KOTA KINABALU 12 April - Polis membebaskan 32 rakyat Filipina yang
ditahan di perairan Sabah, kira-kira 12 batu nautika dari Tambisan,
Lahad Datu selepas dirujuk Jabatan Peguam Negara setelah mendapati tiada
elemen pengganas dengan kumpulan pengganas bersenjata Sulu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, kesemua mereka
dihantar pulang menaiki bot yang dikenali sebagai "kumpit" diiringi
anggota polis sehingga ke perairan negara jiran itu, pada kira-kira 5
petang semalam.
"Setelah disoal siasat mereka tidak terlibat dengan sebarang aktiviti
pengganas," katanya pada sidang media selepas majlis pemakaian pangkat
beliau yang dinaikkan pangkat kepada Komisioner Polis berkuat kuasa hari
ini.
Hamza yang kini memegang jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah kekal dengan jawatan sekarang memakai pangkat Komisioner Polis.
Beliau berkata, pasukan keselamatan juga mengembalikan kesemua
senjata yang dirampas seperti senjata api, barong dan kapak serta
beberapa dokumen yang dibawa kumpulan lelaki itu.
Sebelum ini dilaporkan kesemua lelaki yang berumur dalam lingkungan
17 hingga 72 tahun itu menaiki sebuah bot ditahan di perairan Sabah,
kira-kira 12 batu nautika dari Tambisan, Lahad Datu awal pagi Isnin
lepas.
Hamza turut memberi jaminan keadaan di Sabah terkawal dengan usaha
penekanan mengekang pergerakan keluar masuk pihak luar ke negeri ini.
"Tiada juga berlaku pertempuran antara pengganas dan pasukan
keselamatan yang menjalankan operasi di semua daerah dan kita berjaya
menyekat kawalan keselamatan masuk ke negeri ini daripada pihak-pihak
luar yang boleh menganggu-gugat ketenteraman awam," katanya.
Terdahulu, ketika berucap Hamza berkata penubuhan Kawasan Keselamatan
Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) merupakan satu cabaran yang realiti
kepada pasukan polis.
"Dari segi jangka masa pendek pembukaan balai polis baharu dibuat di
kawasan ESSCOM seperti Pulau Bum-Bum, Semporna; Pulau Gaya, Kota
Kinabalu dan Felda Sahabat sementara jangka masa panjang kita memerlukan
sokongan rakyat dalam semangat keharmonian untuk mengembalikan keamanan
di negeri ini," katanya.
Pada majlis itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar
menyempurnakan upacara pemakaian pangkat kepada 12 pegawai kanan polis
yang bertukar atau dinaikkan pangkat menerajui pegawai utama ESSCOM
termasuk Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman
Awam (KDNKA) (Pasukan Gerakan Khas) Bukit Aman, Deputi Komisioner (DCP)
Datuk Abd. Rashid Harun dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian
Perlindungan Keselamatan (E6) Cawangan Khas Bukit Aman, DCP Datuk Ahmad
Nadzer Nordin.
Abdul Rashid dilantik Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman
Awam manakala Ahmad Nadzer dilantik Pengarah Bahagian Perisikan 1.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment