Dalam masyarakat Melayu Islam memang sering mengungkapkan bahawa
perkahwinan atau berumahtangga itu sebagai membangunkan masjid. Tanpa huraian
mendalam pun, sudah ada satu tanggapan atau persepsi bahawa membina rumahtangga
itu punya maksud yang suci murni dan nilai yang tinggi hingga dikatakan sebagai
membina masjid. Masjid pula adalah satu institusi yang wajib ada dalam
kehidupan masyarakat. Dan sudah tentu dalam pembinaan masjid bukan boleh dibuat
sambil lewa. Semua aspek yang berkaitan dengan masjid mesti tiada yang
tertinggal. Misalnya masjid mesti tepat arah kiblat. Dibina dengan sempurna
supaya tiada gangguan dalam penggunaannya. Penjagaan masjid yang berterusan
mesti diperkirakan dari awal kerana masjid bukan sekadar hendak dipakai untuk
tempoh yang singkat, sebaliknya penggunaan masjid sampai bila-bila.
Sekarang mari kita tinjau lebih terperinci lagi tentang konsep
dan falsafah masjid dan bandingannya dengan rumahtangga.
1. Masjid dibina kerana Allah SWT. Dilarang membina masjid
dengan niat-niat yang lain. Begitulah dalam membina rumahtangga, tidak boleh
dengan niat lain. Terpesong niat akan dengan mudah memusnahkan rumahtangga.
Umpamanya niat berumahtangga hanya sekadar untuk memenuhi tuntutan naluri atau
sekadar hendak melepaskan nafsu semata-mata. Niat-niat yang tidak murni ini
awal-awal lagi mengundang kemurkaan Allah SWT. Tuhan tidak pimpin dalam
menjalani hidup berkeluarga. Hilang keberkatan dari Tuhan. Hasilnya rumahtangga
itu tidak akan tenteram. Amat perlu diingat bahawa tanda sebuah keluarga yang
hilang keberkatan ialah apabila suasana tidak tenteram, sering marah-marah,
sering bertengkar, hilang kasih sayang, mementingkan diri sendiri, hidup
nafsi-nafsi.
2. Arah kiblat semua masjid adalah tepat. Arah kiblat yang salah
membatalkan sembahyang. Semua anggota keluarga mesti memiliki niat dan arah
kehidupan yang sama iaitu mencari keredhaan Allah SWT melalui rumahtangga dan
hidup berkeluarga. Barulah rumahtangga itu akan melahirkan orang-orang yang
mudah sepakat, bermuafakat, seia sekata, saling memiliki rasa bersama,
bekerjasama dan bertolong bantu. Andainya niat berumahtangga itu tidak tepat,
ibarat masjid salah kiblat. Biarpun berjaya juga dibendung dari timbulnya
krisis, namun rumahtangga itu hakikatnya sudah berpecah belah.Untuk sementara
waktu mungkin boleh bertahan. Dan mungkin juga masih boleh bertahan kerana
belum ada sebarang cabaran atau gangguan. Lazimnya sadikit saja cabaran yang
melanda akan mudah rapuh dan terbarai.
3. Masjid adalah tempat membesarkan Allah SWT. Ertinya
rumahtangga adalah saluran anggota keluarga membesarkan Allah SWT. Bukan tenpat
membesarkan dunia, nafsu dan syaitan. Rumahtangga yang sering berkrisis adalah
berpunca kerana dalam diri masing-masing subur cinta dunia, subur perangai
syaitan, bertunjangkan nafsu dan tabiat haiwan semata-mata. Cinta dunia,
angkara nafsu dan syaitan adalah punca dunia porak peranda dan tidak ada noktah
dari bermusuh dan berperang. Inilah juga akibat yang bakal ditanggung oleh
rumahtangga yang memiliki faktor yang serupa. Iaitu rumahtangga yang Tuhan
tidak dipedulikan, Tuhan terpinggir, Tuhan tidak dibawa bersama dalam
kehidupan.
4. Masjid adalah tempat ibadah. Tempat beramal mengabdikan diri
kepada Allah SWT. Masjid bukan tempat hingar bingar, bukan tempat kelakar dan
lucu dengan hilai ketawa berdekah-dekah, bukan pasar yang riuh rendah tanpa
haluan dan bukan juga arena konsert atau tempat menonton sebarang permainan.
Ini bukan bererti tiada kegembiraan dan gurau senda dalam rumahtangga. Namun
semuanya berlaku dengan penuh berdisiplin, kaya dengan adab sopan, tata susila
dan ketertiban. Suasana yang aman tenteram seolah-olah dalam suasana menjaga
ibadah. Seperti mana dalam masjid tiada maksiat, kemungkaran pertengkaran, kata
nista, maki hamun, sumpah seranah, bertegang leher, maka begitulah suasana
dalam rumahtangga.
5. Masjid adalah tempat berlakunya pengajian, majlis
ilmu,nasihat menasihati dan peringatan. Secara khususnya atau rasminya adalah
Khutbah Jumaat. Begitulah keadaan yang seharusnya berlaku dalam
rumahtangga.Terutamanya suami, selaku ketua keluarga mesti mampu menjadi imam
sembahyang, mengadakan majlis pengajian yang ringan-ringan terutama di bidang
fardhu ain,adab-adab dan membaca Al-Quran. Juga mesti mampu memberi tunjuk ajar
dan peringatan kepada anggota keluarga.
6. Masjid adalah tempat manusia merendah diri, berkasih sayang,
hormat menghormati dan saling bermaafan.Demikianlah sewajarnya terjadi dalam
rumahtangga.Hidup dengan ketiadaan ego dan sombong, berkasih sayang,saling
selamat dan menyelamatkan, saling menghiburkan, prihatin, setia dan bela
membela. Yang tua mengasihi, manakala yang muda menghormati. Yang tidak tahu
diberi tunjuk ajar, yang bersalah meminta maaf dan yang tidak bersalah memberi
maaf.
7. Bangunan masjid itu merupakan gabungan berbagai komponen dan
bahan binaan. Gabungan yang lengkap itulah menjadikan sempurnanya sebuah
masjid. Ditambah lagi dengan berbagai ukiran yang menambahkan lagi cantiknya
sesebuah masjid. Dalam konteks rumahtangga, ianya bukan setakat ikatan antara
dua orang atau sepasang suami isteri itu saja. Lebih dari itu bermula dari
ikatan dua orang suami isteri, terjalin hubungan antara keluarga kedua-dua
pihak. Sanak saudara antara kedua pihak bertukar menjadi ikatan kekeluargaan
yang lebih besar. Termasuk juga selepas perkahwinan itu akan mendapat anak,
seterusnya menantu pula, maka bertambah lagi anggota keluarga. Selepas
anak-anak dan menantu- menantu, datang pula cucu-cucu. Cucu-cucu pula berkahwin
maka bertambah lagi jumlah anggota keluarga. Seluruh ikatan kekeluargaan itu
perlu dijaga agar kekal tidak terungkai bahkan kekal utuh. Begitu besarnya
fungsi rumahtangga.
Cuba bayangkan andainya berlaku perceraian antara suami isteri.
Maka perceraian itu diibaratkan meruntuhkan masjid. Selain hilang peranan yang
diibaratkan masjid, putus pula segala ikatan kekeluargaan antara dua pihak.
Seolah-olah seluruh bangunan masjid itu runtuh. Walaupun bercerai itu tidak
berdosa, namun ianya ibarat runtuhnya sebuah masjid, kesan negatif dari
perceraian itu amat besar. Perceraian akan memberi kesan kepada retaknya ikatan
dalam keluarga keseluruhannya.
Seperti mana masjid perlu ada penjagaan berterusan agar kekal
berfungsi maka begitulah juga rumahtangga perlu sangat dijaga agar kekal hingga
akhir hayat. Kalau runtuh masjid maka tiada lagi tempat tumpuan masyarakat
untuk melaksanakan berbagai aktiviti kepada Tuhan mahu pun sesama manusia,
demikianlah juga sekiranya runtuh rumahtangga maka akan berlaku berbagai
kepincangan dalam masyarakat.
8. Masjid amat dijaga kebersihan dan kesuciannya. Habuk,debu,
sawang semuanya disingkirkan. Najis memanglah sangat diawasi. Tahi cicak pun
tidak boleh ada. Ini kesucian yang bersifat lahir. Orang-orang yang memasuki
masjid turut menjaga kesucian batin. Masing-masing berusaha mengawasi gerak
hati agar tidak menjalar sifat mazmumah sepanjang berada dalam masjid. Ertinya,
sedikit sebanyak berusaha juga membuat penyucian hati. Kerana hati memang
terasa diawasi oleh Allah SWT. Dengan harapan perasaan atau rasa diawasi oleh
Allah SWT itu dapat dibawa keluar dari masjid.
Sama juga fungsi rumahtangga. Tempat di mana anggota keluaga
menjadikannya gelangang mujahadah untuk membuang dan membakar sifat mazmumah,
sekaligus menyuburkan sifat-sifat mahmudah. Juga dengan harapan sifat-sifat
mahmudah dapat di bawa bersama ketika berada di luar rumah bersama masyarakat.
Kalau setiap keluarga berbuat perkara yang serupa, maka kesannya ialah anggota
masyarakat terdiri daripada manusia yang baik-baik. Aman damailah pula
masyarakat dan negara.
Kredit:islamsyumul
No comments:
Post a Comment