji Dan Umrah 3

Peluasan Hajarulaswad 
 

1.  Orang pertama yang meletakkan kedudukan Hajarulaswad di tempatnya ialah Nabi Ibrahim a.s. Ia merupakan salah satu daripada permata delima dari Syurga.
2.  Apabila Bani Bakar bin Abdu Manat bin Kinanah dan Ghaisyan bin Khuza'ah yang mana kedua-duanya dari Bani Jurhum keluar dari Mekah, Amru bin Al-Haris bin Madad Al-Jurhumi mengeluarkan dua ekor patung kijang yang diperbuat daripada emas dan juga Hajarulaswad lalu menimbusnya di telaga Zamzam. Selepas itu beliau dan sebahagian dari golongan Jurhum yang bersamanya pergi ke Yaman.
3.  Penimbusan Hajarulaswad di telaga Zamzam berlaku tidak begitu lama. Seorang wanita dari Bani Khuza'ah telah menunjukkan tempat Hajarulaswad ditimbus kerana beliau melihat Bani Jurhum menimbusnya. Mereka telah mengembalikan Hajarulaswad ke tempatnya. Peristiwa itu berlaku sebelum Qusai bin Kilab mendirikan Kaabah.
4.  Setelah orang-orang Qaramitah berjaya menguasai Mekah (di bawah pimpinan Abu Tahir Al-Qarmuti), mereka telah membunuh seramai 1,700 jiwa manusia di Masjidil Haram. Mereka di bunuh ketika bergantungan di Kaabah untuk menghalang orang-orang Qaramitah dari mengambil Hajarulaswad. Mayat mereka dicampakkan ke dalam telaga Zamzam sehingga penuh. Masjidil Haram dan kawasan sekitarnya dipenuhi dengan mayat-mayat yang bergelimpangan. Orang-orang Qaramitah merampas harta benda orang ramai, hiasan-hiasan Kaabah, mencabut kelambu Kaabah dan membahagikannya di kalangan mereka. Mereka juga memusnahkan rumah-rumah di sekitar Mekah, mencabut pintu Kaabah dan saluran hujan yang diperbuat dari emas. Abu Tahir Al-Qarmuti telah memerintahkan Jaafar bin Ilaj mencabut Hajarulaswad. Hajarulaswad dicabut dari tempatnya pada 7 Zulhijah, tahun 317 selepas berlaku perbuatan dosa-dosa besar yang amat dikeji iaitu membunuh orang-orang yang sedang tawaf, beriktikaf dan yang mendirikan sembahyang. Setelah itu mereka membawa Hajarulaswad ke Hajar (Negeri mereka) dan tempatnya di Kaabah hanya tinggal kosong. Orang ramai masih meletakkan tangan mereka di tempat tersebut untuk mendapatkan keberkatan sehinggalah ia dikembalikan ke tempat asalnya pada hari selasa iaitu Hari Raya Korban, tahun 339. Dengan pengembalian tersebut, bermakna Hajarul Aswad hilang dari mereka lebih kurang dua puluh dua tahun. Orang yang mengembalikannya ialah Sinbar bin Hasan Al-Qarmuti.
5.  Pada tahun 363, seorang lelaki dari negeri Rom datang ke Mekah lalu menghina dan memukul Hajarulaswad dengan sebilah cangkul di bahagian penjuru (Hajarulaswad) dengan pukulan yang kuat sehingga pecah. Beliau mengangkat tangannya sekali lagi untuk memukul tetapi telah ditikam oleh seorang lelaki Yaman dan berjaya mengalahkannya.
6.  Pada tahun 413 Kerajaan Fatimiah menghantar sebahagian daripada pengikutnya dari Mesir yang telah dihasut oleh Hakim Al-Ubaidi. Di antara mereka terdapat seorang lelaki yang memiliki kulit berwarna merah, berambut perang, mempunyai badan yang perkasa dan tinggi lampai. Sebelah tangannya memegang sebilah pedang yang terhunus dan membawa "Dabus" (Sejenis alat seperti besi penuas). Beliau memukul permukaan Hajarulaswad tiga kali menyebabkan serpihannya berguguran jatuh. Beliau berkata: "Sampai bilakah Hajarulaswad ini akan disembah. Tiada siapa dapat menghalang aku dari melakukannya walaupun Muhammad dan Ali. Hari ini aku ingin meruntuhkan Kaabah." Tetapi sepasukan tentera berkuda telah mengepung beliau dan berjaya membunuh serta membakar beliau berserta pembantu-pembantunya.
7.   Pada tahun 990 pula, seorang lelaki asing telah datang dengan membawa sebatang besi lalu memukul Hajarulaswad. Lantas Al-Amir Nasir menetak beliau dengan sebilah pedang lalu mati.
8.  Pada akhir bulan Muharam tahun 1351, seorang lelaki dari negara Afghanistan datang ke Kaabah lalu mencabut dan mencuri sedikit Hajarul Aswad, secebis kelambu Kaabah serta seketul perak dari tangga Kaabah. Perbuatan lelaki tersebut diketahui oleh penjaga-penjaga Kaabah. Mereka berjaya menangkapnya dan kemudian dihukum gantung sebagai balasan terhadap perbuatannya. Pada 28 Rabiulakhir tahun 1351 Raja Abdul Aziz bin Abdul Rahman Al-Faisal, keluarga As-Saud dari Taif datang ke Masjidil Haram bertujuan untuk melekatkan kembali serpihan yang dicabut oleh tentera durjana. Usaha melekatkan serpihan itu dilakukan selepas dijalankan ujikaji adunan bahan kimia yang dicampur dengan kasturi dan ambar oleh mereka yang didatangkan khas untuk melekatkan serpihan Hajarulaswad.

Maqam Nabi Ibrahim

1. Ia merupakan batu tempat al-Khalil Nabi Ibrahim a.s berdiri ketika meninggikan binaan Kaabah dari kedudukannya. Batu ini diletakkan oleh Nabi Ismail a.s untuk meninggikan beliau.
2.  Sebagaimana yang kita maklumi, ketinggian Kaabah hanya mencapai sembilan hasta sahaja ketika al-Khalil Nabi Ibrahim a.s membinanya. Kemudian orang-orang Quraisy menambah ketinggian Kaabah sehingga menjadi 18 hasta ketika mereka membinanya. Kemudian Abdullah bin Az-Zubair pula menambah ketinggiannya sehingga 27 hasta dan kekal dengan ketinggian tersebut.
3.  Batu tersebut kekal berdekatan dinding Kaabah semenjak dahulu hinggalah ke masa pemerintahan Umar bin al-Khattab r.a di mana selepas itu ia dijauhkan dari Baitullah agar tidak mengganggu orang yang mengerjakan sembahyang di sekitar Maqam dan orang ramai yang mengerjakan tawaf mengelilingi Kaabah.
4.  Kesan dua tapak kaki Nabi Ibrahim a.s pada batu tersebut masih lagi kekal dan berterusan. Abu Talib telah berkata di dalam qasidahnya yang masyhur iaitu: Yang bermaksud: Tempat berpijak Nabi Ibrahim a.s menjadi lembut beliau berdiri di atas kedua kakinya tanpa memakai alas kaki. Iaitu: Sesungguhnya kakinya yang mulia itu tenggelam pada batu, oleh itu tertinggallah kesan tersebut sekadar tapak kakinya.

Pintu Kaabah

1.   Binaan Nabi Ibrahim a.s: Sebuah pintu dirapatkan pada tanah.
2.   Binaan orang-orang Quraisy: Orang-orang Quraisy meninggikan pintu Kaabah mengikut pandangan Abu Huzaifah bin Al-Mughirah.
3.   Binaan Ibnu Az-Zubair: Pintu dirapatkan pada tanah kemudian membina sebuah pintu lain di sebelah barat yang berada di antara penjuru Syam dan penjuru Yaman.
4.   Binaan Al-Hajjaj: Pintu ditinggikan kembali sebagaimana yang asal dan menutup pintu di sebelah barat.
5.   Pintu yang ada sekarang: Ia diperbuat dari emas tulin, dibina oleh Jalalah Al-Malik Khalid bin Abdul Aziz.

Hijir Ismail

1.   Semasa Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s membina Kaabah, ketinggiannya adalah 9 hasta sahaja iaitu satu pertiga daripada ketinggian Kaabah pada hari ini. Beliau membina Kaabah tersebut di atas tapaknya. Pada hari ini tapak tersebut berada enam hasta ke dalam Hijir Nabi Ismail a.s. Mengikut binaan Nabi Ibrahim a.s, Kaabah berada di kawasan Hijir. Anda boleh membezakan ketebalan antara Hijir lama dan Hijir yang ada sekarang dengan mudah iaitu sebahagian besar dinding Hijir yang lurus serta yang menghala ke arah utara Kaabah, ia merupakan sebahagian dari Kaabah.
2.  Semasa orang-orang Quraisy membina Kaabah, mereka memasukkan binaan dinding Kaabah di sebelah utara ke sebelah selatan sebanyak enam hasta (mengecilkan binaan Kaabah) untuk meluaskan kawasan Hijir.
3.Semasa Abdullah bin Az-Zubair membina Kaabah, beliau membinanya semula sebagaimana bentuk dan saiz (diatas tapak) yang telah dibina oleh Nabi Ibrahim a.s dan mengecilkan sedikit kawasan Hijir (kerana ingin meluaskan Kaabah).
4. Al-Hajjaj bin Yusuf mengubah kembali kedudukan Hijir kepada kedudukannya sebagaimana sekarang ini.

Batu Marmar dan Pembinaan Hijir Nabi Ismail a.s
1. Orang pertama yang meletakkan batu marmar di atas batu-bata Hijir Ismail ialah Khalifah Al-Abbas Abu Jaafar Al-Mansur pada tahun 140 H.
2. Kemudian ia diperbaharui oleh Khalifah Al-Mahdi pada tahun 161 H.
3. Pada tahun 241 H ia diperbaharui pula oleh Khalifah Al-Mutawakkil Alallah.
4. Pada tahun 283 H ia dibina oleh Al-Mu'tadid Al-Abbas pada masa pemerintahannya. Kemudian ia dibina pula oleh seorang menteri bernama Jamaluddin yang dikenali dengan pemurah, pada tahun 550 H.
5. Pada tahun 576 H ia dibina oleh Nasir Al-Abbasi.
6. Tahun 720 H ia dibina oleh Nasir Qallawun.
7. Pada tahun 781 H ia dibina oleh Al-Mansur Ali bin Al-Malik Al-Asyraf Sya'ban bin Husin bin Al-Malik An-Nasir Muhammad bin Qallawun.
8. Kemudian ia dibina pula oleh Al-Amir Bisaq.
9. Pada bulan Rejab tahun 822 H ia dibina oleh panglima Alauddin.
10. Tahun 826 H ia dibina oleh Al-Amir Zainuddin Muqbil Al-Qadidi.
11. Pada tahun 838 H ia dibina oleh Sudun Al-Muhammadi dengan marmar yang dibawa dari Mesir.

Nama-nama Mekah

Tidak diketahui negeri lain yang mempunyai banyak nama selain dari Mekah dan Madinah, ini disebabkan kedua-duanya merupakan tempat yang paling mulia. Di antara nama-nama bagi negeri Mekah Mukarramah ialah:-



Balad: Firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Aku bersumpah dengan negeri (Mekah) ini, sedang engkau (wahai Muhammad) tinggal di negeri ini (sentiasa ditindas).
 
Baladul Amin: Firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Serta negeri (Mekah) yang aman ini."
Khuzaimah bin Thabit bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w mengenai ayat tersebut lalu Baginda s.a.w. menjawab: "Mekah."
Baldah: Firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "(Katakanlah wahai Muhammad) Aku hanyalah diperintahkan supaya menyembah Allah Tuhan negeri (Mekah) ini."
Bakkah: Firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (untuk beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Mekah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia."
 
Mekah: Firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Di kawasan Mekah, sesudah Dia menjadikan kamu dapat menewaskan mereka."
Ada pendapat yang mengatakan bahawa Bakkah adalah tempat terletaknya Baitullah, Mekah dan kawasan persekitarannya.
Qaryah: Firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberi satu contoh sebuah negeri."
 
  Mujahid berkata: Maksudnya ialah Mekah.
 
Masjidilharam: Firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjidilaqsa (di Palestine)".
Ma'aad: Firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah yang mewajibkan kepadamu (beramal dan menyampaikan) Al-Quran (wahai Muhammad) sudah tentu akan menyampaikan engkau lagi kepada apa yang engkau ingini dan cintai."
 
Ummul Qura: Firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada (penduduk) "Ummul Qura" dan sekalian penduduk dunia di sekelilingnya."
 
Makhraja Sidqin: Firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Dan pohonkanlah (wahai Muhammad, dengan berdoa): Wahai Tuhanku! Masukkanlah aku ke dalam urusan ugamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah aku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku."
 
Bassah: Kerana ia membinasakan golongan ateis yang terdapat di dalamnya iaitu menghancurkan dan memusnahkannya.
Basaq: Iaitu si polan itu lebih tinggi daripada sahabat-sahabatnya. Mekah merupakan negeri yang berkedudukan paling tinggi kerana ia membinasakan golongan ateis.
Nama-nama tambahan: Barrah - Ar-Raks - Ar-Ritaj - Sabuhah - Salam - Salah - Tibah - Al-Azra' - Al-Arsyu - Al-Arisy - Al-Arudh - Faran - Al-Muqaddasah - Al-Qadis - Qarbatul Hima - Qarbatul Naml - Tukratul Ghurab - Kutha - Al-Makkatan - Nadir - Al-Wadi - Ummu Rahim - Ummu Ruhm - Ummu Ar-Ruhm - Ummul Rahamat - Ummu Rauh - Ummu Zuhm - Ummu Sabih - Ummu Kutha.
An-Nasah-An-Nasyah: Kerana ia mengeluarkan zionis yang berada di dalamnya, iaitu mengusirnya.
An-Nassasah: Kerana airnya berkurangan disebabkan terkeluar iaitu kekeringan.

MASJIDILHARAM
Masjidilharam mempunyai banyak nama, di antaranya ialah:
Baitulharam: Firman Allah s.w.t:
ِYang bermaksud: "Allah menjadikan Kaabah, rumah yang mulia itu, sebagai tempat tumpuan manusia (untuk menjalankan ibadat dan hal-hal hidup)."
Kaabah: Dinamakan dengan nama Kaabah: Kerana bentuknya adalah empat persegi, setiap binaan yang tinggi dan berbentuk empat persegi dinamakan Kaabah.
Masjidilharam: Firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram (tempat letak Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya."
ُ
Baitul Atiq: Firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.
  Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Allah s.w.t  namakan Masjidil haram dengan Baitul-Atiq kerana Dia telah membebaskannya daripada golongan penceroboh yang degil lagi zalim, golongan ini tidak dapat memasukinya." Dikatakan juga kerana binaannya yang lama dimana ia merupakan rumah pertama yang dibina untuk manusia. 
Baniyyah: Di dalam hadis Barra' daripada Ma'rur: Aku berazam tidak akan menjadikan Baniyyah berada di belakangku. (Baniyyah bermaksud Kaabah).

Telaga Zamzam

Di antara nama bagi Zamzam ialah sebagaimana berikut:
Zummizmu Hazmatu Jibril Siidah Zammamu
Barakah Suqya Ismail Madnunah Syia'ah
Mubarakah Ghuslu Qalbi Muhammad Safiah Maktumah
Kaafiah Ta'aamu Tu'mu Barratu Asy-Syuba'atu
Aafiah Syifau Suqmi Marwiyyah Syuba'atul Iyal
Mughazziah Syarabul Abrar Aunah Tuktamu
Tahirah Qaryatul Naml Busyra Hazmatu Ismail
Hurmah Nuqratul Ghurabil A'sam Ismah Hazmatul Bi'ri
Mu'nah La Tutrifu wala Tuzammu Tayyibah Abyar
Nafi'ah Hafirah Abdul Muttalib Hirfah Hazmatu Jibril

Haji Wida' - Madinah


1. Rasulullah s.a.w. tinggal diMadinah selama sepuluh tahun. Baginda s.a.w. berkorban setiap tahun tetapi belum lagi mengerjakan Haji sehingga pada bulan Zulkaedah tahun kesepuluh Hijrah, Baginda s.a.w. telah membuat keputusan untuk keluar mengerjakan Haji. Setelah Baginda s.a.w. memberitahu hasrat tersebut kepada orang ramai berita tersebut heboh disekitar Kota Madinah kerana masing-masing berkeinginan untuk mengerjakan ibadat Haji bersama Nabi Muhammad s.a.w. Mereka berusaha sedaya upaya untuk bersama-sama Nabi Muhammad s.a.w. sama ada secara menunggang binatang tunggangan atau berjalan kaki. Keadaan ini menyebabkan Kota Madinah dipenuhi dengan orang ramai. Bilangan mereka yang berkumpul menemui Baginda s.a.w. dalam perjalanan tidak terhitung ramainya. Mereka berkumpul disebelah hadapan, belakang, kiri dan kanan Baginda s.a.w. sehingga sayup mata memandang kerana jumlah mereka yang begitu ramai. Mereka ingin mengikuti Rasulullah s.a.w. dan melakukan sebagaimana yang dilakukan oleh Baginda s.a.w.
2.  Ketika Baginda s.a.w. ingin keluar untuk mengerjakan ibadat Haji, Baginda s.a.w. telah melantik Abu Dujanah Sammak bin Khursyah as-Sa'idiy sebagai pemimpin di Madinah dan ada juga yang berkata Baginda s.a.w. melantik Subak bin Urfutah.
3.  Rasulullah s.a.w mendirikan sembahyang Zuhur di Madinah sebanyak empat rakaat, Baginda s.a.w. berkhutbah kepada orang ramai dan mengajar mereka tentang ibadat Haji yang akan mereka kerjakan (khutbah).
4.Setelah itu Baginda s.a.w. meminta supaya mengambil untanya lalu Baginda s.a.w. mengguriskan tanda dibahagian bonggol sebelah kanan unta tersebut lalu mengalir darah darinya. Seterusnya Baginda s.a.w. menyarungkan kalung tanda keleher unta tersebut. Baginda s.a.w. menyerahkan kepada orang lain urusan menanda dan menyarung kalung unta-unta yang lain. Sebaik sahaja selesai meletakkan tanda, Baginda s.a.w. menyerahkan untanya sebagai Dam kepada Najiah Ibnu Jundab al-Aslami.
5.  Rasulullah s.a.w mandi sunat Ihram, memakai wangi-wangian lantas memakai dua pakaian ihram kemudian menyebut: Yang bermaksud: "Wahai Tuhanku, jadikanlah dia Haji yang diterima, tanpa ada perasaan riak dan ingin menunjuk-nunjuk."
6.  Rasulullah s.a.w keluar dari Kota Madinah pada waktu tengahari iaitu selepas Zuhur pada hari Sabtu, melalui jalan-jalan yang berpokok, lima hari sebelum genap bulan Zulkaedah. Ketika keluar dari Kota Madinah, Baginda s.a.w. mendirikan sembahyang di Masjidnya

Haji Wida' > Zul Hulaifah


1.  Jarak di antara Zul Hulaifah dengan Kota Madinah adalah sejauh tiga batu dan ia terletak di Wadi Atik. Baginda berjalan ke Zul Hulaifah, sebaik sahaja tiba di sana pada waktu asar, Rasulullah s.a.w  mendirikan sembahyang Asar secara qasar.
2. Rasulullah s.a.w turun ke Samurah yang terletak didalam kawasan masjid di Zul Hulaifah tetapi tidak pula ke Rausah yang berada dikanan jalan.
3.   Seterusnya Rasulullah s.a.w  mendirikan sembahyang Maghrib dan Isyak kemudian Rasulullah s.a.w  berjumpa isteri-isterinya pada malam tersebut secara bergilir-gilir, selepas itu Rasulullah s.a.w  mandi dan disapu wangi-wangian oleh Saidatina Aisyah r.a. Setelah itu Rasulullah s.a.w  bermalam di Zul Hulaifah.
4.   Setelah mendirikan sembahyang Subuh Rasulullah s.a.w memberitahu para
sahabatnya dengan bersabda: "Semalam aku telah dikunjungi sesuatu daripada Tuhanku (mengikut riwayat yang lain Jibril) lalu berkata: Dirikan sembahyang dilembah ini dan sebutkanlah Umrah didalam hati."
5.  Perintah supaya mendirikan sembahyang di lembah Aqiq merupakan perintah supaya tetap berada di Zul Hulaifah sehingga selesai sembahyang Zuhur, setelah itu bolehlah memakai pakaian Ihram.
Asma' melahirkan anak:
Sebaik sahaja kenderaan tunggangan tiba di Zul Hulaifah, Asma' binti Umais, isteri Abu Bakar as-Siddiq telah melahirkan seorang anak bernama Muhammmad bin Abu Bakar. Asma' dibawa berjumpa Rasulullah s.a.w lalu bertanya: "Apakah yang perlu aku lakukan?" Rasulullah s.a.w : "Mandilah dan pakailah pakaian kemudian niatlah untuk mengerjakan ibadat Haji."
Pengajaran Yang Boleh Diambil:
Kekuatan Iman dan kecekalan wanita Islam. Kalau tidak kerana kekuatan iman dan kecekalannya, sudah tentu beliau tidak bermusafir dari Madinah untuk mengerjakan ibadat Haji memandangkan dia berada dalam keadaan hampir bersalin.

Zul Hulaifah - Ihram:
1. Setelah selesai mendirikan sembahyang Zuhur, (Rasulullah s.a.w mula untuk berihram. Rasulullah s.a.w memulakan dengan mandi kali kedua bukannya manda yang telah Rasulullah s.a.w lakukan pada hari sebelum hari tersebut. Rasulullah s.a.w membasuh kepala dengan menggunakan dua jenis tumbuhan yang biasa digunakan untuk membasuh kepala iaitu khitmi (sejenis tumbuhan berbunga) dan Usynan iaitu Potash (ia biasa digunakan untuk membuat sabun). Setelah selesai mandi Rasulullah s.a.w  menyapu kepala dengan sedikit minya kemudian meratakannya dengan menggunakan kedua-dua tangan. Setelah itu Saidatina Aisyah r.a menyapu tubuh dan kepala baginda dengan wangian kasturi sehingga kesan kasturi kelihatan pada sendi-sendi baginda.
2. (Rasulullah s.a.w ditanya oleh seorang lelaki: "Apakah pakaian yang boleh dipakai oleh orang yang berihram?" Rasulullah s.a.w menjawab: "Kamu tidak boleh memakai baju, serban, seluar,jubah yang mempunyai penutup kepala dan khuf (berbentuk stokin tetapi diperbuat dari kulit) kecuali selipar yang tiada penutup hadapan dan belakang."
Berniat Ihram:
1. Rasulullah s.a.w memasuki masjid Zul Hulaifah lalu mendirikan sembahyang empat rakaat kemudian berniat Ihram Haji di dalam masjid tersebut sehingga dapat didengari oleh sahabat yang berada di dalamnya lalu mereka berkata: "Baginda s.a.w. bertalbiah untuk Ihram Haji dari masjid dan ketika menunggang tunggangan." Manakala sahabat yang berada di tepi masjid pula berkata: "Baginda s.a.w. bertalbiah Ihram Haji ketika tunggangan bersedia untuk bertolak." Ketika berada di Baida' juga baginda s.a.w. bertalbiah Ihram Haji dan didengari oleh sahabat yang berada di Baida', lalu mereka berkata: "Baginda s.a.w. bertalbiah Ihram Haji dari Baida'. Semua kata-kata mereka adalah betul.
2. Nabi Muhammad s.a.w berlafaz niat Ihram Haji dan Umrah satu kali, berlafaz niat Ihram Umrah satu kali dan berlafaz niat Ihram Haji sahaja satu kali kerana Umrah adalah sebahagian daripadanya. Oleh sebab yang demikianlah ada yang mengatakan Baginda sa.w. mengerjakan Haji Qiran, ada yang mengataka Baginda s.a.w. mengerjakan Haji Tamattu' dan ada juga yang mengatakan Baginda sa.w. mengerjakan Haji Ifrad. Manakala pendapat yang betul ialah pada mulanya Nabi Muhammad s.a.w mengerjakan ibadat Haji secara Ifrad. Setelah itu berihram Umrah dan memasukkannya ke dalam ibadat Haji maka jadilah: Haji Qiran.
3. Sesiapa yang meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w mengerjakan ibadat Haji secara Ifrad maka itulah yang asalnya. Manakala sesiapa yang meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w mengerjakan ibadat Haji secara Qiran adalah berdasarkan kepada pekerjaan terakhir Rasulullah s.a.w dan sesiapa yang meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w mengerjakan ibadat Haji secara Tamattu' ialah kerana mengambil maksud Tamattu' dari sudut bahasa yang bererti beruntung dan mendapat faedah.
Talbiah:
1. Rasulullah s.a.w bertalbiah dengan menyebut: Yang bermaksud: (Telah aku penuhi seruanMu wahai Tuhanku, telah aku penuhi seruanMu, telah aku penuhi seruanMu wahai Tuhanku, tidak ada sekutu bagiMu. Telah aku penuhi seruanMu, sesungguhnya segala puji, segala nikmat dan segala pemerintahan adalah kepunyaanMu, tidak ada sekutu bagiMu) dengan kuat hingga para sahabat mendengarnya menyebabkan mereka turut serta bertalbiah.
2. Rasulullah s.a.w juga bertalbiah dengan menyebut: Yang bermaksud: (Telah aku penuhi seruanMu wahai Tuhanku, telah aku penuhi seruanMu, telah aku penuhi keinginanMu. Kebaikan terletak pada kekuasaanMu, telah aku penuhi seruanMu, musafir keranaMu dan beramal keranaMu).
3. Talbiah Rasulullah s.a.w ialah: Yang bermaksud: Telah aku penuhi seruanMu dengan mengerjakan ibadat Haji dan kepadaMulah kami memperhambakan diri.
4. Nabi Muhammad s.a.w juga menyebut di dalam Talbiah baginda s.a.w.: Yang bermaksud: Telah aku penuhi seruanMu wahai Tuhanku, Tuhan yang sebenar-benarnya, telah aku penuhi seruanMu.
5. Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w berhenti dari bertalbiah, Rasulullah s.a.w terus memohon keampunan, keredhaan kepada Allah s.w.t. serta memohon agar diselamatkan dari api Neraka.
6. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Aku telah didatangi Jibril a.s. lalu meminta supaya aku memerintahkan para sahabat menyaringkan suara mereka ketika bertalbiah." Jiibril a.s. juga berkata: "Wahai Muhammad (s.a.w.), banyakkanlah bertalbiah dan berkorban."
7. Di dalam riwayat yang lain: Jibril datang berjumpa aku lalu berkata: "Wahai Muhammad (s.a.w.) Suruhlah sahabat-sahabat kamu supaya menyaringkan suara mereka dengan talbiah kerana sesungguhnya talbiah adalah syair iaitu lambang ibadat Haji

Haji Wida' > Rauha'


1.  Jarak di antara Rauha' dengan Zul Hulaifah adalah sejauh kira-kira 50 km. Oleh itu ketika Rasulullah s.a.w keluar dari Kota Madinah selepas Zuhur pada hari Sabtu, sudah tentu baginda s.a.w. bermalam pada malam hari Isnin di pertengahan jalan di antara Zul Hulaifah dan pinggir Rauha'. Setelah subuh barulah Rasulullah s.a.w meneruskan perjalanan sambil bertalbiah.
2. Sebaik sahaja tiba di Rauha' Rasulullah s.a.w terlihat kaldai liar yang telah disembelih lalu Rasulullah s.a.w berkata kepada para sahabat: "Biarkan dia, kemungkinan tuannya akan datang." Setelah beberapa ketika tuannya yang berasal dari Kabilah Bahzin datang berjumpa Rasulullah s.a.w lalu berkata: "Wahai Rasulullah s.a.w, terpulanglah kepadamu untuk menguruskan kaldai ini." Rasulullah s.a.w memerintahkan Abu Bakar supaya membahagikannya kepada para sahabat.
3. Rasulullah s.a.w pernah mendirikan sembahyang dimasjid kecil yang terletak ditepi jalan sebelah kanan semasa anda pergi keMekah iaitu sebelum masjid besar yang terdapat di Rauha'.

Haji Wida' > Uthayah


1.  Seterusnya Rasulullah s.a.w beredar perlahan-lahan dari Rauha' menuju ke Uthayah yang terletak kira-kira 90 km dari Rauha' dimana penunggang terpaksa bermalam pada malam Selasa di suatu tempat sebelum Nabi Muhammad s.a.w sampai di Uthayah.
2. Ketika berada di Uthayah terletak diantara Ruwaithah dan Arju tiba-tiba Rasulullah s.a.w terlihat seekor kijang yang terkena panah berhenti dibawah bayangan lalu Rasulullah s.a.w memerintahkan seorang lelaki (mengikut sesetengah pendapat Rasulullah s.a.w  memerintahkan Abu Bakar as-Siddiq r.a.) supaya berdiri berhampiran kijang tersebut agar tidak diganggu oelh orang ramai sehingga mereka menjauhinya.
Di sini berlaku sedikit keraguan iaitu:
    Kenapakah Nabi s.a.w menyuruh agar memakan daging kaldai liar sedangkan baginda s.a.w. melarang dari memakan kijang ketika berada di Uthayah? Tafsir: Pemburu kaldai liar adalah seorang yang tidak berniat Ihram malah dia sendiri yang datang berjumpa Nabi Muhammad s.a.w dan baginda s.a.w. melihatnya tidak berihram. Oleh sebab itulah daging kaldai liar halal dimakan dan tidak ditegah dari memakannya. Mengenai kijang pula Nabi Muhammad s.a.w tidak mengetahui siapakah pemburunya dan siapakah yang memanahnya. Adakah orang yang memanahnya seorang yang berihram atau tidak? Oleh sebab yang demikianlah baginda s.a.w. tidak mengizinkan para sahabat memakannya.

Haji Wida' > Arju 
Arju adalah sebuah tempat yang terletak berhampiran dengan Badar tempat dimana berlakunya peperangan Badar Kubra. Nabi Muhammad s.a.w berhenti di Arju. Ia terletak tidak begitu jauh dari Uthayah. Baginda s.a.w. bermalam di Arju pada malam Rabu. Cuba perhatikan adakah jumlah hari bulan Zulkaedah tahun kesepuluh Hijrah sebanyak 29 hari atau 30 hari.
Maklumat:


Terdapat perselisihan pendapat di antara perawi tentang bulan Zulkaedah tahun 10 Hijrah. Adakah ia sempurna atau kurang? Sebab berlakunya perselisihan pendapat ialah kerana terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas, Saidatina Aisyah dan Jabir r.a (bahawa Nabi Muhammad s.a.w keluar dari Kota Mahinah lima hari sebelum sempurna bulan Zulkaedah oleh itu Ibnu Hazmi berkata Nabi Muhammad s.a.w keluar pada Hari Khamis 24 Zulkaedah.
Pendapat yang lain mengatakan, Nabi Muhammad s.a.w keluar pada hari Sabtu dan perawi menyangka bulan tersebut adalah sempurna. Oleh itu semua pendapat bersepakat mengatakan bahawa bulan Zulkaedah pada tahun tersebut hanya 29 hari sahaja. Hanya Allah s.w.t. sahaja Yang Maha Mengetahui perkara sebenarnya.
* Nabi Muhammad s.a.w keluar pada hari Sabtu 26 Zulkaedah bersamaan 22 Februari 632 M.
* Bilangan hari pada bulan Zulkaedah tahun 10 Hijrah adalah 30 hari.
* Bulan Zulhijah juga adalah sebanyak 30 hari kerana tahun tersebut adalah tahun lompat mengikut taqwin (kalendar) Hijrah dan bulan Februari adalah sebanyak 29 hari kerana tahun 632 M juga adalah tahun lompat mengikut taqwim (kalendar) Masehi.
* Apabila bilangan hari bulan Zulhijah sebanyak 30 hari nescaya tahun Hijrah tersebut dikira tahun lompat, jika bilangan bulan Zulhijah sebanyak 29 hari nescaya tahun tersebut dikira bukan tahun lompat. Sekiranya anda ingin mengetahui perbezaan di antara tahun Hijrah biasa dengan tahun Hijrah lompat, anda bolehlah membahagikan jumlah hari dalam tahun tersebut kepada 30. Cuba bandingkan bakinya bersama nombor-nombor berikut: 2 - 5 - 7 - 10 - 13 - 15 - 18 - 21 - 24 - 26 - 29, sekiranya baki tersebut menyamai salah satu darinya maka jelaslah bahawa tahun tersebut adalah tahun lompat. Jika sebaliknya, maka tahun tersebut bukan tahun lompat. Perkara sebegini jelas pada bulan Zulhijah, sekiranya tahun tersebut bukan tahun lompat maka bilangan hari bulan Zulhijah adalah sebanyak 29 hari, tetapi jika tahun tersebut tahun lompat maka bilangan hari bulan Zulhijah adalah sebanyak 30 hari. 

Tanbihul Ghafilin ...

No comments: