23 March 2013

Gapai Amal Soleh Dalam Pekerjaan


Ikhlas bekerja diterima di sisi Allah dan manusia yang berurusan
Niat dan cita-cita untuk menjadi insan salih dan beramal salih melalui apa juga kerjaya diceburi boleh mencetuskan semangat motivasi serta terapi hati dalam mengejar matlamat kesejahteraan dunia dan akhirat.


Setiap kali kita bekerja, pahatkan dalam hati bahawa kerja hari ini adalah untuk pelaburan hari akhirat kelak. Namun, ia tidak akan menjadi pelaburan akhirat jika tidak diniatkan serta diusahakan dengan memenuhi standard sebagai amal soleh.


Amal salih adalah amal yang dilaksanakan mengikut piawaian akhlak seperti ikhlas, teliti, jujur, amanah, tekun, cekap serta mengikut piawaian syarak, diusahakan daripada sumber yang halal dan membawa manfaat. 

Sabda Rasulullah SAW: “Sebaik-baik harta ialah harta yang baik kepunyaan orang yang baik”. (Riwayat Imam Ahmad) 

Kurang kerenah birokrasi
Usaha untuk mengurangkan kerenah birokrasi juga satu amal salih kerana selain bertujuan memudah dan mempercepatkan proses urusan, ia juga dapat mengelakkan pelanggan menggunakan jalan pintas atau mengamalkan suapan, rasuah dan penipuan untuk mencapai hasrat dengan mudah. 


Begitu juga langkah mempercepatkan masa menunggu giliran, menyediakan kaunter pertanyaan dan perkhidmatan mencukupi, menyediakan perkhidmatan khas kepada golongan kurang upaya, warga emas dan ibu hamil serta menggantikan pegawai bercuti panjang.

Mengurangkan prosedur kerja yang panjang dan rumit, menyediakan tempat berurusan selesa, bersih dan selamat, memudahkan pengisian borang, penyaluran maklumat permohonan secara dalam talian, memberikan maklumat urusan dengan jelas, tepat dan mencukupi juga antara amal soleh.

Bekerja dengan matlamat menjadi insan salih dan beramal salih memberi manfaat yang dahsyat kepada pekerja. Ia meliputi antaranya tujuh implikasi iaitu pertama, disempurnakan dan diberi ganjaran pahala. 

Firman Allah SWT: “Adapun orang yang beriman dan mengerjakan amal salih, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka.”(Surah ali-Imran, ayat 57) 

Elak kerja sia-sia
Kedua, mengelakkan kerja menjadi sia-sia ibarat debu yang berterbangan dan tidak menjadi pelaburan akhirat. Abu Hurairah, katanya, “Aku dengar Rasulullah SAW bersabda mengenai beberapa orang yang mengerjakan amalan tetapi sia-sia pada hari akhirat. Antaranya meliputi sumber yang haram dan tidak jujur.”

Firman Allah SWT: “Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali mereka yang beramal soleh dan berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan pada kesabaran.” (Surah al-Asr, ayat 1-3) 

Ketiga, menjadi terapi hati apabila merasa letih, penat dan putus asa terhadap kerja. Firman Allah SWT: “Sesiapa yang beriman dan beramal salih maka tiada ketakutan bagi mereka dan tiada pula mereka merasa sedih.”

Kelegaan daripada sifat takut dan sedih ini lahir daripada keyakinan hati terhadap balasan setiap amal soleh akan dilihat serta dihitung oleh Allah SWT.

Firman-Nya: “Dan bahawa sesungguhnya tiada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya. Dan sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya pada Hari Kiamat kelak). Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna.” (Surah al-Najm, ayat 39-41) 

Keempat, mendapat kehidupan yang baik. Implikasi ini sesuai dengan tuntutan untuk mengamalkan budaya kerja cemerlang bagi mendapatkan hasil dan output berkualiti. 
Firman Allah SWT: “Sesiapa yang mengerjakan amal salih sama ada lelaki mahupun perempuan dan dia beriman, maka Kami akan memberikan kehidupan yang baik baginya dan Kami akan berikan kepada mereka ganjaran yang lebih baik daripada amalan mereka.” (Surah al-Nahl, ayat 97) 

Kelima, dikasihi majikan dan rakan. Dengan memenuhi piawaian akhlak dan syarak, pastinya kerja itu bukan saja diterima di sisi Allah SWT tetapi juga manusia yang berurusan di sekeliling kita.

Keenam, menjadi contoh dan sumber inspirasi dalam membentuk budaya amal salih kepada yang lain. Sabda Rasulullah, “Seorang Mukmin itu adalah cerminan bagi Mukmin yang lain.” (Riwayat al-Bukhari) 

Buka pintu rahmat

Ketujuh, membuka pintu rahmat Allah SWT. Sabda Rasulullah: “Allah SWT merahmati orang yang bertolak ansur ketika menjual, bertolak ansur ketika membeli, bertolak ansur ketika mengadili dan bertolak ansur ketika meminta pengadilan.” (Riwayat al-Tirmizi) 

Semua implikasi ini akan menjadikan kita pekerja yang dedikasi, berdaya tahan lagi ceria melaksanakan tugas. 




 Credit: Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail (INFAD) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

No comments: