“Saya orang Sulu tidak gentar berjuang sekali lagi dengan mereka
(pengganas) yang menggunakan helah untuk menembak ke arah kami,”
demikian cerita anggota Komando VAT 69, Koperal Azman Ampong, 38, ketika
berhadapan dengan lebih 20 pengganas dari Selatan Filipina di Kampung
Tanduo, 1 Mac lalu.
Menurutnya, dia bersama Koperal Mohd Tarmizi Hashim, 32, hanya
berlindung di sebatang pokok kelapa sawit ketika ‘hujan peluru’
dilepaskan dari muncung Self Loading Rifle, AK Rifle dan M16 pengganas
terbabit.
‘Ayau kaimu rindi, muik pa kaimu’ (Janganlah kamu di sini, balik lah
kamu)’ ayat jelas dituturkan oleh seorang pengganas dalam bahasa Suluk
ketika mereka berhadapan dalam jarak sembilan meter sambil memegang
bendera putih.
“Ketika itu lebih kurang 36 anggota dan tiga pegawai dalam pasukan Bravo
dan Charlie membuat rondaan risikan Op Daulat terserempak dengan enam
pengganas bersenjata.
“Hanya kami berdua berada di barisan hadapan manakala di belakang
Allahyarham ASP Zulkifli Mamat dan rakan-rakan lain. Enam pengganas
telah memanggil rakan mereka yang lain dan membuat satu barisan di
hadapan kami.
“Melihat kami tidak akan berganjak sedikit pun, terdengar takbir dua
kali dan ketika itulah tembakan dilepaskan sejurus selepas musuh yang
memegang bendera putih menyorok di belakang pokok,” katanya ketika
ditemui di Majlis meraikan 180 Wira PDRM Op Daulat peringkat negeri di
sini, malam tadi.
Katanya, beliau menyifatkan musuh dari Selatan Filipina itu sebagai
pendendam dan suka bermain dengan tipu helah ketika berhadapan dengan
pasukan keselamatan.
“Tidak semua orang Sulu jahat kerana saya sendiri berdarah Sulu. Malah
saya akan berperang sendiri dengan mereka yang menggunakan helah
menceroboh dan membunuh demi mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.
Bapa kepada empat anak ini berazam kembali ke medan pertempuran di tanah
kelahirannya itu setelah insiden pencerobohan mengorbankan lapan rakan
sepasukannya.
Sementara itu, Mohd Tarmizi yang sehingga kini masih mengingati setiap
detik pertempuran itu menganggap ia sebagai satu pengalaman paling
berharga sepanjang sembilan tahun menyertai pasukan VAT 69.
Katanya, dia bersama Azman cuba melepaskan tembakan ke arah musuh untuk pertahankan barisan rakan lain yang berada di belakang.
“Jarak kami dengan musuh tidak jauh, kami ambil peluang lepaskan
tembakan ketika mereka tukar rifle magazine. Azman cedera di kanan, saya
pula terkena di bahagian kiri.
“Saya yang cedera di bahagian kaki masih boleh lepaskan tembakan, namun
setelah tangan pula ditembak, saya hanya mampu bertahan dan berdoa agar
kami selamat,” katanya.
Mohd Tarmizi yang masih menggunakan tongkat untuk bergerak berkata,
dalam pertempuran, mereka tidak meletakkan diri sebagai seorang suami,
bapa atau anak, tetapi sebagai seorang anggota polis yang ingin
pertahankan kedaulatan negara.
Sementara itu, Konstabel Mohammad Qaiyum Aiqal Zolkifli, 22, dengan
penuh semangat bersumpah akan menuntut bela nasib rakan-rakan yang
terkorban sekiranya negara diceroboh kembali.
Katanya, beliau yang dalam pasukan Delta diarah membantu pasukan Bravo
dan Charlie yang diserang. Beliau terjatuh selepas terkena tembakan curi
musuh.
“Walaupun cedera dan terjatuh, musuh masih tetap menembak ke arah saya.
Ketika itu, rakan saya, Koperal Hairi menarik saya ke belakang sebatang
pokok untuk berlindung.
“Saya terhutang nyawa dengan beliau yang sanggup ke depan untuk
menyelamatkan saya sedangkan berisiko terkena tembakan. Insiden ini
tidak mematahkan semangat saya.
“Selagi saya bernyawa, saya akan teruskan perjuangan untuk
mempertahankan negara dan saya bersumpah pantang berundur walaupun
selangkah demi negara,” katanya.
Ekoran tembakan peluru musuh yang menembusi dadanya, tiga tulang bahunya
patah dan mencederakan paru-paru akibat serpihan itu dan masih mendapat
rawatan di Hospital Tentera di Lumut.
Dalam kejadian 1 Mac lalu, dua anggota komando PDRM terkorban manakala
12 pencerobohan bersenjata maut dalam kejadian membabitkan kedua-dua
pihak di Kampung Tanduo.
Dua anggota Komando VAT 69 yang terbunuh dalam pertempuran itu ialah
Asisten Superintendan Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabaruddin Daud.
Kredit:beliabangkit
No comments:
Post a Comment