18 July 2013

Kebendaan Hilangkan Hikmah Berpuasa

Oleh Ismail Hashim Yahaya
 
Ibadah pembersihan diri dilupakan kerana sibuk penuhi keperluan nafsu

DALAM khazanah ilmu komunikasi transendental, yang berkaitan komunikasi antara manusia dengan Tuhan. Al-Quran memberikan pengetahuan kepada kita mengenai komunikasi ini yang salah satunya adalah dalam bentuk doa yang termuat dalam surah Nuh (ayat 71:5 - 6) bawah ini.

Nuh AS berkata: “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku menyeru kaumku malam dan siang tetapi seruanku itu tidak menambahkan mereka kecuali lari (daripada keimanan)”.
Ini terlihat bagaimana Nabi Nuh berkomunikasi kepada Allah secara transenden, seperti juga dalam ayat selanjutnya, Nuh berkata: “Ya Tuhanku, sesungguhnya mereka itu derhaka kepadaku, dan mereka mengikuti orang yang harta dan anaknya tiada menambah kepadanya melainkan kerugian belaka. (Surah Nuh ayat: 21) 


Dalam kaitannya dengan komunikasi transendental pada Ramadan, sejauh manakah Ramadan dapat menjadi saluran yang menciptakan komunikasi berkesan antara manusia dengan Rabbnya?

Dalam masyarakat kita ini, kedatangan Ramadan memperlihatkan semangat berbeza dengan bulan lain terutama apabila kecenderungan banyak ditumpukan kepada aspek zahir, kebendaan daripada aspek kerohanian dan dalamannya.
Semangat ini mengalihkan perhatian dan fikiran kita daripada maksud sebenarnya berpuasa kerana fokus umat yang lebih kepada aspek luaran itu.

Jika diteliti secara realitinya umat Islam selama sebulan ini penuh berlumba melakukan pelbagai kebaikan seperti menyediakan juadah makanan dan mengeratkan tali silaturahim dengan jiran tetangga, saudara mara mahupun rakan sekerja dan kalangan pelajar.

Kesibukan lahiriah ini juga diperhebatkan dengan persiapan dalam kehidupan seharian seperti membeli pakaian baru, membuat kuih-muih dan aneka makanan tradisional sehinggalah kepada persiapan menghias dalam dan luaran rumah, menggantikan beberapa perabot, bahkan sehingga membeli kereta atau motosikal baru bagi menyambut kedatangan Syawal.

Jika kita meneliti fenomena ini dapat dikatakan kita lari daripada inti dan hikmah berpuasa yang sepatutnya memperbaharui dan membersihkan jiwa raga dan bukannya kepada penonjolan zahir semata.
Memang antara ciri zaman permodenan ialah melengkapkan diri dengan serba baru dan terkini. Pengertian baru dan kini juga menjuruskan kepada pola hidup yang berteknologi di mana istilah teknik itu sendiri memainkan peranan penting dalam aspek kehidupan.

Ini amat berkaitan dengan pola hidup materialisme iaitu - suatu pandangan hidup yang memberi tempat sangat tinggi pada kenikmatan lahiriah.

Ini amat berbeza dengan maksud sebenar berpuasa. Justeru itulah seharusnya kedatangan Ramadan ditandai sebagai ibadah pembersihan diri sehingga kehadiran Syawal iaitu Aidilfitri memberikan maksud kita muncul sebagai manusia baru, dengan hati dan akhlak baru, bukan sekadar baju baru, kereta baru, perabot baru atau rumah yang baru.

Jika dilihat dari aspek psikologi humanistik, terdapat tiga tahap atau peringkat kesedaran kepada diri manusia. Pertama, kesedaran di tingkat psikobiologis. Kesedaran ini dipacu oleh pengalaman pancaindera dan tubuh manusia (biologis). Apa yang dimaksudkan di sini ialah kesedaran untuk minum misalnya, dipacu oleh keringnya tekak. Kedua, kesedaran di tingkat psikososial. Kesedaran ini erat kaitannya dengan keperluan sosial: keperluan berhubungan dengan masyarakat atau keperluan menjalin komunikasi sosial. Akhir sekali kesedaran pada tingkat transendental: kesedaran akan ada dan kehadiran Tuhan (suatu aspek yang diabaikan), keperluan untuk beribadah, kesedaran akan adanya Yang Maha Esa, keperluan berkomunikasi secara transendental dengan Sang Kekasih.

Dalam keadaan normal ketiga-tiga tingkat ini akan bergabung menjadi satu dalam diri manusia. Ini bermaksud dalam setiap perilaku manusia selalu mengandungi tiga tingkat kesedaran iaitu:

i. Sebagai saranan menyihatkan tubuh dengan memberi kesempatan pada organ tubuh untuk beristirahat

ii. Sebagai saluran membangun hubungan komunikasi sosial misalnya dengan memperbanyak solat wajib mahupun sunat secara berjemaah dan bertadarus di masjid yang dapat mengukuhkan hubungan silaturahim dengan seluruh sanak saudara dan jiran tetangga, mengeluarkan zakat, infak dan sedekah bagi sesama umat Islam yang berhak menikmati kebahagiaan

iii. Berlumba meraih pelbagai ganjaran Ramadan yang ditawarkan Allah serta meraih ampunan dan dikabulkan permohonan daripada doa iaitu dengan menggiatkan kegiatan komunikasi transendental.
Penulis ialah bekas wartawan dan pensyarah di Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia.

No comments: