PERISTIWA enam pegawai dan anggota Polis Diraja
Malaysia dibunuh dan diseksa di Kampung Simunul, Semporna, Sabah pada 2
Maclalu tidak mungkin dapat dilupakan oleh seluruh rakyat di negara
ini.
Dalam kejadian itu, tiga pengganas militan Sulu juga berjaya ditembak mati.
Namun, disebabkan faktor keselamatan, tiga mayat pengganas tersebut tidak dapat dikeluarkan dalam insiden tersebut.
Memandangkan ia terbiar agak lama, mayat-mayat ketiga-tiga pengganas
itu mula membusuk hingga meresahkan penduduk di kampung berkenaan.
Perkara tersebut kemudian disampaikan kepada ketua kampung, Ramlee Saraman.
Walaupun marah dengan pengganas yang terbunuh itu, namun Ramlee sedar
sebagai orang Islam, mayat itu harus disempurnakan seperti yang
dituntut syarak.
” Memang saya marah dengan yang mati itu, tetapi saya kena
rasional dan tak boleh terikut-ikut dengan emosi…yang mati itu seagama
dengan saya, saya tak boleh biarkan ia terus di situ, mayat mereka mesti
diuruskan, bab dosa dan pahala mereka adalah urusan Allah.
” Lagipun saya faham benar keluh resah penduduk, bayangkan
anak-anak mereka menggunakan laluan yang sama untuk ke sekolah, trauma
mereka jadinya nanti.
” Bab bau jangan ceritalah, bukan seorang, tetapi tiga!,” katanya ketika ditemui wartawan Mynewshub.my di sini semalam.
Ramlee bersyukur kerana pihak keselamatan memahami keresahan beliau dan penduduk kampung.
Malah, katanya, Ketua Polis Daerah sendiri bersedia menawarkan
perlindungan keselamatan kepada beliau dan penduduk kampung sekiranya
mereka mengambil keputusan untuk menguruskan mayat-mayat itu.
Menurut Ramlee, beliau kemudiannya bermesyuarat dengan penduduk
kampung terutama pihak surau untuk mengangkat mayat-mayat itu dari
lokasi kejadian.
Tetapi, katanya, seperti mana pasukan keselamatan, beliau dan
penduduk kampung juga merasai kebimbangan yang sama, terutama memikirkan
‘perangkap’ yang mungkin dibuat oleh pengganas -pengganas Sulu yang
lain ketika kerja mengangkat mayat itu dilakukan.
Apatah lagi, katanya, bila mengenangkan kemungkinan ada ‘pengkhianat’
di situ yang mungkin hendak membalas dendam terhadap kematian
rakan-rakan mereka.
” Saya akhirnya nekad, dengan airmata yang berlinang, saya
merayu kepada mereka yang ada di situ agar memberikan kerjasama dan
tidak melakukan apa-apa kepada kami yang hendak mengangkat mayat yang
terbujur kaku itu.
” Saya kata pada mereka, sebagai orang Islam, adalah menjadi
tuntutan kita semua untuk menyelesaikan urusan kematian
pengganas-pengganas Sulu ini, kita tidak boleh membiarkan kehadiran
mayat-mayat itu menganggu kehidupan kita di kampung ini, ” katanya.
Ketika diminta menceritakan proses mengeluarkan mayat-mayat itu,
Ramlee berkata, hanya Allah yang tahu betapa sukarnya mereka untuk
berbuat demikian.
Menurutnya, kerja-kerja itu mungkin nampak mudah tetapi keadaan mayat yang mula membusuk telah merumitkan keadaan.
Tambahnya, mereka bimbang sekiranya ia tidak dilakukan secara
berhati-hati, akan ada anggota tubuh pengganas ini yang akan ‘lerai’
kerana ia sudah membengkak.
” Selepas mayat itu kami angkat, kami letakkannya di simpang
jalan…lalu saya hubungi pihak berkuasa yang kemudiannya membawa
mayat-mayat itu ke hospital.
” Saya sempat melihat wajah-wajah mereka, ternyata ia bukan
penduduk kampung ini, malah tiada siapa pun mengenali mereka kecuali
mayat yang dalam sampan itu, ada penduduk mendakwa pernah melihat dia
solat Jumaat di kawasan berhampiran, entah betul entahkan tidak,”
katanya.
Dalam pertemuan kami itu, Ramlee turut meminta semua pihak agar tidak
terus melabelkan kampungnya sebagai ‘kawasan hitam’ hanya kerana
berlakunya insiden tersebut.
Katanya, beliau sedih kerana banyak pihak mula melabelkan kampung mereka sebagai sarang pengganas dan sebagainya.
Jelasnya, insiden tersebut adalah satu perbuatan yang tidak dapat
dimaafkan tetapi tidak adil untuk menghukum semua yang ada di situ.
” Kampung ini banyak sejarahnya, ia telah mula dibuka sejak tahun 1939 dan sejak itu, kami semua hidup dalam aman dan harmoni.
” Benar, ada penduduk yang datang secara haram tetapi
perkara begini bukan hanya berlaku di kampung ini…tetapi apa boleh buat,
hidup mesti diteruskan.
” Mengenai pandangan banyak pihak yang mahu kampung kami
dirobohkan, saya harap kalau ia benar-benar dilaksanakan, kebajikan
penghuni perlu diambil kira, kami ini kebanyakannya nelayan, sebab itu
rumah kami dibuat di tepi laut…kalau ia dibuat di lokasi yang terlalu
jauh, ia sudah tentu menyukarkan keadaan,” jelasnya. – Mynewshub.my
No comments:
Post a Comment