Perkara ini perlu diingatkan. Ia
bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi banyak negara lain yang
‘berlebihan’dalam memuja pembesar mereka. Amalan berkabung selama 40
hari dengan pelbagai pantang larang atau pakaian tertentu sempena
kematian pembesar negara atau kerabat diraja adalah bercanggah dengan
ajaran Islam. Perkara-perkara berikut perlu dijelaskan;
1. Dalam ajaran Islam, yang
diwajibkan berkabung hanyalah isteri kematian suami iaitu selama 4 bulan
10 hari. Ini telah ditegaskan oleh al-Quran dan al-Sunnah.
Dalam Surah al-Baqarah ayat 234: (maksudnya)
“Dan
mereka yang meninggal dunia antara kamu dengan meninggalkan
isteri-isteri, hendaklah mereka menangguh (menunggu iddah) selama empat
bulan, sepuluh hari..”
Dalam hadis Nabi s.a.w bersabda:
“Tidak
halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat
untuk berkabung atas kematian melebihi tiga hari, kecuali atas kematian
suaminya, iaitu empat bulan sepuluh hari”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Berkabung dengan pantang
larangnya mempunyai hikmat dan latar sejarah yang tersendiri. Walaupun
asalnya amalan masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam, namun Islam
membuang amalan buruk yang ada padanya dan mengekalkan atau menambah
nilai-nilai baik yang dapat menjaga dan memelihara nama baik seorang
isteri.
2. Hadis Nabi s.a.w:
“Tidak
halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat
untuk berkabung atas kematian melebihi tiga hari, kecuali atas kematian
suaminya”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
menunjukkan bahawa selain
isteri, tidak dibolehkan berkabung melainkan keizinan atau kelonggaran
kepada wanita yang kematian keluarga, dengan syarat tidak lebih dari
tiga hari. Sebab itu dalam riwayat Zainab binti Abi Salamah, dia
berkata,
“Aku
masuk menemui Ummu Habibah r.ha iaitu isteri Nabi s.a.w ketika
sampainya berita kematian ayahnya Abu Sufyan r.a dari negeri Syam. Pada
hari ketiga setelah ayahnya (Abu Sufyan) meninggal, Ummu Habibah meminta
minyak wangi lalu mengusapkannya pada kedua sisi wajahnya dan kedua
pergelangannya. Beliau berkata: “Demi Allah! Aku sebenarnya tidak
berkeinginan terhadap wangian, cumanya kerana aku pernah mendengar
Rasulullah s.aw. : “Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada
Allah dan Hari Akhirat untuk berkabung atas kematian melebihi tiga hari,
kecuali atas kematian suaminya, iaitu empat bulan sepuluh hari”.
3. Telah wafat Rasulullah s.a.w
sedangkan para sahabah baginda yang amat mengasihi baginda tidak
melakukan amalan berkabung. Telah wafat para khalifah yang sangat mulia;
Abu Bakr, Umar, Uthman, ‘Ali dan seluruh para sahabah Nabi s.a.w yang
mulia, umat Islam tidak pernah membuat amalan berkabung! Telah meninggal
‘Umar bin ‘Abd al-Aziz khalifah yang agung, umat Islam tidak berkabung.
Padahal mereka lebih layak untuk ditangisi dan berkabung –jika
diizinkan.
Generasi mereka lebih faham dan
menghayati Islam dibandingkan kita. Telah meninggal ramai ulama yang
sangat besar dan berjasa seperti para tabi’in, para imam hadis dan
fekah, tidak pula umat Islam berkabung. Apakah ada sesiapa yang lebih
mulia dari mereka semua untuk kita berkabung?
4. Maka amalan berkabung sempena
kematian pembesar atau kerabat istana bukanlah dari ajaran Islam.
Bahkan menyanggahi apa yang ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. Mereka
yang meninggal pada hari ini tidak lebih mulia dari insan-insan soleh
bermula Rasulullah s.a.w dan selepas baginda. Jika kematian mereka pun
umat tidak berkabung kerana mematuhi arahan Rasulullah s.a.w, apakah
kita merasai pembesar dan kerabat yang meninggal pada zaman ini lebih
mulia dari mereka? Sama sekali tidak. Kepada Allah kembali segala
urusan.
Kredit:sebuahkehidupan
No comments:
Post a Comment