31 March 2013

Penduduk Pulau Sebatik Terima Karisma


Penduduk Pulau Sebatik terima Karisma


Abdul Ghapur Salleh menyampaikan baucar Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia @ Hati Rakyat (Karisma) kepada salah seorang penduduk Pulau Sebatik di Tawau kelmarin.
TAWAU 28 Mac - Sebanyak 115 penduduk luar bandar di Pulau Sebatik di sini, menerima bantuan baucar Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia @ Hati Rakyat (Karisma) bernilai RM34,500 yang disampaikan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh.
Abdul Ghapur berkata, pemberian baucar itu menjadi satu lagi bukti keprihatinan kerajaan terhadap rakyat yang berpendapatan rendah, miskin serta tidak bernasib baik di negara ini.
Beliau menyeru seluruh rakyat mensyukuri segala nikmat yang diperoleh sekali gus menghargai keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap rakyat di negara ini.
"Jika sebelum ini kita ada Bantuan Rakyat 1Malaysia, Bantuan Lesen 1Malaysia, Bantuan Komputer Riba 1Malaysia, ini juga adalah bantuan kerajaan untuk rakyat," katanya kepada pemberita selepas majlis itu di sini, semalam.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik, Abdul Muis Picho.
Tambah Abdul Ghapur, rakyat Malaysia perlu berasa bangga kerana tinggal di sebuah negara yang ditadbir kerajaan prihatin yang tidak pernah berhenti menyalurkan bantuan kepada rakyat.
Sementara itu, Abdul Muis berkata, penduduk di kawasan tersebut amat beruntung kerana kebajikan mereka tidak pernah dilupakan kerajaan BN walaupun terletak jauh di pedalaman.
"Hari ini penduduk di pulau turut merasai kemudahan jalan raya, bekalan elektrik dan air, jambatan baru, gelanggang sukan, surau atau masjid dan sebagainya. Sebenarnya masih banyak lagi usaha perlu dilakukan untuk pembangunan pulau ini, oleh itu sokongan rakyat amat diperlukan.
"Kerajaan tidak boleh memberikan segala-galanya dalam sekelip mata. Oleh itu, kita perlu terus menyokong kerajaan supaya lebih banyak pembangunan dapat dilaksanakan," katanya.


© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: