Tarbiyyah
adalah satu perjalanan yang panjang, berlakunya adalah sepanjang hayat.
Dan di sepanjang perjalanan itu, pasti akan berlakunya fitnah-fitnah yang bisa
menggugurkan kita di jalan tarbiyyah.
Jika
dahulu, kita terpilih daripada jutaan manusia di alam ini untuk memilih jalan
dakwah. Sebagaimana firman Allah swt: "Dan hendaklah ada di antara kamu
segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan
mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung."
(Ali-'Imran: 104)
Jelas di dalam ayat ini Allah swt menyatakan segolongan,
bukannya keseluruhan. In bermaksud hanya sebahagian daripada kita akan terpilih
untuk melaksanakan tugas ini.
Ini adalah tapisan pertama - yang memilih kita
untuk berada di atas jalan tarbiyyah.
Dan
tapisan itu tidak hanya terhenti di situ. Pabila kita sudah berada di medan
amal, kita masih lagi akan terus ditapis dan ditapis. Persoalannya kenapa?
Kerana mungkin Allah swt hanya mahukan yang golongan yang terbaik untuk
menegakkan kembali panji Islam.
Proses tarbiyyah ini adalah umpama kita
mengasingkan beras mengikut cara tradisional ~ cara menampi, untuk mengasingkan
antah, sekam dan dedak beras bagi menghasilkan beras yang bersih. Beras-beras
yang buruk akan jatuh, itulah tapisan pertama. Kemudian beras-beras itu dikaut
sekali lagi, sehinggalah yang tinggal hanyalah beras-beras yang elok.
Mungkin pada zaman pengajian tinggi, kita masih
lagi dapat survive dengan tarbiyyah dan dakwah. Kemudian masuk pula alam
pekerjaan. Mungkin masih dapat survive lagi. Namun pabila bebanan tanggungjawab
makin bertambah - berkahwin, punya anak dan sebagainya, makan pada ketika
itulah ramai di antara kita yang tidak mampu untuk mengharungi tapisan
tersebut.
Jadi ramailah para da'ie yang keciciran setelah
memasuki alam keluarga. Bagi yang masih membujang pula, mungkin tapisannya
jatuh dengan cara godaan daripada kaum hawa untuk para ikhwah, dan kaum adam
untuk para akhawat
Tapisan
itu adalah ujian buat kita dan sesungguhnya ujian itu adalah fitrah buat
manusia. Kerana Allah mahu laksanakan selection process, melihat siapakah yang
betul-betul beriman. Seperti firmanNya dalam surah Al-Ankabut, ayat ke-2 yang
bermaksud: "Apakah manusia itu mengira mereka dibiarkan (sahaja)
mengatakan: 'Kami telah beriman'; sedangkan mereka tidak diuji lagi?"
Al-Quran ada juga menyebut, golongan yang kekal
adalah mereka yang berjaya melepasi tapisan. Dan seolah-olah Allah swt tidak
memandang golongan yang gugur. Allah swt merakamkan kisah Thalut dalam surah
Al-Baqarah ayat ke-249: "Maka tatkala Thalut keluar membawa tenteranya,
ia berkata: 'Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan suatu sungai. Maka
sesiapa di antara kamu meminum airnya, bukanlah ia pengikutku. Dan barang siapa
tiada meminumnya, kecuali menceduk seceduk tangan, maka ia adalah pengikutku.'
Kemudian mereka meminumnya kecuali beberapa orang di antara mereka. Maka
tatkala Thalut dan orang-orang yang beriman bersama dia telah menyeberangi
sungai itu, orang-orang yang telah minum berkata, ' Tak ada kesanggupan pada
hari ini untuk melawan Jalut dan tenteranya.' Orang-orang yang meyakini bahawa
mereka akan menemui Allah berkata, 'Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit
dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta
orang-orang yang sabar."
Mohonlah pada Allah swt agar kita terus berkekalan
di jalan ini hingga ke akhirnya.
No comments:
Post a Comment