31 March 2013

Krisis Lahad Datu - Jangan Terpengaruh Dengan Hasutan


TAWAU 29 Mac - Masyarakat Suluk dan Bajau negeri ini diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan hasutan pihak tertentu supaya komuniti itu membenci pasukan keselamatan yang kononnya bertindak zalim terhadap kumpulan pengganas Kiram.
Pembantu Menteri Kewangan negeri, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan menegaskan bahawa pasukan keselamatan hanya bertindak selepas pengganas itu terlebih dahulu membunuh anggotanya.
Malah katanya, pasukan keselamatan sebelum daripada itu juga telah melakukan beberapa sesi rundingan yang bertujuan mengelak berlakunya pertumpahan darah tetapi kumpulan pengganas tetap berdegil dan enggan keluar secara aman.
"Kerajaan tidak pernah ragu dengan kesetiaan etnik Suluk dan Bajau ini kepada negara, isu-isu kononnya kedua-dua suku ini akan dihalau dari negara ini adalah satu penipuan dan merupakan hasutan semata-mata.
"Jangan dengar hasutan dan fitnah kononnya, IC (Mykad) akan digunting, etnik Suluk dan Bajau ini akan dihantar ke Filipina, itu semua dusta, bohong dan propaganda, kita tidak perlu takut, yang takut adalah orang yang bersalah," katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kawasan Tawau Kali Ke-10 di sini semalam.
Tegas Tawfiq, apa yang perlu dilakukan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira perbezaan latar belakang adalah sentiasa bersatu dan berdiri teguh di belakang pasukan keselamatan yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi menjaga kedaulatan negara.
"Kita perlu menghargai nikmat keamanan, jangan sampai diadu domba oleh pihak lain kerana dengan keamanan ini kita boleh ke laut, ke ladang, hantar anak ke sekolah dan lakukan aktiviti seperti biasa," katanya.


© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: