SETIAP
makhluk yang dijadikan Allah tidak sesekali akan terlepas daripada
kematian waima dia seseorang nabi, rasul atau orang mukmin. Setiap
daripadanya tetap merasai saat hembusan nafas terakhir seperti mana
disebut dalam ayat 185 surah ali-Imran.
Kehadiran
kematian amat menggerunkan dan menakutkan jika mendapat khabar berita
bahawa salah seorang rakan paling hampir dengan kita dipanggil menyahut
seruan Ilahi meskipun baru sahaja bertemu dengan individu berkenaan.
Hidup kita di muka bumi ini cukup singkat dengan nyawa dicabut tanpa mengira umur pada bila-bila masa oleh malaikat Izrail.
Sebaik disahkan kematian, bagi memenuhi tanggungjawab fardu kifayah, jenazah itu dimandikan, dikapankan, disembahyangkan dan dikebumikan seperti mana dituntut dalam syariat Islam.
Bagaimanapun
di sebalik kegerunan tersebut, wujud persoalan dalam kalangan umat
Islam berhubung saat menjelangnya kematian. Terdapat kalangan mereka
bertanyakan bagaimana keadaan manusia sebelum menjelangnya kematian.
Bahkan timbul kekeliruan destinasi roh selepas nyawa berpisah dari
badan.
Maka wujud
pelbagai pandangan, antaranya menyatakan roh berlegar-legar di
kediamannya selama 44 hari selepas si mati meninggal dunia.
Malah ada
mengatakan roh pulang pada bulan Ramadan. Selain itu, berlakunya
amalan-amalan khurafat yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Perkara
tersebut dibimbangi menyebabkan akidah umat Islam terpesong kerana
kepercayaan samiyat (alam ghaib) sepatutnya berlandaskan al-Quran dan
al-Sunnah, bukannya mengikut pemikiran manusia.
Bagaimanapun
persoalan roh tidak wajar diperbahaskan terlalu panjang kerana sebagai
umat Islam kita perlu menitikberatkan persiapan bekalan amalan sebelum
menuju alam abadi bahkan perkara alam samiyat merupakan urusan Allah.
Hujah
demikian berpandukan ayat 85 surah al-Israk yang bermaksud: Dan mereka
bertanya kepadamu tentang roh. Katakan roh itu adalah urusan tuhanku dan
tiadalah diberi kepada kamu ilmu pengetahuan kecuali sedikit.
Pun begitu,
bagi menjernihkan persoalan alam kematian agar umat Islam tidak
terkeliru, para ulama telah mengarang tulisan berdasarkan nas sahih agar
ilmu persiapan menuju destinasi kekal abadi berlandaskan akidah Islam.
Saat nazak
Perkara yang berkaitan dengan samiyat (alam ghaib) tergolong dalam satu cabang rukun iman iaitu percaya kepada hari kiamat.
Maksudnya, persoalan alam akhirat hendaklah berpandukan nas sahih dan tidak boleh sesekali mengikut kefahaman manusia sendiri.
Hal itu termasuklah saat-saat menjelangnya kematian atau juga dikenali sebagai nazak.
Menurut
Pensyarah Pusat Bahasa dan Pembangunan Akademi, Pusat Pengajian Asasi
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohammad Nidzam Abdul
Kadir, keperitan dan kesakitan sakaratulmaut hanya diketahui oleh orang
yang mengalaminya.
Jelas
Mohammad Nidzam, kenyataan tersebut berdasarkan ayat 83 sehingga 85
surah al-Waqiah yang bermaksud: Maka alangkah eloknya kalau semasa (roh
seseorang daripada kamu yang hampir mati) sampai ke kerongkong. Sedang
kamu pada masa itu (berada di sekelilingnya) menyaksikan keadaannya. Dan
kami lebih dekat kepadanya daripada kamu, tetapi kamu tidak melihat.
Mohammad
Nidzam berkata, menerusi ayat tersebut, selain para ulama menafsirkan
taubat manusia diterima selagi mana roh tidak sampai di bahagian halkum
dan sanak-saudara berada di sekelilingnya hanya dapat menyaksikan
kepayahan sakaratulmaut itu tetapi mereka tidak merasai kesakitan
berkenaan.
Ketika
menjelaskan dakwaan berlaku tanda-tanda menjelangnya kematian seperti
dahi berdenyut, mata berkelip-kelip atau keluar peluh berwarna emas
hasil pemerhatian sanak-saudara yang melihat seseorang sedang nazak,
beliau berkata, itu merupakan perkara majhul (tidak diketahui
hakikatnya). (rujuk Luqman: 34)
"Berdasarkan
ayat berkenaan, jelas menunjukkan Allah sahaja mengetahui bila tarikh
kematian. Kita tidak boleh meneka waktu kematian akan kunjung tiba
kerana perkara berkenaan adalah urusan Allah, hatta Rasulullah SAW
sebagai kekasih Allah pun tidak mengetahui bila baginda akan wafat.
"Jangan
cuba berteka-teki alamat kematian. Paling utama kita mesti melakukan
persiapan daripada segi bekalan pahala pada bila-bila sahaja," kata
Mohammad Nidzam.
Mengenai
dakwaan bahawa orang sedang nazak mengetahui destinasi seterusnya sama
ada diletakkan ke dalam syurga atau dicampakkan ke neraka, Mohammad
Nidzam menjelaskan dengan menyebutkan sepotong hadis Rasulullah SAW yang
berbunyi: "Sesiapa yang menyebut kalimah Lailallahillah sebelum akhir
hayat akan masuk syurga."
Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa amalan soleh bakal membantu selain memberi syafaat di alam seterusnya.
Ujar
Mohammad Nidzam, seseorang sedang nazak menyedari dan yakin ganjaran
seperti mana dijanjikan oleh Allah dan Rasulullah kepada orang beriman.
(rujuk al-Nahlu: 31-32)
Lain pula
nasib menimpa orang yang ingkar, nyawa mereka akan dicabut dalam keadaan
dahsyat dengan dijelaskan oleh Allah dalam ayat 28 surah al-Nahlu yang
bermaksud: Iaitu mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam
keadaan mereka menganiaya diri sendiri (dengan kekufurannya). Lalu
mereka tunduk menyerah (ketika melihat azab sambil berkata): Kami tiada
melakukan sesuatu kejahatan. (Malaikat menjawab): Bahkan (kamu ada
melakukannya); sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu
telah kerjakan.
"Terdapat
pula dakwaan yang mengatakan ibu bapa datang menjemput orang sedang
nazak. Hal ini dijelaskan oleh Imam Qurtubi dalam
kitab al-Tazkirah dengan beliau menyatakan bahawa yang datang itu
bukanlah ibu bapa tetapi syaitan menyamar sebagai manusia. Syaitan
datang untuk menggoda keimanan manusia.
"Bagi
menggelakkan perkara itu terjadi, kita digalakkan mentalkin orang sedang
nazak dengan kalimah Lailallahillah agar ditetapkan keimanan dengan
Allah," jelas beliau.
Mohammad
Nidzam antara lain turut menyarankan adalah lebih baik mengajarkan
kalimah di atas kepada mereka yang sedang nazak itu daripada
sanak-saudara, ahli keluarga, ibu bapa, anak, isteri meraung kerana
tindakan berkenaan merupakan amalan jahiliah.
Credit: Juani Munir Abu Bakar
No comments:
Post a Comment