LAHAD DATU, 23 Mac 2013 - Pasukan keselamatan berjaya melumpuhkan
pergerakan militan Sulu susulan penangkapan pemerintah tentera yang
memimpin pencerobohan di Lahad Datu di Semporna awal Sabtu.
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata lelaki
berusia lewat 40-an itu ditangkap bersama isterinya di sebuah kawasan
paya pada 1.30 pagi hasil maklumat orang ramai.
Beliau berkata selain itu, pasukan keselamatan turut menahan seorang
rakyat tempatan yang bertindak menyediakan segala keperluan kepada
militan pengganas sejak awal pendaratan mereka di Kampung Tanduo
sehingga kini.
Tanpa menjelaskan butiran lanjut mengenai lelaki tempatan berusia awal
40-an itu, Khalid berkata suspek ditangkap bersama isterinya di satu
kawasan di kampung tersebut pukul 10 malam tadi.
"'Local coordinator' itu dikenal pasti sebagai individu yang bertindak
mengatur makan dan minum, tempat tinggal, kenderaan serta perubatan
kepada militan Sulu sejak daripada awal pencerobohan.
"Dengan penahanan 'military commander' atau pemerintah tentera Sulu
serta tali barut pengganas ini, saya berpendapat kumpulan militan kini
lumpuh dengan tertangkapnya dua individu terbabit," katanya pada sidang
akhbar di Markas Operasi Felda Sahabat 16, dekat sini.
Khalid berkata dengan penangkapan dua individu terbabit, beliau percaya
pergerakan saki-baki pengganas kini semakin terbatas dan lemah ekoran
kehilangan arah selain tidak lagi mendapat bantuan daripada warga
tempatan.
Sambil merakam penghargaan kepada masyarakat yang membantu memberikan
maklumat sehingga tertangkapnya individu paling dikehendaki itu, Khalid
berkata Operasi Daulat yang memasuki hari ke-19 hari ini tetap
diteruskan dan membayangkan masyarakat sekitar Lahad Datu akan kembali
meneruskan kehidupan seperti biasa tidak lama lagi.
Berhubung statistik terkini Operasi Daulat, beliau berkata sehingga kini
408 orang ditahan atas pelbagai kesalahan dengan jumlah pengganas yang
ditembak mati kekal 63 orang.
Katanya sejumlah 38 mayat berjaya dikeluarkan dari kawasan operasi
termasuk lapan yang dikeluarkan dari Kampung Tanjung Batu semalam dan
sedang melalui proses bedah siasat di Hospital Lahad Datu.
Berkenaan kejadian di Kembara Sakti semalam, Khalid berkata jumlah
pasukan keselamatan di perkampungan itu kini ditambah bagi memberi
keyakinan kepada penduduk untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.
"Tidak ada sebab untuk mereka merasa takut dan saya nasihatkan semua
ahli masyarakat, penduduk dan pekerja ladang di Kembara Sakti supaya
kembali ke rumah masing-masing kerana pasukan keselamatan sentiasa
melindungi mereka," katanya.
Beliau berkata siasatan awal polis mendapati perkara itu hanya satu
khabar angin yang diperbesar-besarkan sehingga mendatangkan kerisauan
kepada penduduk.
Kira-kira 1,000 penduduk di kampung Kembara Sakti dilapor bertindak
berpindah ke sekolah agama serta masjid berdekatan selepas seorang suri
rumah mendakwa dia yang bersendirian di rumahnya didatangi empat
pengganas yang kelaparan dan mengikat kedua-dua kaki dan tangannya.
Wanita itu bagaimanapun dikatakan berjaya melepaskan diri ketika militan terbabit leka mencari makanan.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment