13 April 2013

OPS Daulat - Zon Merah Selamat



LAHAD DATU - Tiada apa lagi yang perlu dirisaukan mengenai situasi keselamatan di zon merah Operasi Daulat kerana keadaan musuh ketika ini cukup lemah dan tertekan selain jumlah mereka dianggarkan tidak sampai 10 orang.

Panglima Angkatan Tentera, Panglima Jeneral Tan Sri Zulkifeli Md. Zin berkata, kerjasama penduduk kampung yang pantas memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya mereka terserempak dengan saki-baki pengganas tersebut turut memudahkan pergerakan mereka diawasi.

"Sebagai contoh, dua hari lepas seorang pengganas tiba-tiba masuk ke sebuah rumah di Kampung Tanjung Batu untuk meminta makanan. Sementara ibu bapa memasak makanan, anak pasangan itu keluar memaklumkan perkara tersebut kepada anggota tentera kita.

"Serta-merta lelaki itu ditangkap dalam keadaan amat lemah sehingga menggigil akibat kekurangan makanan. Justeru tiada apa lagi perlu dirisaukan dan saya yakin proses pilihan raya tidak lama lagi akan berjalan lancar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan di sekitar Kampung Tanduo, Kampung Tanjung Batu dan Kampung Tanjung Labian bagi merangsang semangat anak buahnya yang terlibat dalam operasi tersebut.

Menurut Zulkifeli, rata-rata anggota pasukan keselamatan masih bersemangat dan ceria meskipun ada antara mereka sudah hampir dua bulan berada di kawasan operasi termasuk di ladang kelapa sawit dan hutan.

"Sekarang kita telah memasuki fasa ketiga iaitu menstabilkan keadaan. Disebabkan itu, saya telah bercakap kepada pegawai memerintah yang terlibat supaya lebih kerap membuat penggiliran di barisan hadapan bagi membolehkan anggota ini berehat.

"Sebagai contoh, apabila mereka sudah dua minggu berada di kawasan operasi, mereka diberi rehat dua hari untuk 'bercuti' dengan tinggal di Bandar Cenderawasih yang terletak berhampiran," katanya.

Sementara itu, Zulkifeli berkata, pihaknya tidak keberatan untuk menghulurkan bantuan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membantu melicinkan proses pembuangan undi di kawasan operasi sekiranya diminta.

"Sebagai contoh, jika mereka mahu kami membantu membawa pengundi ke pusat pengundian, kami tiada masalah," ujarnya. - Sumber.


Kredit:VAT69 - Perjuangan Semalam

No comments: