Pasukan keselamatan Filipina menembak mati 35 anggota pengganas Kiram
dalam satu pertempuran sengit di Pulau Sibutu di negara jiran itu Sabtu
lalu, ketika kumpulan tersebut merancangstrategi untuk menceroboh dan
menyerang pantai timur Sabah bagi mengganggu kelancaran Pilihan Raya
Umum Ke-13 (PRU-13).
Menurut sumber, dalam pertempuran lewat malam itu, dua daripada
kira-kira 200 anggota pasukan keselamatan Filipina yang terlibat dalam
serangan tersebut turut terbunuh.
"Dengan kejayaan itu, satu lagi usaha pencerobohan pengganas Kiram yang
diketuai pemimpin kanannya, Kalling Amirul untuk masuk ke negara ini
berjaya digagalkan dengan kerjasama pihak berkuasa Malaysia dan
Filipina.
"Dalam serangan berkenaan, Kalling dilaporkan terbunuh. Pasukan
keselamatan turut merampas lebih 20 laras senjata api M16 dan rifel
Garand," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Sumber itu seterusnya berkata, rancangan kumpulan pengganas tersebut
untuk menceroboh perairan pantai timur Sabah dipercayai bertujuan
merencatkan kelancaran proses pilihan raya yang sedang berlangsung.
"Walaupun ancaman daripada pengganas ada tetapi kawalan keselamatan akan
diperketatkan dari semasa ke semasa malah operasi-operasi membanteras
akan terus mendapat kerjasama daripada kerajaan negara berkenaan.
"Oleh itu, keselamatan penduduk khususnya di Lahad Datu dan Semporna
adalah terjamin dan hari membuang undi juga diyakini akan berjalan
lancar," katanya.
Dalam pada itu, tambah sumber tersebut, pasukan marin Filipina turut
mencatat kejayaan dengan penahanan tujuh daripada 18 pengganas Kiram
selepas menahan sebuah bot di Pulau Sipangkut, Filipina semasa
dipercayai dalam perjalanan ke Kampung Tanduo, Sabah.
"11 pengganas itu walau bagaimanapun berjaya melarikan diri," ujarnya.
Pada 19 April lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan cubaan
kumpulan pengganas Kiram yang dibantu Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro
(MNLF) untuk menyusup masuk ke perairan pantai timur Sabah bagi
mengganggu kelancaran proses PRU-13.
Kumpulan pengganas bersenjata itu dikatakan merancang masuk ke negara
ini pada waktu malam dan akan bergerak dalam beberapa kumpulan kecil ke
daerah Sandakan, Beluran dan Kinabatangan bagi mengelak dikesan.
Walau bagaimanapun, usaha pengganas itu gagal setelah PDRM, Angkatan
Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
(Maritim Malaysia) diarahkan untuk mengetatkan kawalan keselamatan di
Sabah terutama menjelang hari penamaan calon dan pengundian.
Kredit:BeliaBangkit
No comments:
Post a Comment