NIBONG
TEBAL - Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan kes letupan di kawasan
ceramah berhampiran bilik gerakan Barisan Nasional (BN) Nibong Tebal, di sini
Rabu malam.
Jurucakap
Pilihan Raya Polis Kontinjen Negeri, ACP Roslee Chik berkata ketiga-tiga lelaki
terbabit yang berusia antara 25 dan 41 tahun itu masing-masing ditangkap di
George Town, Bukit Mertajam dan Nibong Tebal.
"Hasil
risikan dan keterangan saksi, polis pada mulanya menahan dua lelaki di Seberang
Perai sebelum menahan suspek ketiga di George Town bagi membantu siasatan.
"Polis
masih menyiasat kaitan suspek dengan parti-parti politik dan seorang yang
ditahan itu mempunyai rekod jenayah berkaitan kes bahan letupan," katanya
kepada pemberita di sini Khamis.
Katanya
mereka ditahan direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 6 Akta Bahan
Letupan 1957 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimun tujuh
tahun dan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.
Roslee
berkata polis juga telah mengenal pasti beberapa suspek lain dan sedang
mengesan mereka untuk membantu siasatan.
Pada
masa yang sama beliau mengulangi nasihat agar parti-parti politik yang hendak
menganjurkan ceramah memohon permit polis terlebih dahulu supaya polis dapat
membantu dan mengawal keselamatan di kawasan ceramah itu.
"Orang
ramai juga tidak perlu risau dengan keselamatan kerana polis mempunyai kekuatan
dan anggota yang mencukupi untuk mengawal keamanan di negeri ini,"
katanya.
Semalam,
polis mengesahkan bahan letupan yang digunakan dalam insiden malam Selasa itu
ialah Alat Letupan Rekaan (IED) dan percaya ia adalah perbuatan terancang oleh
sekumpulan profesional.
Dalam
kejadian pukul 10.15 malam itu, seorang petugas keselamatan berusia 35 tahun
cedera di kaki kanan terkena serpihan sampah akibat letupan berkenaan.
Ketika
kejadian, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Teng Hock Nan sedang
menyampaikan ceramah pada majlis yang dihadiri lebih 3,000 orang.
-
BERNAMA
Kredit:Beliabangkit
No comments:
Post a Comment