23 March 2013

Dedulu Le ....


pix_topright


Dulu guru ibarat nadi dan penyambung kehidupan masyarakat hingga profesyen itu diiktirafkan mempunyai kedudukan paling tinggi dan mulia.
Besarnya peranan dan jasa guru menyebabkan masyarakat tidak pernah mempersoalkan tindak tanduk guru dan mempercayai tindakan itu bertujuan demi kebaikan.
Malangnya, di tengah masyarakat hari ini yang menggelarkan diri mereka berfikiran terbuka, maju dan moden, peranan guru se­olah-olah semakin diperkecil dan dipertikaikan.

Guru kini bukan saja tidak diibaratkan lagi sebagai lilin yang menerangi kehidupan malah pelajar, ibu bapa mahupun masyarakat seperti galak menghentam dan menghukum golongan berkenaan.
Dilema guru yang semakin terikat dikhuatiri akan menimbulkan tekanan sekali gus mengganggu urusan perjalanan sistem pendidikan dan ilmu.

Pengetua Kirkby International College, Bismillah Abdul Kader berkata, guru perlu menganggap tekanan dihadapi sebagai satu cabaran kerjaya untuk mempertingkatkan lagi kualiti diri.
Foto
PENTING dan besarnya jasa guru yang menjadi penyuluh ilmu kepada pelajar untuk mengenali dunia. - Gambar hiasan

Beliau berkata, tekanan bukan saja akan berlaku dalam kalangan guru malah mana-mana kerjaya juga mempunyai cabarannya sendiri.

“Mereka yang berada dalam bidang perguruan cabarannya lain, yang berada dalam kerjaya lain cabarannya juga berbeza.

“Kita tidak boleh elak namun sebagai guru, mereka perlu akur dan sematkan dalam diri bahawa inilah cabaran seorang guru yang mahu mendidik anak bangsa.

“Bukan senang kerana kita mendidik mereka yang bakal bergelar pemimpin. Tapi inilah bakti guru yang tidak pernah berubah biarpun zaman semakin jauh ke depan,” katanya. 
Foto
GURU yang baik adalah mereka yang dekat dengan pelajar serta tabah menghadapi cabaran. - Gambar hiasan

Mengakui bahawa cabaran guru dulu dan kini berbeza namun dari segi tanggungjawab tetap sama.

“Tugas hakiki guru adalah memberi ilmu dan mendidik, inilah tanggung jawab mereka.

“Bezanya, cabaran dan sistem yang perlu berubah selari perubahan zaman, komposisi pelajar, permintaan dan piawaian dunia moden.
Foto
BIARPUN berdepan cabaran dan tekanan, guru seharusnya tidak menjadikannya sebagai penghalang untuk menyalurkan ilmu. - Gambar hiasan

“Memang tidak adil jika kita membandingkan mereka kerana kedua-duanya hidup dalam zaman tidak sama,” katanya yang tidak menafikan guru dulu mempunyai kekentalan semangat yang tinggi untuk mendidik anak bangsa.

“Hasilnya, lihatlah bagaimana pelajar yang datang dari keluarga miskin atau tidak berpendidikan boleh berjaya,” katanya.

Guru hari ini, akuinya, semakin hebat berdepan tekanan kerana ada ibu bapa suka mencari sebab me­nyalahkan guru walaupun perkara remeh-temeh.

“Guru dulu biarpun keadaan prasarana kurang namun mereka mempunyai kebebasan mencorakkan pelajar. Ibu bapa pula beri sokongan ting­gi dan tidak ambil hati sekiranya anak dihukum.

“Sekarang, ibu bapa pula yang berlebihan mempertahankan tindakan anak (pelajar) apabila dihukum.

“Sudahlah tangan terikat dengan pelbagai peraturan dan kekangan, campur tangan ibu bapa menambah ‘kesengsaraan guru,” kata­nya.

Malah anggapan mengatakan kerjaya guru mudah, gaji menarik, banyak masa santai dan dianugerahkan cuti banyak sudah tidak relevan pada masa kini.

Katanya, bidang tugas guru hari ini terlalu banyak sehingga merangkumi kerja-kerja perkeranian selain senarai kursus perlu dihadiri.

“Jadi bagaimana mereka mahu fokus sedangkan lambakan tugasan lain juga banyak.

“ Percaya atau tidak, masa bagi guru sebenarnya tidak cukup 24 jam sehari apatah lagi dengan pengenalan pelbagai sistem sekarang malah ada berjaga hingga jam 2 pagi menyelesaikan tugasan,” katanya.

Beliau turut memuji lang­kah pelbagai pihak membantu menaikkan imej guru, sekali gus memperkasakan lagi sektor serta sistem pendidikan negara.

Menurutnya, penawaran pelbagai inisiatif sebagai mekanisme penghargaan kepada golongan itu.

“Kita tidak boleh membeli nilai bakti mereka tapi inisiatif ini boleh menjadi penawar atas bebanan ditanggung itu. 

“Pada masa sama, berikan ruang kebebasan dan kepercayaan untuk guru mencorakkan idea bagi mendidik pelajar. Percayalah, mereka ada banyak idea tapi kerana kekangan, ia tersekat,” katanya.

Guru moden juga disarankan bijak menggabung­kan pelbagai idea untuk menjadikan sistem pembelajaran lebih seronok.

“Mereka perlu menjadikan konsep pembelajaran lebih menarik, efektif, kreatif dan kritis, bukannya statik.

“Guru juga perlu me­ngambil kira faktor perubahan persekitaran seperti sains dan teknologi kerana proses pendidikan bukan melalui buku semata-mata.

“Rugi jika tidak menggunakannya bagi meningkatkan lagi mutu pembelajaran dan pengajaran,” katanya.

Usaha melahirkan guru berkualiti juga katanya perlu dilaksanakan tanpa kompromi bagi memastikan ­pelajar dan sistem pendidikan memperoleh impak paling maksimum.

“Bagaimanapun, ini bukan bermakna mahu memperlekeh atau mempertikaikan kemampuan guru sedia ada. Mereka tetap yang terbaik.

“Cuma pastikan, mereka yang benar-benar mahu menjadi guru mempunyai azam tinggi serta mampu memberi komitmen terhadap tugas,” katanya

Credit:  Ruhaiza Rusmin

No comments: