Ketika Rasulullah SAW mengerjakan ibadah
haji yang terakhir, maka pada 9 Zulhijjah tahun 10 hijarah di Lembah Uranah,
Bukit Arafah, baginda menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum
Muslimin, di antara isi dari khutbah terakhir Rasulullah SAW itu ialah:
"Wahai manusia,
dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku
dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah
dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak
dapat hadir disini pada hari ini.
"Wahai manusia,
sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa
dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang
diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti
sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa
sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di
atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan
yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
"Berwaspadalah
terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk
menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu
tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
"Wahai manusia
sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke
atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka
juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah
wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana
sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu
atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu
tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
"Wahai manusia,
dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah
di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu.
Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim
adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang
pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.
"Ingatlah, bahawa
kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas
segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali
kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
"Wahai manusia,
tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir
agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah
kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan
kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti
kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku.
"Hendaklah
orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain.
Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus
mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan
risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu."
No comments:
Post a Comment