19 April 2013

Ko bagi 1 je, tp ko dapat 10 ... perghhh




PADA suatu hari, Siti Fatimah teringin memakan epal. Lalu Saidina Ali keluar mencarinya buat isteri tercinta. Dalam perjalanan pulang, Saidina Ali terserempak dengan seorang lelaki miskin yang meminta sedikit makanan daripadanya kerana sudah lama tidak makan.

Saidina Ali menjadi berbelah bahagi antara isteri serta membantu si miskin itu. Namun, atas dasar kemanusiaan dan persaudaraan sesama Islam, disulami rasa tanggungjawab sebagai suami, dia memotong buah epal itu kepada dua bahagian. Sebelah disimpan untuk isterinya dan sebelah diberikan kepada lelaki miskin tersebut.


Lelaki itu meminta lagi kerana terlalu lapar. Situasi ini membuatkan Saidina Ali berada dalam dilema. Oleh kerana terlalu belas kepada si miskin itu, maka baki epal yang sebelah itu turut diberikan kepada lelaki miskin itu.


Lalu pulanglah menantu Rasulullah SAW itu dengan tangan kosong. Setibanya di rumah dilihat Siti Fatimah sedang menanti-nanti kepulangannya dengan tersenyum lebar.


Saidina Ali rasa bersalah lantas terus menceritakan kejadian yang berlaku serta meminta maaf kepada isterinya dan berjanji akan membawakannya epal yang lain.


Saidina Ali terkejut apabila Siti Fatimah memberitahu baharu tadi ada seseorang datang memberikan mereka sebakul epal seraya menunjukkan bekas yang berisi sembilan biji epal.


Saidina Ali lantas bertanyakan di mana sebiji lagi epal tersebut. Sungguhpun dalam terkejut, Siti Fatimah mengakui yang dia telah memakannya kerana terlalu teringin.


Dalam kehairanan, Siti Fatimah sempat bertanya bagaimana suaminya mengetahui bahawa di dalam bakul itu ada 10 biji epal?


Lalu Saidina Ali tersenyum dan berkata: “Sayang, bukankah ayahmu mengajar kita bahawa setiap satu amalan yang kita perbuat, Allah akan membalasnya dengan 10 kali ganda ganjaran. Tadi abang memberikan sebiji epal kepada orang yang memerlukan, lalu abang yakin imbalan yang kita terima adalah ibarat epal ini. Sudah tentu Allah mentakdirkannya agar 10 biji, bukannya sembilan."


Kisah ini bukannya bermaksud setiap apa yang kita keluarkan akan mendapat balas terus pada masa itu juga dengan gandaan 10, namun itu juga tidak mustahil dengan kuasa Allah SWT.


Apa yang lebih penting untuk kita fahami, betapa tinggi dan besarnya kasih sayang Allah SWT kepada kita dan betapa hebatnya iman para sahabat.

l Susunan daripada buku Bertanya Tentang Tuhan terbitan Mustread Sdn. Bhd.

Kredit:Sarimin

No comments: