JOHOR BAHRU 19 April - "Kami semua tak tidur,
berjaga hingga ke siang semata-mata untuk mempertahankan tanah air
daripada diceroboh oleh kumpulan pengganas Kiram."
Demikian cerita seorang pegawai tentera, Mejar Faris Wajudi Ismail,
31, dari Markas 21 Gerup Gerak Khas, Kem Iskandar, Mersing apabila
ditanya pengalaman yang dilaluinya sepanjang bertugas di Lahad Datu,
Sabah.
Biarpun menyedari risiko dan bahaya yang ditempuhi sepanjang
menyertai Ops Daulat selama kira-kira dua bulan, anak kelahiran Tanah
Merah, Kelantan itu tidak sesekali gentar untuk kembali ke Lahad Datu
sekiranya ditugaskan lagi ke sana.
"Saya percaya semua rakan mempunyai semangat juang yang tinggi untuk
kembali ke sana. Apa yang kami buat adalah demi kedaulatan negara dan
agama yang dijunjung.
"Malah, semangat juang yang berkobar-kobar ini akan terus membara
demi mempertahankan kedaulatan negara," katanya ketika ditemui dalam
Majlis Sambutan Kepulangan Petugas-petugas Ops Daulat Markas 21 Gerup
Gerak Khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, Senai dekat
sini malam tadi.
Pada majlis berkenaan, empat pegawai dan 115 anggota Gerak Khas yang
terlibat dalam Ops Daulat disambut oleh Timbalan Menteri Pertahanan,
Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad.
Selain disambut oleh ahli keluarga masing-masing, majlis tersebut
turut dihadiri oleh Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd.
Shariff.
Menurut Faris Wajudi, beliau bersama beberapa rakannya yang memeriksa
kawasan sekitar di Sungai Nyamuk turut terserempak dengan musuh.
"Namun lelaki itu (pengganas) melarikan diri apabila menyedari
kehadiran kami. Dengan maklumat yang diperolehi, kami salurkan kepada
pasukan lain dan mereka berjaya membunuh musuh di kawasan sekitar,"
katanya.
Sementara itu, Leftenan Badrul Hafiz Asmadi, 22, pula
menyifatkan Ops Daulat sebagai satu tugasan yang mencabar minda dan
fizikal semua anggota keselamatan baik yang mengawasi darat mahupun
lautan.
Menurut anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu, semangat juangnya
untuk mempertahankan negara semakin berkobar-kobar apabila berjaya
menumpaskan musuh biarpun dalam jumlah yang sedikit.
"Setelah diatur gerak di Kampung Tanjung Batu, kami menjalankan
kerja-kerja mengawasi kawasan sekitar. Ketika misi berkenaan kami
ternampak kelibat seorang lelaki yang berlari masuk ke sebuah rumah.
Mereka melancarkan serangan dan kami membalasnya.
"Akhirnya setelah keadaan sedikit reda, kami masuk ke rumah berkenaan
dan menjumpai empat mayat lelaki yang mati terkena tembakan," katanya.
Sumber:
No comments:
Post a Comment