DATU: Ketibaan kereta perisai berantai ACV300 atau dikenali Adnan
kelmarin bukan kemuncak pada Operasi Daulat sebaliknya untuk
memperkukuhkan kemampuan pasukan keselamatan dalam melaksanakan misi
operasi berkenaan.
Panglima Divisyen Pertama Infantri, Mejar Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar
berkata beberapa kereta perisai itu sudah tiba dan ianya nanti akan digunakan
dalam misi seterusnya.
“Kita tak tahu lagi (kemuncak Op Daulat)…tapi apa yang kita buat adalah
untuk memperkukuhkan kemampuan kita sebab dalam kita nak melaksanakan
operasi sebegini keselamatan diri kita juga penting,” katanya pada sidang
media bersama Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, di Pusat Media
Residensi Felda Sahabat 16, jam 11 pagi kelmarin.
Kereta perisai berantai yang akan digunakan khususnya untuk bertempur
menentang saki baki musuh adalah aset yang diumumkan Panglima Angkatan
Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, yang perlu ditambah untuk misi Op
Daulat. Terdahulu pada 14 Mac, dua helikopter Agusta Westland AW109 tiba
di sini.
Mohd Zaki berkata, ketibaan aset ini bersesuaian dengan keadaan geografi
gugusan Labian yang mempunyai sungai kecil, hutan paya bakau, ladang
kelapa sawit dan hutan.
“Adalah menjadi harapan pasukan keselamatan untuk mendominasi gugusan
Labian dari musuh dan pencerobohan. Kita akan gunakan aset ini untuk
memastikan gugusan Labian ini selamat untuk diduduki,” katanya.
Sehingga hari ini, Op Daulat sudah memasuki hari ke-14 dan pasukan
keselamatan telah membersihkan gugusan Labian kecuali di Kampung Tanjung
Batu yang masih ada pertempuran dengan musuh.
Mengenai perkembangan di medan pertempuran kelmarin, Hamza berkata
terdapat dua pertempuran berlaku di Kampung Tanjung Batu pada jam 8.05
dan 9.45 pagi namun tidak ada yang tumpas. Pasukan keselamatan masih
meneruskan operasi untuk menjejak saki-baki musuh yang kini bergerak dalam
kumpulan-kumpulan kecil.
Statistik terkini Op Daulat (sehingga jam 5 petang), jumlah individu yang
ditahan mengikut SOSMA ialah 104 orang, lain-lain akta sebanyak 241 orang
dan jumlah pengganas yang ditembak mati 62 orang.
Sumber : Borneo Post Online
No comments:
Post a Comment