Ketua pemuda ahli syurga, Hasan bin Ali radhiaLlahu anhuma, di
dalam himpunan nasihat dan kata – kata hikmah yang terakam di dalam sejarah
ketinggian ilmu dan budinya pernah bekata;
“Kehancuran manusia adalah pada 3 perkara: 1) Sifat takabbur. 2)
Sifat Tamak. 3) Sifat dengki. Adapun sifat takabbur, ia menghancurkan ugama dan
kerananyalah iblis dilaknat oleh Allah. Sifat tamak pula, ia adalah musuh
kepada diri sendiri dan kerananyalah nabi Adam dikeluarkan daripada syurga.
Manakala sifat dengki adalah pengepala kepada kejahatan dan kerananyalah Qabil
telah sanggup membunuh Habil.” ( Kitab ‘Allimu auladakum hubba aali baiti al
nabi. ms 30 )
Inilah hikmah yang hebat dan cukup meruntun jiwa untuk
menginsafi diri dan mendorong taqwa kepada Allah. Semoga Allah merahmati Hasan
bin Ali radhiaLlahu anhuma dan menempatkan kita bersamanya dan para sahabat
radhiaLlahu anhum di syurgaNya.
Inilah 3 sifat buruk yang disebut di dalam al Quran sebagai
punca awal maksiat sang makhluk kepada tuhannya. Sebelumnya tiada satupun
makhluk kecuali tunduk dan patuh kepada tuhan sang pencipta yang maha agung.
Ia bermula dengan sifat angkuh dan sombong Iblis yang enggan
sujud kepada Adam alaihissalam. Di situlah bermula keengkaran dan kekufuran,
lalu iblis dilaknat Allah.
Kemudian datuk kita terlalai oleh pujukan dan tipudaya iblis
daripada mengingati pesanan tuhannya untuk tidak mendekati ‘pokok sambung
nyawa’ di syurga itu. Nabi Adam didorong oleh ketamakan untuk kekal hidup tanpa
mati di syurga menikmati anugerah Allah. Adam memakan daripada pokok itu, lalu
baginda dihukum dengan dikeluarkan daripada syurga disebalik taubatnya yang
diterima Allah.
Kemudian Allah menceritakan jenayah pertama di muka bumi yang
dilakukan oleh Qabil yang telah sanggup membunuh saudara kandungnya sendiri,
Habil kerana sifat dengki yang meluat – luat sehingga membutakannya daripada
mendengar nasihat yang benar daripada saudaranya itu.
Sayyidina Hasan telah mengingatkan kita bahawa ketiga – tiga
sifat buruk inilah yang akhirnya terus membunuh dan menghancurkan manusia
selepas daripada itu. Manusia gagal mengambil iktibar daripada cerita – cerita
awal kejadian manusia itu, gagal mengesan keburukan sifat – sifat tersebut di
dalam tubuh mereka dan gagal menghindari dan mengubatinya.
Sifat takabbur adalah lawan sifat tawadhu’. Ia bermaksud
membesar diri dan membangga – banggakan keadaan dirinya, seterusnya memandang
leceh dan rendah terhadap orang lain. Inilah sifat paling buruk kerana
daripadanyalah akan lahir dan bercabangan sifat – sifat buruk yang lain. Ini
kerana sifat itu hanya layak untuk Allah dan menjadi milikNya semata – mata.
Sifat takabbur mudah dikesan kerana wujud tanda – tanda yang
zahir, antaranya; suka menunjuk diri di khalayak ramai, menonjolkan
kelebihannya di hadapan mereka, suka mengetuai majlis keramaian dan berlagak
semasa berjalan, tidak suka kata – katanya ditolak sekalipun salah bahkan
enggan menerima teguran dan memandang rendah terhadap orang yang lemah dan
miskin.
Selain itu, antara tanda – tanda takabbur lagi adalah suka menyucikan
diri sendiri dan memuji – mujinya, berbangga dengan keturunannya dan menunjuk –
nunjuk dengan kekayaannya, ilmunya, ibadahnya, kecantikannya, kekuatannya,
penyokong dan pembantunya yang ramai dan lain – lain lagi.
Sifat tamak pula adalah keinginan melampau untuk menikmati harta
dan kedudukan. Tamak terhadap harta ada 2 peringkat;
Pertama, terlalu inginkan harta dan bersungguh – sungguh
menperolehinya melalui jalannya yang harus dan dibenarkan. Ini tetap
tercela kerana betapa banyak masanya dihabiskan untuk memburu harta sedangkan
masa itu adalah emas yang lebih bernilai daripada harta. Masanya itu sepatutnya
dihabiskan untuk memburu taqwa dan taat kepada Allah berbanding harta yang
telah ditetapkan oleh Allah untuknya.
Kedua, ketamakan terhadap harta sehingga mendorongnya melampaui
had yang dibenarkan syara’. Ia memasuki jalan – jalan haram tanpa lagi
menghiraukan kemurkaan Allah. Inilah penyakit ‘asy syuhh’ ( terlalu bakhil )
yang diingatkan Allah di dalam al Quran agar dijauhi.
Sabda Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam: ” Berhati – hatilah
kamu daripada sifat asy syuhh. Sesungguhnya asy syuhh itu telah menghancurkan
orang sebelum kamu. Ia menyuruh kepada putus hubungan, lalu mereka
memutuskannya. Ia menyuruh kepada kebakhilan, lalu mereka menjadi bakhil. Ia
menyuruh kepada kejahatan, lalu mereka melakukan kejahatan.” ( Riwayat Abi
Daud. Albani mensahihkannya.)
Adapun tamak kepada kedudukan, maka ia adalah lebih buruk
daripada tamak kepada harta. Ia terbahagi kepada 2 bahagian;
Pertama, tamak kepada kedudukan melalui kuasa dan harta. Ini
cukup bahaya kerana ia akan menghalang daripada kebaikan akhirat dan
kemuliaannya. Orang yang menggilai kekuasaan tidak akan dibantu dan diberi
petunjuk oleh Allah kecuali mereka yang menerimanya tanpa meminta.
Kedua, tamak kepada kedudukan melalui perkara – perkara ugama
seperti ilmu, amal, kezuhudan dan sebagainya. Inilah seburuk – buruk
ketamakan. Agama adalah untuk memburu dan mengejar ridha Allah dan kedudukan di
sisiNya, tetapi mereka ini telah menyalah gunakannya untuk keduniaan.
Manakala sifat dengki pula, maka ia adalah lawan sifat suka dan
mengimpikan kebaikan untuk orang lain. Dengki menjadikan tuannya terlalu
mengimpikan sesuatu nikmat itu hilang daripada orang lain. Ia adalah penyakit
yang buruk, hina dan menghancurkan segala kebaikan. Allah menyuruh nabiNya
berdoa agar dijauhi daripada kejahatan mereka yang berdengki. ( Surah al ‘alaq;
5 )
Hasad dengki terjadi akibat beberapa perkara; permusuhan,
kebencian, ujub, cintakan kedudukan, busuk hati dan lain – lain penyakit hati.
Ia terlalu buruk dan menakutkan kerana ia boleh saja berlaku di kalangan
sendiri, kawan – kawan, para ulama dan peniaga dan keluarga.
Itulah gambaran ringkas keburukan 3 penyakit utama yang
menghancurkan manusia sebagaimana digambarkan oleh Sayyidina Hasan bin Ali
radhiaLlahu anhu.
Semoga Allah memudahkan kita untuk menjauhi diri daripada
berakhlak dengan akhlak – akhlak yang buruk dan terhina. Bersamalah menghias
diri dengan sifat – sifat ugama yang mulia.
Kredit:mr-tazkirah
No comments:
Post a Comment