Oleh
Ustaz Ismail Kamus
Nota:
Petua Membelai Cinta yang disampaikan oleh Us. Ismail Kamus ini begitu popular
dan banyak dijadikan rujukan dan motivasi kehidupan rumahtangga.
INDAHNYA
cinta jika bersulam keikhlasan. Moleknya cinta andai setia yang dipertaruhkan
dan untungnya bercinta jika berkekalan sampai bila-bila. Namun panas yang
diharapkan sampai ke petang, siapa sangka hujan turun ditengah hari. Puas sudah
membajai cinta, dibumbui dengan kasih dan sayang, membelai dan memupuknya
dengan penuh tanggungjawab namun pasangan yang bertakhta di sanubari tetap
berubah hati. Terlalu sukarkah mencintai isteri atau sememangnya si suami tidak
pernah mensyukuri?
Datuk
Ustaz Ismail Kamus membincangkan: “Perempuan umpama cermin, mesti cermat dan
halus bila berhadapan dengan mereka. Lebih-lebih yang bergelar isteri.
Sensitif, cepat kecil hati, merajuk dan minta dipujuk memang sifat wanita.
Sebenarnya bukan susah melayan isteri. Seorang suami yang pandai mengambil
hati, memujuk rayu jika diperlukan, bercakap lemah lembut dan rajin bergurau
senda, ia sudah cukup dan memadai.
Perhatikan
hasilnya, si isteri akan sanggup bersusah payah menyediakan makan dan minum di
samping menguruskan rumah tangga, malah sanggup pula ke hulu ke hilir menambah
pendapatan suami. Walaupun hidup dalam serba kekurangan, insya Allah hidup
pasangan begini akan rukun damai sampai bila-bila. Bagaimanapun hal ini merujuk
kepada wanita yang melimpah ruah dengan kasih dan sayang. Mengutamakan rumah
tangga dan berusaha menceriakannya walaupun si suami bukan berpangkat besar
atau mempunyai wang yang banyak.
Apabila
ditujukan kepada wanita yang memegang prinsip, ada wang abang sayang, tak ada
duit abang melayang lain pula penyudahnya. Jika yang dicintai itu adalah wang,
yang disayang itu adalah kemewahan, memang rumah tangga tidak bahagia dan aman.
Kerana yang diburu adalah wang dan harta, maka bila ada kedua-duanya di depan
mata, si isteri akan berasa nikmat kebahagiaan namun bila semuanya melayang,
wanita begini akan berasa terlalu kecewa dan bersusah hati, ujarnya.
Beliau
menambah, “Bagaimanapun kalau dikatakan, peranan wang membeli kasih dan sayang,
ia memang berkait antara satu dengan yang lain. Namun wang itu sekadar
dijadikan sebagai alat dan bukan matlamat. Wang berperanan menyenangkan pasangan
membina rumah tangga. Mendapatkan sebuah rumah untuk keluarga, memiliki
kenderaan dan apabila berlaku sebarang bencana, wang dapat merungkai masalah
yang melingkari. Jika mengandaikan wang untuk membeli cinta dan mengeratkan
kasih dan sayang, tandanya kita sudah tersilap mentafsir.
Sepatutnya
utamakan nilai kasih dan sayang yang diberikan oleh suami atau isteri, justeru
andai suatu hari kita ditimpa musibah dan hidup dalam serba kekurangan,
tidaklah cepat melatah.
Cuba
perhatikan mereka yang tinggal di kampung. Ada pasangan yang hidup melarat dan
menderita kerana tidak mempunyai wang yang banyak, namun ikatan kekeluargaan
erat dan sendat dengan kasih dan sayang,” jelasnya. Beliau tidak menafikan,
wanita sekarang lebih ramai yang celik mata dan sedar tentang perlunya membelai
cinta sampai ke tua, sedangkan lelaki asal ada orang yang menguruskan rumah
tangga sudah memadai. Golongan begini, malas hendak memupuk atau membajainya
walaupun mereka mampu melakukan.
Wanita
ketara sudah celik mata. Ini dapat diperhatikan dalam ceramah atau syarahan.
Mereka lebih banyak jika dibandingkan dengan kaum Adam. Sekiranya intipati
ceramah mengenai pasangan, pihak si isteri akan mudah terima dan berusaha
berubah apatah lagi jika kena dengan cara dan pendekatan yang betul. Sebaliknya
si lelaki yang turut mendengar tetapi kurang menghayati. Jika terima pun dengan
perasaan sombong dan egonya dan memang sukar mengubah kesilapan.
WANITA –
TULANG RUSUK YANG BENGKOK
Walaupun
hakikatnya bahtera rumah tangga itu sepatutnya dikemudikan oleh sisuami namun
era kini menyaksikan lebih banyak wanita yang lebih sensitif mengekalkan
kerukunan. Maknanya wanitalah yang lebih banyak bersabar, menelan pahit maung
kekurangan pendapatan atau menghadapi kerenah suami yang kadang kala
membosankan. Wanita sepatutnya berbangga dengan kejayaan ini walaupun asalnya
daripada tulang rusuk kiri lelaki yang bengkok.
Nabi
bersabda, wanita itu dicipta daripada tulang rusuk kiri lelaki yang bengkok,
maknanya jika dibiarkan sikapnya yang tidak elok, maka begitulah ia kekal
selama-lamanya. Lantaran itu andai si suami ingin memberi nasihat,hendaklah
secara psikologi dan lemah lembut sehingga yang bengkok itu akan lurus.
Sebaliknya jika menggunakan kekerasan, maka tulang yang bengkok itu akan mudah
patah atau pecah. Misalnya jika isteri pemarah, membebel dan cakap banyak, si
suami anggap sahaja ia cubaan yang amat kecil. Allah berfirman, “Apa yang kamu
tidak suka, itu adalah yang terbaik untuk kamu.” Namun dengan perkembangan hari
ini, nampaknya dunia sudah terbalik, si lelaki pula nampak gayanya banyak yang
bengkok, selarnya.
CINTA
DAHULU SEBELUM KAHWIN?
Memang
ramai yang membincangkan dua perkara ini sama ada cinta dahulu sebelum
berkahwin atau berkahwin dahulu baru bercinta. Ada orang bercinta lama, selepas
kahwin berasa jemu pula. Mulanya pasangan masing-masing buat perangai. Ada pula
sarankan, lepas kahwin baru bercinta, mereka dakwa pula lepas kahwin baru pecah
tembelang pasangan masing-masing. Maknanya, tidak ada kaedah khusus, ia
bergantung kepada jodoh masing-masing, dedahnya.
Beliau
menambah, “Contohnya pasangan orang tua dahulu. Masing-masing tidak kenal
tetapi keluarga aturkan perkahwinan. Lepas kahwin kita lihat mereka kekal
sampai berpuluh-puluh tahun dan orang tua-tua dakwa cara begitu lebih baik.
Sebenarnya itu bukan formula tetapi kebetulan. Maklumlah tinggal di kampung,
pergaulan bukanlah seluas atau semoden golongan yang tinggal di bandar. Jika
berlaku pergaduhan, si suami tidak sampai hati menceraikan isteri, begitu juga
si isteri jika minta cerai pun ke mana diri hendak dibawa?” soalnya.
Sambungnya
lagi, kedamaian hidup berumah tangga mesti dicatur sejak diawal perkenalan.
“Mesti diselidik latar belakang pasangan kala peringkat pemilihan pasangan.
Sekiranya pihak lelaki atau wanita mengikut kriteria yang dianjurkan oleh
Islam, insya Allah akan ada kerukunan dalam perkahwinan. Namun jangan tersilap
memilih, konon berkenan pasangan yang kuat agamanya. Kita hendaklah memandang
dengan pandangan yangluas, bukan setakat sembahyang, puasa atau berzakat sahaja
yang patut diambil kira. Antaranya hendaklah menjurus kepada nilai peribadi
seseorang. Misalnya kesanggupan penerimaan kita kepada kerenah, gelagat atau
tingkah laku pasangan. Kadang kala perangai lelaki membosankan dan tidak kurang
ada yang menyejukkan, jika kita terima daripada awal maka redhalah sehingga
akhirnya, kerana itulah suami atau isteri kita yang sebenar-benarnya.
LEPAS
KAHWIN TERBONGKAR RAHSIA
Ditanya
bagaimana mahu membelai cinta seandainya selepas berkahwin baru terbongkar
rahsia keburukan pasangan, beliau mengulas. Memang sukar menelah kebaikan
individu meskipun seseorang itu taat kepada ibadatnya. Pernah suatu ketika
seorang lelaki menemui Saidina Omar dan berkata, bahawa dia telah memilih
seorang lelaki untuk menjadi saksi. Lantas Saidina Omar bertanya, “Apakah
engkau kenal lelaki itu?” Pemuda itu menjawab, “Tidak ya amirul mukmimin.”
Saidina Omar bertanya lagi. “Apakah engkau pernah bermusafir dengannya?” Orang
itu jawab, “Tidak pernah,” Bertanya lagi Saidina Omar, “Apakah engkau pernah
berjiran dengannya? Orang itu menjawab,’Tidak pernah.’ Lantas ditanya Omar
lagi, “Macam mana engkau kenal dia? Dijawab si pemuda. Saya selalu tengok dia
sembahyang maka yakinlah dia memang baik.’ Omar berkata, “Engkau pergi dan
selidiki lagi kerana engkau sebenarnya belum betul kenal kepadanya.” Daripada
kisah yang diriwayatkan maknanya, sekadar tengok seseorang sembahyang, berulang
alik ke masjid atau membaca al-Quran belum bererti kita tahu perangai yang
sebenar. “Seeloknya ajak dia bermusafir, baru tahu kedekut atau tidak. Berjiran
dengannya, baru tahu perangai peribadi, dan jika berniaga bersama-samanya baru
tahu amanah atau sebaliknya diri seseorang. Jika sudah kenal hati budinya
barulah boleh dia dijadikan kawan atau saksi. Begitu juga apabila mencari pasangan,
selidik dahulu latar belakang dan nilai peribadinya. Caranya dengan menghantar
wakil atau orang tengah yang boleh diharapkan,” sarannya.
Namun
tidak dinafikan, apabila suami berubah sikap misalnya tidak lagi mesra seperti
dahulu, tidak mahu bergurau senda apatah lagi memupuk kasih dan sayang si
isteri akan makan hati dan menderita. Namun jangan sesekali dibiarkan sehingga
meresap ke dalam hati dan perasaan yang akhirnya menjadi kebiasaan. Apabila
suami buat perangai, cepat-cepat ditegur. Supaya dia segera sedar yang
perbuatannya itu salah. Jika isteri terlalu sabar dan redha dibimbangi akan
meresap ke dalam hati dan menjadi kesedapan kepadanya. Memang kenyataannya
apabila menegur atau melembutkan hati suami, mereka akan lebih keras dan kasar.
Gelagat perubahan ini lebih ketara apabila si suami sudah mula senang sedikit.
Balik lewat malam, bersenang-senang dan makan-makan dengan teman-teman atau
pergi berpoya-poya. Sebab itu dikatakan orang, wang sahaja membawa kebahagiaan
tetapi mengheret kepada kecelakaan. “Cara untuk mengatasi masalah suami yang
berubah hati, si isteri tidak boleh membentak. Kerana lelaki yang berperangai
begini, hatinya sudah keras. Si isteri mesti menggunakan pendekatan dengan cara
yang paling lembut sehingga mereka sedar.
“Tidak
dinafikan apabila si isteri berlembut, perangai suami semakin menjadi-jadi.
Bagaimanapun cuba kita fikirkan, kalau membentak akan timbul pula permusuhan
yang berpanjangan. Silap hari bulan, si suami memukul atau mendera si isteri.
Diam isteri bukan bererti redha dan bersetuju dengan perangainya cuma sekasar
mana pun lelaki, namun jauh disudut hati pasti mempunyai belas. Kasihan dengan
si isteri yang cukup tenang, sabar dengan perangainya yang buruk,” ujarnya.
Tambahnya
lagi, “Ada masanya suami mesti disentak dengan perkara-perkara yang tidak
dijangka. Misalnya seorang isteri yang sebelum ini banyak cakap tiba-tiba
mogok. Lepas masak diam, lepas makan diam, hendak tidur pun diam,maknanya
perangainya berubah menjadi pendiam. Mungkin dengan cara itu dia mampu meluahkan
perasaannya daripada marah tidak tentu pasal kemudian dicop suami, dia derhaka.
“Seperti kisah seorang pemuda yang menyatakan hasrat mahu berkahwin tetapi
dihalang oleh emaknya. Jadi dia mogok, kalau melawan, bimbang menderhaka kepada
orang tua dan dia takut masuk ke dalam api neraka. Lantas dia diam sahaja
sepanjang masa. Tidak makan, tidak minum, tidak tidur, sembahyang sahaja yang
dilakukan. Lama-kelamaan ibunya bertanya, “Engkau sakit ke, asyik diam aja.” Si
anak menggelengkan kepala. Oleh sebab emak sayangkan anak, lantas disuruhnya si
anak berkahwin. Barulah si anak bersemangat dan bahagia. Dalam kes ini si anak
terselamat, tidak menderhaka kepada ibunya dan dapat pula berkahwin,”
ceritanya.
TEGUR
CARA BERHIKMAH
Ustadz Ismail
Kamus menambah, jika sukar atau tidak sampai hati menegur suami yang buat
perangai, gunakan orang tengah. “Memang susah mencari yang boleh dipercayai
tetapi itulah cabaran yang mesti dihadapi. Bagaimanapun cara penyampaian orang
tengah itu biar betul dan kena caranya sehingga suami tidak menyalahkan si
isteri. “Selain memberi nasihat, isteri hendaklah mohon kepada Allah dan
bermunajat kepada- Nya tanpa jemu. Di samping itu bacalah surah Ali-Imran, ayat
83 yang maksudnya: “Apakah selain daripada agama Allah mereka cari, dan
baginya,menyerahlah sesiapa yang di langit dan yang di bumi, secara sukarela
dan terpaksa dan kepadanya jua mereka dikembalikan.”
“Ayat ini
hendaklah dibaca sebanyak 1,000 kali sehari. Apabila hendak digunakan baca tiga
kali dan tiup kepada orang yang berkenaan atau ditiupkan ke dalam air untuk
diminum oleh orang tersebut. Mudah-mudahan, berkat doa dan air itu akan lembut
hatinya.” Menjawab persoalan, bagaimana membelai cinta jika si suami asyik
panas baran beliau menjelaskan. Apabila suami baran, isteri kena sabar dan
redha kerana itulah suami kita. Orang yang baran sebenarnya ada masalah.
Jiwanya sakit tenat dan perlu diubati. Perhatikan di mana kelemahan suami dan
cari punca kenapa dia marah. Kemudian kita cari jalan supaya dia tidak marah.
Umpamanya kalau isteri lambat masak, suami akan marah, jadi si isteri hendaklah
menyegerakan memasak. Ataupun setiap kali balik kerumah, suami mesti hendak
minum, jadi cari jalan cepat-cepat sediakan minuman. Ertinya kita hendaklah
menutup segala punca kemarahan suami dan lama-kelamaan penyakitnya akan reda.
Kalau dia
yang menyalakan api kemarahan, isteri hendaklah mendiam diri. Jangan sesekali
marah kerana marah itu bukan milik kita tetapi haknya. Jika kita tentang
kemarahannya, ia akan lebih cepat terbakar atau merebak. Lagipun api bukan
lawannya api sebaliknya hendaklah disimbah dengan air supaya padam. “Untuk
meredakan, amalkan surah Toha ayat satu hingga enam dan baca sebanyak 1,000
kali. Tiup kepada ubun-ubun atau mukanya sehingga kepusat sebanyak tiga kali.
Insya-Allah akan lembut hatinya. Antara maksudnya,
“Tha, Ha,
(Hai manusia), tiada Kami turunkan al-Quran ini supaya engkau mendapat celaka.
Melainkan peringatan bagi orang yang takut (kepada Tuhan).
Wahyu
yang diturunkan dari Tuhan yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. Tuhan
yang Pemurah berkuasa di atas singgahsana.KepunyaanNya apa yang ada dilangit,
apa yang ada di bumi, apa yang ada di antara kedua-duanya dan apa yang ada di
bawah tanah.”
Sebelum
mengakhiri perbualan, beliau sempat menegur sesiapa sahaja yang masih
mengabaikan rumah tangga sebaliknya hanya mahu berseronok dan berserakah,
hendaklah segera bertaubat. Nabi bersabda, Barangsiapa yang telah melampaui 40
tahun namun kebaikannya tidak mengatasi kejahatan hendaklah dia bersiap sedia
untuk masuk api neraka.”
No comments:
Post a Comment