KUALA LUMPUR: Pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee pada Khamis
mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tiga
pertuduhan berhubung tindakan mereka mempersendakan umat Islam dan
Ramadan dalam Facebook serta mempamerkan gambar-gambar lucah dalam blog
mereka.
Pertuduhan terhadap Alvin atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian
atau nama penuhnya Lee May Ling, 24, dibacakan di hadapan Hakim
Murtazadi Amran.
Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama menerbitkan satu
penerbitan menghasut di laman Facebook ‘Alvin and Vivian – Alvivi’ di
pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers iaitu kandungan gambar
dan komen yangbertajuk “Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut
Teh..wangi, enak, menyelerakan!!!” yang mengandungi logo Halal.
Pasangan itu didakwa melakukan kesalahan itu pada 10.48 malam antara 11 Julai dan 12 Julai lepas di568-14-18, Kompleks Mutiara Jalan Ipoh, Batu 3 1/2, di sini.
Mereka didakwa mengikut subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948.
Bagi kesalahan pertama kali, mereka boleh dikenakan denda maksimum
RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi
kesalahan berikutnya, boleh dipenjara maksimum lima tahun jika sabit
kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Tan dan Lee didakwa mempamerkan gambar-gambar
lucah di http://alviviswingers.tumblr.com/ di tempat sama, antara 6
Julai dan 7 Julailepas, antara 9 malam hingga 2 pagi.
Mereka didakwa mengikut subseksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 yang
membawa hukuman denda minimum RM10,000 atau maksimum RM50,000 atau boleh
dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pasangan itu juga didakwa memuat naik di laman Facebook mereka satu
kandungan gambar dan komen yang sama, berkemungkinan menyebabkan
perasaan permusuhan atas alasan agama di kalangan penganut agama
berlainan.
Kandungan itu telah dibaca di CAF – Syed Restaurant Jalan Dang Wangi, di sini antara 11 Julai dan 12 Julai pukul 10.48 malam.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa
hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun jika sabit
kesalahan.
Pasangan itu kelihatan tenang dan bersahaja ketika pertuduhan dibacakan
satu persatu kepada mereka dan masing-masing berkata: “Saya minta
dibicarakan”.
Hakim Murtazadi tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin atas sebab kepentingan awam.
“Mahkamah tidak akan terpengaruh dengan unsur-unsur luar dalam memberi jaminan kepada tertuduh,” tegas hakim itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin memohon supaya
tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin bagi dua kesalahan iaitu memuat
naik kandungan gambar dan komen berhubung berbuka puasa dan mempamerkan
gambar-gambar lucah.
Beliau memberikan dua alasan iaitu kesalahan di bawah Seksyen 298A(1)(a) dan Akta Penapisan Filem, memang tidak boleh dijamin.
“Sememangnya kami akur budi bicara mahkamah untuk membenarkan jaminan
dalam dua pertuduhan itu, tetapi pihak pendakwaan membantah sebarang
jaminan dikenakan,” kata Noorin.
Alasan kedua pula ialah kedua-dua tertuduh mempunyai kecenderungan untuk
memuat naik gambar yang boleh membangkitkan kemarahan orang ramai.
“Pihak pendakwaan memohon mereka tidak dilepaskan dengan sebarang jaminan sehingga selesai perbicaraan kes itu,” katanya.
Peguam Chong Joo Tian, yang mewakili kedua-dua tertuduh, memohon jaminan
diberikan kepada anak guamnya dengan alasan pertuduhan yang dihadapi
mereka belum dibuktikan dan bersifat pramatang.
Chong berkata pihak pendakwaan tidak boleh membuat spekulasi bahawa
kedua-dua tertuduh mempunyai kecenderungan untuk melakukan kesalahan
yang sama kerana mereka belum didapati bersalah.
“Kedua-dua anak guam saya memberi kerjasama sepenuhnya kepada SKMM dan
polis ketika siasatan dilakukan dan mereka juga tidak mempunyai rekod
jenayah selain kesalahan itu tidak melibatkan sebarang bentuk
keganasan,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff pula berhujah mahkamah perlu
mengambil kira keadaan sekeliling dalam menentukan sama ada jaminan
dapat diberikan atau tidak.
“Nama Alvin Tan sangat dikenali dan bila kita ‘Google’ sahaja nama
Alvin, akan timbul gambar dan artikel mengenainya yang mana jika tidak
dikawal boleh memusnahkan masyarakat dan agama. Tidak dinafikan
kesalahan itu tidak melibatkan keganasan tetapi ia kesalahan serius,”
katanya.
Noorin juga memohon supaya ketiga-tiga kes itu dibicarakan bersama
mengikut Seksyen 170 Kanun Tatacara Jenayah kerana melibatkan satu
transaksi dan saksi yang sama.
Bagaimanapun, Chong memohon pertuduhan kedua dibicarakan berasingan
kerana pertuduhan pertama dan ketiga merupakan satu perbuatan tetapi
pertuduhan kedua melibatkan penerbitan gambar-gambar lucah yang
disiarkan di laman web berlainan.
Noorin menjelaskan Seksyen 170 membolehkan kesalahan-kesalahan jenayah
dibicarakan bersama walaupun ketiga-tiganya adalah berlainan dan pihak
pendakwaan akan membuktikan kesalahan itu berlaku dalam transaksi sama.
Hakim Murtazadi membenarkan ketiga-ketiga kes itu dibicarakan bersama dan menetapkan 23 Ogos untuk sebutan semula kes.
Beliau turut memberi peluang kepada kedua-dua tertuduh mengemukakan alasan mengapa jaminan perlu diberikan kepada mereka.
Alvin berkata: “Saya mahu dijamin. Saya tidak memegang apa-apa kuasa,
kedudukan, kekayaan mahupun pekerjaan dan semua barang multimedia
dirampas oleh SKMM yang menjejaskan kecenderungan saya untuk memuat naik
gambar dan mengakses Internet”.
Vivian, yang merupakan guru tadika, pula berkata: “Saya juga ingin dijamin dan saya mempunyai pendapat yang sama dengan Alvin”.
Alvin ditahan di Penjara Sungai Buloh manakala Vivian di Penjara Kajang.- BERNAMA
kredit:beliabangkit
No comments:
Post a Comment