21 April 2013

Kerjasama Semua Pihak Penting


Lahad Datu: Insiden pencerobohan pengganas di timur Sabah boleh dielakkan jika masyarakat setempat menyalurkan maklumat lebih awal kepada pihak berkuasa.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kejadian pencerobohan pengganas di Lahad Datu adalah peringatan kepada semua rakyat Malaysia bahawa hal menjaga keselamatan adalah tanggungjawab bersama.

"Walaupun keamanan sudah dapat dikembalikan di timur Sabah, tugas masyarakat setempat adalah bekerjasama dengan pasukan keselamatan menyalurkan sebarang maklumat jika ada perkara mencurigakan berlaku.

"Ini amat penting bagi mengelak insiden sama berulang dan peringatan ini juga untuk semua rakyat negara ini agar menghargai keamanan kita kecapi selama ini," katanya selepas mengetuai rombongan Exco MCPF ke Kampung Tanjung Labian dan Tanjung Batu di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Shamsudin Mat dan Naib Pengerusi MCPF, Datuk Kamarudin Md Ali.

Lam Thye berkata, walaupun usaha mengembalikan keamanan giat dilakukan menerusi Ops Daulat dan akan dimantapkan dengan penubuhan Kawasan Kawalan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM), masyarakat turut memainkan peranan penting dalam soal keselamatan negara.

"Pencerobohan pengganas asing di timur Sabah adalah perkara sangat serius kerana ia ancaman besar kepada keselamatan negara dan penduduk Sabah.

"Justeru, ia wajar dijadikan pengajaran pahit kepada rakyat mengenai pentingnya keselamatan dan keamanan negara, selain mempunyai semangat patriotik tinggi," katanya.

Beliau berkata, insiden di Lahad Datu wajar didokumentarikan dan dipertonton di sekolah supaya generasi muda dapat melihat pengorbanan besar pasukan keselamatan menjaga kedaulatan negara dan dijadikan pemangkin dalam membangunkan semangat patriotik.

Kredit:VAT69-perjuangan semalam

No comments: