17 July 2013

Tanduo - Anggota Polis Di Arah Bela Diri

HASSAN Ali Basari dikawal ketat oleh anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini atas pertuduhan menyembunyikan maklumat aktiviti pengganas Kiram. - UTUSAN

KOTA KINABALU 17 Julai - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang anggota polis, yang didakwa menyembunyikan maklumat mengenai aktiviti penganas di Sabah, membela diri.
Ketika menyampaikan keputusannya, Hakim P. Ravinthran berkata, pihak pendakwaan diketuai oleh Datuk Nordin Hassan, telah menghasilkan kes prima facie terhadap Korporal Detektif Hassan Ali Basari selepas mereka mengemukakan 18 saksi dalam perbicaraan empat hari bermula 24 Jun. Hakim menetapkan 24, 25 dan 26 Julai bagi pendengaran, dengan sekurang-kurangnya empat saksi dan tertuduh.
Menurut hakim, beliau puas hati dengan bukti komunikasi yang dipintas pada nombor telefon Hassan, yang dilakukan secara sah.
Beliau juga berkata, pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu oleh apa yang dipanggil Tentera Diraja Sulu dari Filipina Selatan berlaku dan tertuduh gagal mendedahkan maklumat relevan ketika beliau berpeluang untuk berbuat demikian.
Hassan didakwa melakukan kesalahan itu antara Januari dan 3 Mac di pejabat Cawangan Khas Lahad Datu.
Beliau didakwa di bawah Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Hassan diwakili Kamarudin Mohamad Chinki dan Ram Singh. - BERNAMA


© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: